[Video] Ini Tips Hilangkan Kesan Kekuningan Di Dalam Mangkuk Tandas
Antara sebab mangkuk tandas mudah menjadi kuning adalah terdapat ‘limescale’ di dalam tangki dan punca air yang berkarat.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Mangkuk tandas perlu sentiasa dibersihkan untuk menyingkirkan kotoran dan kuman. Apatah lagi setelah digunakan sepanjang masa oleh seisi keluarga.
Namun kadangkala ia cepat bertukar menjadi kotor atau kekuningan kembali walhal baru sahaja dicuci.
Mungkin ada yang menganggap warna kekuningan itu adalah bekas najis yang ditinggalkan. Akan tetapi, ia sebenarnya terjadi kerana mangkuk tandas tidak dicuci dengan betul dari mula.
‘Limescale’ Sebabkan Kesan Kuning Pada Mangkuk Tandas
Seorang pengguna TikTok, Fasz Nadiah, telah menerangkan mengapa mangkuk tandas mudah bertukar menjadi kekuningan.
Katanya, kesan kuning itu bukanlah disebabkan oleh najis yang tidak dicuci, tetapi terjadi disebabkan oleh kewujudan kapur atau ‘limescale’ di dalam tangki tandas.
Untuk info, limescale adalah endapan keras dan berkapur yang terdiri daripada kalsium karbonat (CaCO3) dan magnesium.
Kesan kuning itu juga mungkin berpunca daripada tangki yang tidak diselenggara atau kotor sehingga dinaiki lumut.
Tambahnya lagi, punca air yang berkarat serta mengandungi besi dan magnesium juga boleh menyebabkan mangkuk tandas menjadi kekuningan.
Ini Cara Hilangkan Limescale & Kesan Kuning Pada Mangkuk Tandas
Fasz turut berkongsi tips yang dipraktikkan olehnya untuk menghilangkan warna kuning di dalam mangkuk tandas.
Untuk memastikan mangkuk tandas kekal bersih, tangki tandas yang menjadi punca perlulah dibersihkan terlebih dahulu.
Dia telah meletakkan bancuhan cuka (1/4 cawan) dan air ke dalam tangki tandas yang dibiarkan selama dua jam. Dia kemudiannya memberus bahagian dalam tangki itu sehingga bersih.
Bagi mencuci mangkuk tandas pula, Fasz menggunakan batu pumis (pumice stone) untuk menanggalkan kesan ‘hard water’. Jangan risau, walaupun ia merupakan sejenis batu, tetapi tidak akan meninggalkan kesan calar pada tandas.
Selepas itu, batu pumis tersebut disemburkan dengan pensanitasi bagi menyahkan kuman yang melekat sebelum disimpan.
@fasz.nadiah Jangan tenung lama-lama. Geli 😵💫 . Kesan kuning tu bukan sbb najis. Tapi dalam toilet tank tu ada limescale. So tiap kali flush air, limescale tu melekat kat toilet bowl😮💨 . Kkdang punca dia juga dtg dari tanki air yg tidak di selenggara. Dah ada lumut ke apa. . Boleh jadi juga puncanya dtg dari paip air yg dah berkarat. Boleh jd dalam air paip tu sendiri bawak particle seperti iron or magnesium. . #cleaningmotivation #cleaninghacks ♬ original sound – fasz.nadiah
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Pelajar Dedah Tandas Kolej Kediaman Kotor & Berkerak, Sanggup Tahan Dari ‘Lepaskan Hajat’
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Pelancong Indonesia Persoal Bidet Di Tandas Malaysia Bikin Ramai Rakyat Malaysia Geram
Orang Ramai Kongsi Guna Peluntur, Pencuci Tandas & ‘Magic Sponge’ Untuk Hilangkan Kesan Kuning
Di ruangan komen, beberapa individu berkata mereka menggunakan bahan kimia seperti pencuci tandas dan peluntur untuk membersihkan kesan tersebut dengan lebih mudah.
Namun, Fasz telah memilih untuk tidak menggunakan bahan kimia yang kuat atas sebab tertentu. Tambahnya, tidak bagus sekiranya menggunakan bahan kimia peluntur jika terdapat bayi di rumah.
Di samping itu, seorang individu mencadangkan ‘magic sponge’ untuk menghilangkan kotoron kuning pada mangkuk tandas.
Limescale Juga Boleh Ada Di Dalam Cerek Air
Sebagai info, limescale bukan sahaja boleh terbentuk di dalam tangki tandas, tetapi di mana-mana tempat yang terdedah kepada air seperti paip, pemanas air serta lantai dan dinding tandas.
Ia dapat dikenal pasti menerusi ‘kotoran’ berwarna keputih-putihan seperti kapur. Jika limescale tidak ditanggalkan, ia boleh berubah menjadi warna kehijauan apabila dinaiki lumut.
Malah, limescale juga boleh terbentuk di dalam cerek air yang digunakan bagi memasak ‘hard water’, seterusnya mengurangkan kecekapan perkakas tersebut.
Seperti di dalam tangki tandas, mendapan yang terbentuk di dalam cerek juga boleh dihilangkan dengan menggunakan cuka.
Langkah-langkahnya adalah seperti berikut:
- Masakkan bancuhan cuka dan air di dalam cerek.
- Biarkan selama sejam atau sehingga benar-benar sejuk.
- Buangkan campuran tersebut dan bilas cerek beberapa kali. Boleh juga gunakan berus untuk menanggalkan sebarang deposit yang melekat.
- Masak air di dalam cerek.
- Kosongkan cerek tersebut sebelum digunakan semula.
- Boleh juga gunakan pencuci khas yang digelar ‘descaler’.
Terminum Air Dari Cerek Mengandungi Limescale?
Apa akan jadi sekiranya anda tidak sengaja meminum air yang mengandungi mendapan kapur ini?
Ia tidaklah berbahaya buat kesihatan kerana magnesium dan kalsium yang membentuknya merupakan mineral penting buat tubuh badan.
Malah, kedua-dua mineral ini turut boleh didapatkan daripada air mineral yang dijual di kedai.
Namun air yang bercampur dengan limescale boleh menjadi tidak sedap dan rasa seperti berkapur.
Selain itu, mandi menggunakan air yang mengandungi limescale juga boleh menyebabkan kulit menjadi kering dan mungkin menyebabkan pori tersumbat.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.