4 Tahun Tidak Berhubung, Anak Terkejut Terjumpa Rangka Bapa Dalam Rumah
Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, laporan penemuan rangka manusia tersebut telah dilakukan pada 5 September lalu.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Tiada yang lebih menyayat hati apabila usaha seorang anak mencari si bapa berakhir dengan penemuan rangkanya yang telah reput.
Memetik laporan media pada 10 September, mayat lelaki warga emas berusia 74 tahun itu ditemui telah menjadi rangka atas tilam di sebuah pangsapuri di Kepong, Kuala Lumpur.
Rangka itu ditemukan oleh anaknya di kediaman terbabit setelah lebih tiga tahun mencari bapanya sejak terputus hubungan pada 2020.
Mangsa Dipercayai Meninggal Dunia Sekitar 4 Tahun Lalu
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari mengesahkan bahawa laporan penemuan rangka manusia tersebut telah dilakukan pada Khamis (5 September) lalu.
Lebih menyedihkan lagi apabila individu tersebut dipercayai telah meninggal dunia kira-kira empat tahun lalu.
“Pada hari kejadian, pengadu yang juga anak mangsa telah pergi ke kediaman tersebut untuk bertemu dengannya.
“Apabila sampai di rumah, pintu dalam keadaan berkunci dan selepas pengadu memecahkan pintu rumah tersebut, pengadu menemui bapanya telah meninggal dunia dalam keadaan hanya tinggal rangka,” katanya.
Mangsa Ada Sejarah Strok
Sukarno berkata mangsa tinggal seorang diri selepas bercerai dengan isterinya dan kali terakhir dihubungi oleh pengadu pada 2020.
Hasil siasatan mendapati mangsa mempunyai sejarah tekanan darah tinggi dan pernah mengalami strok. Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Namun Sukarno tidak dapat memastikan berapa lamakah tempoh sebenar lelaki itu telah meninggal dunia dan rangka telah diserahkan kepada pihak keluarga.
Terdahulu, tular hantaran di media sosial berkenaan penemuan rangka berkenaan. Dikatakan mangsa pernah memaklumkan kepada rakan dan penduduk bahawa dia ingin pulang ke kampung, menyebabkan penduduk setempat tidak menyedari kehilangannya.
Tiada Bau Mayat Dihidu Jiran
Dalam pada itu, Exco Keselamatan Pangsapuri Mutiara Magna, Ab Razak Isa, berkata dia antara individu yang membantu memecahkan mangga pintu rumah atas permintaan anak mangsa yang berasa sangsi kerana tidak mendengar sebarang khabar daripada bapanya.
Salah seorang jiran kepada mangsa, Nurina Alzailani, pula berkata dia melalui di hadapan unit tersebut setiap hari untuk menghantar anaknya ke rumah pengasuh.
Namun, dia terkejut kerana tidak pernah terhidu bau yang busuk dari dalam kediaman itu.
“Sejak empat tahun lepas saya memang akan lalui kaki lima ini. Tidak sekali pun berasa curiga atau berbau apa-apa. Tiba-tiba dengar ada penemuan rangka manusia dalam rumah berkenaan,” katanya dipetik Bernama.
Tular Kisah Kaitkan Mangsa
Sebelum ini, seorang peguam di X (@amr_zhn01) mendakwa mendapat maklumat bahawa arwah telah berkahwin dengan seorang warga Indonesia.
Namun hubungan mereka tidak lama kerana niat tidak baik wanita terbabit yang akhirnya lari pulang ke tanah airnya.
Dakwanya lagi perkahwinan itu tidak disetujui oleh anak-anak mangsa, menyebabkan dia menjauhkan diri daripada mereka.
Dia juga berkata bahawa Allahyarham merupakan seorang mudir bagi kelas tahfiz di Masjid Kepong dan mengajar bacaan al-Quran bagi kanak-kanak di kawasan tersebut.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



