[Video] 2 Beradik Menang Acara Memanah Berkuda Di Perancis, Kumpul Dana Dengan Jual Kuih Raya
Abdurrahman Ahmad Mu’az muncul juara keseluruhan kategori bawah 14 tahun, manakala adiknya, Heba Nusaybah, di tempat kedua bagi kategori bawah 12 tahun.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Temasya Sukan Paralimpik 2024 di Paris baru sahaja melabuhkan tirainya pada hari Ahad (8 September) yang menyasikan beberapa atlet para negara membawa pulang pingat.
Namun, bukan acara sukan itu sahaja yang berlangsung di peringkat dunia dan disertai oleh wakil dari Malaysia.
Dalam masa sama, Gauchoux Open Horseback Archery Competition: European Kids Championship 2024 juga telah berlangsung di Gauchoux, Perancis.
2 Wakil Malaysia Bawa Pulang Pingat Emas, Perak
Mungkin ramai yang tidak tahu, namun dua orang wakil cilik dari Malaysia telah menyertai kejohanan tersebut dan masing-masing berjaya mengharumkan nama negara dengan membawa pulang pingat emas serta perak.
Abdurrahman Ahmad Mu’az menjadi juara keseluruhan kategori bawah 14 tahun daripada tiga format yang dipertandingkan iaitu FFE Raid233, FFE Tower60 dan Hunt Track.
Manakala adik perempuannya, Heba Nusaybah, berjaya meraih tempat kedua dalam kategori bawah 12 tahun.
Adik-beradik itu merupakan sebahagian daripada lebih 110 orang peserta dari 16 buah negara merangkumi Perancis, Belanda, Belgium, Indonesia, Brazil, Finland, Poland, England, Sepanyol, Jerman, Afrika Selatan, Switzerland, Turki, Amerika Syarikat, Ireland dan Malaysia.
Tanggung Kos Perjalanan Ke Perancis Sendiri
Apa yang lebih menarik perhatian adalah kecekalan ibu mereka membiayai sendiri perjalanan ke Perancis tanpa mendapat sebarang sumbangan dana.
Berdasarkan perkongsian oleh ibu, Fathim Ridayu, dialah yang menjadi pengurus dan jurulatih bagi kedua-dia anaknya itu.
Tambahnya lagi, dia telah menjual kuih raya untuk mengumpul dana dan menerima sedikit wang pemberian datuk dan nenek dua beradik itu.
Fathim menjelaskan bahawa dia benar-benar mahukan anak-anaknya menyertai kejuaraan di Eropah memandangkan kebanyakan juara dunia bagi sukan memanah berkuda berasal dari Perancis.
Naik Pengangkutan Awam, Bawa Makanan RTE Dari Malaysia Demi Berjimat
Mengulas mengenai cabaran semasa berada di Perancis, Fathim menjelaskan pelbagai langkah diambil untuk berjimat-cermat sepanjang tempoh 12 hari di sana.
Untuk ke lokasi pertandingan yang jauh dari bandar Paris, mereka perlu menaiki pengangkutan awam berbanding kumpulan dari negara lain yang dijemput kenderaan di lapangan terbang.
Katanya, jarak antara Lapangan Terbang Charles de Gaulle di Paris dengan Gauchoux adalah seperti jarak dari Kuala Lumpur ke Perlis.
“Dari lapangan terbang di Paris ke bandar Limoges naik bas 5 jam. Dari Limoges ke bandar Bellac naik train lagi sejam. Angkutlah beg semua tiga beranak,” jelas Fathim.
Selain itu, mereka turut berjimat dari segi makan minum dengan membawa makanan ‘ready-to-eat’ (RTE) dari Malaysia. Katanya mereka harus membayar €40 (RM192) seorang untuk sehari jika mahu makanan disediakan oleh pihak urusetia.
Tonton video penuh DI SINI.
Orang Ramai Kongsi Cara Untuk Dapatkan Dana
Kehebatan dua beradik itu serta kecekalan ibu mereka meraih pujian daripada orang ramai. “Tiada dana tapi tetap kibarkan bendera Malaysia,” puji seorang pengguna TikTok.
Dalam pada itu, beberapa individu juga memberikan cadangan kepada Fathim untuk memohon dana daripada syarikat swasta di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta ahli politik kawasan.
Malah ada juga yang mencadangkan agar meletakkan permohonan tajaan di akaun TikTok miliknya supaya orang ramai dapat turut sama-sama menyumbang.
“Kami sendiri sanggup bagi seorang sedikit demi naikkan nama negara kita di persada dunia,” kata seorang individu.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.