Australia Rancang Larangan Penggunaan Media Sosial Ke Atas Kanak-Kanak
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, berkata percubaan pengesahan umur akan dimulakan oleh kerajaannya dalam masa beberapa bulan akan datang.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Media sosial seolah-olah telah berintegrasi menjadi sebahagian daripada kehidupan harian kita pada masa kini.
Dari golongan muda hinggalah warga emas, hampir semua orang memiliki akaun bagi sekurang-kurangnya satu platform media sosial.
Namun agak merisaukan apabila kanak-kanak, terutamanya generasi Alpha, turut menjadi pengguna media sosial yang tegar sehingga boleh dikatakan mencapai tahap ketagih.
Australia Rancang Kenalkan Undang-Undang Larang Kanak-Kanak Guna Media Sosial
Terbaharu, media melaporkan kerajaan Australia dalam perancangan untuk memperkenalkan undang-undang bagi melarang penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak.
Ini dilakukan dengan alasan terdapat risiko terhadap kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak apabila menggunakan platform media sosial seperti TikTok dan Instagram.
Menurut Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, percubaan pengesahan umur akan dimulakan oleh kerajaan dalam masa beberapa bulan ke hadapan ini.
Saya mahu melihat kanak-kanak melepaskan peranti mereka dan ke padang bola sepak, kolam renang dan gelanggang tenis. Kami mahu mereka mempunyai pengalaman sebenar dengan orang sebenar kerana kami tahu bahawa media sosial menyebabkan kemudaratan sosial.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese
“Risiko Buli Siber Pada Kesihatan Mental Kanak-Kanak” – PM Australia
Setakat ini tiada sebarang had umur yang dinyatakan bagi larangan itu, namun Albanese berkata beliau “melihat pada julat antara 14 dan 16.”
Tambahnya lagi, kesihatan mental kanak-kanak berisiko berhadapan kesan buli siber. Malah, mereka terdedah kepada pelbagai kandungan di media sosial yang boleh membahayakan.
Rancangan baharu itu dibuat susulan permintaan oleh pengawal selia eSafety Australia pada Julai lalu agar firma internet menghasilkan kod boleh dikuatkuasakan.
Kod tersebut bertujuan untuk memperincikan halangan terhadap kanak-kanak daripada melihat pornografi dan bahan tidak sesuai dalam talian.
Undang-Undang Larang Media Sosial Bagi Individu Bawah Umur Diluluskan Di China, Perancis, AS
Untuk Info, China, Perancis dan beberapa negeri di Amerika Syarikat telah meluluskan undang-undang bertujuan bagi mengekang penggunaan media sosial dalam golongan individu bawah umur.
Ia dilakukan atas dasar kebimbangan bahaya dalam talian termasuk buli siber dan standard kecantikan tidak realistik.
“Ini adalah isu global yang cuba ditangani oleh kerajaan di seluruh dunia. Kami tahu ia bukan mudah dan ia tidak mudah, jika tidak kerajaan akan bertindak balas sebelum ini,” kata Albanese.
Cadangan Disifatkan Sebagai Melulu & Populis
Rancangan kerajaan Australia itu walau bagaimanapun tidak disambut dengan baik sepenuhnya.
Profesor Komunikasi Digital di Queensland University of Technology, Daniel Angus, mengkritik rancangan tersebut sebagai tindakan melulu dan populis.
Dia menerangkan bahawa larangan sedemikian akan mewujudkan bahaya yang serius memandangkan golongan muda akan dikecualikan daripada penglibatan yang bermakna dan sihat dalam dunia digital.
“Keadaan ini berpotensi membawa mereka ke ruang dalam talian berkualiti rendah dan menghapuskan cara perhubungan sosial yang penting,” katanya menerusi laman LinkedIn.
Tambah Angus lagi, keputusan itu akan menyebabkan platform dalam talian yang besar terlepas daripada tanggungjawab menjalankan reformasi ke atas kualiti kandungannya, seolah-olah meletakkan halangan berbanding memperbaiki keadaan.
Di samping itu, penyelidik psikologi di Swinburne University, Jordy Kaufman, berkata larangan tersebut boleh memburukkan keadaan remaja yang bergantung pada media sosial sebagai pilihan interaksi disebabkan oleh kesukaran yang dihadapi.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.