Now Reading
76% Pemilik Sijil Halal Di Pulau Pinang Adalah Syarikat Bukan Muslim

76% Pemilik Sijil Halal Di Pulau Pinang Adalah Syarikat Bukan Muslim

Sijil halal yang sah dikeluarkan di Pulau Pinang membabitkan 462 syarikat bukan Muslim dan 139 syarikat Muslim.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sejak kebelakangan ini, hangat dibahaskan isu berkaitan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM).

Khamis lalu (5 September), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, mahu mengkaji cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal JAKIM.

Susulan itu, kecoh apabila Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mengeluarkan kenyataan mengenai isu pensijilan halal.

Sebelum ini juga, tular lima premis makanan terkenal yang sebenarnya tidak mempunyai sijil halal walaupun dikunjungi ramai pelanggan Islam.

Baca Artikel Berkaitan: Saya Sama Sekali Tidak Bermaksud Mempersoalkan Pensijilan Halal, Kata Teresa Kok

Baca Artikel Berkaitan: Tiada Sijil Halal JAKIM, 4 Premis Makanan Terkenal Keluar Kenyataan


Majoriti Syarikat Dengan Sijil Halal Di Pulau Pinang Milik Bukan Muslim

Hari ini (10 September), media melaporkan bahawa majoriti pemegang SPHM di Pulau Pinang dimiliki oleh syarikat bukan Muslim (bukan Bumiputera dan milikan asing) iaitu sebanyak 76%.

Berdasarkan rekod dari awal Januari hingga Jun 2024, hanya 24% sahaja pemegang lesen halal yang merupakan syarikat Muslim (Bumiputera).

Menurut Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Mohamad Abdul Hamid, sijil halal yang sah telah dikeluarkan ke atas 462 syarikat bukan Muslim dan 139 syarikat Muslim di Pulau Pinang. Kesemuanya membabitkan industri mikro, kecil, sederhana, multinasional dan milikan asing.


Jumlah Pemegang Sijil Halal Di Pulau Pinang Meningkat Setiap Tahun

Tambahnya lagi, peratusan lebih tinggi dicatatkan oleh peniaga bukan Bumiputera dalam mendapatkan SPHM menunjukkan bahawa pensijilan halal di negara ini diyakini oleh semua pihak tanpa mengira agama dan kaum.

“Malahan bagi terus menggalakkan permohonan pensijilan halal itu prosesnya juga dipercepat dan bagi Pulau Pinang daripada 90 hari kepada 30 hari bekerja mulai November tahun lalu,” katanya.

Mohamad yang merupakan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang berkata jumlah pemegang sijil halal meningkat setiap tahun dari 56 syarikat pada tahun 2008 sehingga 1,651 sehingga Ogos lalu, sekaligus menunjukkan peningkatan kesedaran dan permintaan pengguna bagi produk halal.

Statistik pensijilan halal yang dikeluarkan ini membabitkan syarikat produk makanan, bahan gunaan, premis perniagan, hotel, rumah sembelihan, kosmetik dan logistik.


9 Skim Di Bawah Pensijilan Halal Domestik

Di samping itu, Mohamad menjelaskan bahawa keyakinan pelanggan dapat dipertingkatkan sekaligus membuka pasaran yang lebih luas sehingga ke peringkat antarabangsa dengan pensijilan halal Malaysia.

Menurutnya, terdapat sembilan skim di bawah pensijilan domestik yang merangkumi makanan, produk makanan dan minuman, produk kosmetik, produk farmaseutikal, produk barang gunaan, produk peranti perubatan, perkhidmatan logistik, rumah sembelihan dan pengilangan kontrak (OEM).

“Pengusaha yang mendapat pensijilan halal mempunyai kelebihan yang kompetitif dan dipercayai pelbagai lapisan masyarakat,” kata Mohamad.


Malaysia Tempat Pertama Bagi Sektor Makanan Halal GIEI

Bukan itu sahaja, merujuk kepada laporan State of Global Islamic Economy (SGIE) 2023 oleh Dinar Standards, Malaysia berada di tempat pertama bagi sektor makanan halal dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global (GIEI) 2023.

Dalam pada itu, Mohamad menyeru orang ramai agar menyokong usaha dan komitmen JAKIM dalam meningkatkan lagi permohonan pensijilan halal Malaysia daripada syarikat-syarikat.

Dia juga meminta sokongan agar pengurusan SPHM dapat dikekalkan pada tahap terbaik, sekaligus menjadi kebanggaan negara.

Baca Artikel Berkaitan: Umat Islam Perlu Lebih Peka & Cakna Tentang Status Halal Restoran, Kata Pakar


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd