[Video] Banyak Digunakan Dalam ‘Design’ Tempatan, Namun Toucan & Enggang Papan Tiada Di Borneo
Burung toucan tiada sama sekali di Malaysia, manakala enggang papan bukanlah spesis yang ada di Borneo.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Enggang adalah sejenis burung yang sinonim dengan Borneo, lebih-lebih lagi di negeri Sarawak, Bumi Kenyalang.
Mungkin ramai tidak tahu, enggang badak (rhinoceros hornbill) secara tidak rasminya telah diangkat sebagai burung kebangsaan Malaysia.
Namun dalam menggunakan motif enggang dalam kraftangan dan produk Borneo, masih ramai pihak yang keliru antara spesies berbeza serta burung toucan.
Bezakan Antara Enggang Papan & Enggang Badak
Menerusi satu video yang dimuat naik di TikTok, seorang ahli zoologi dikenali sebagai Fauzi meminta agar spesies enggang yang betul digunakan bagi produk melibatkan Borneo.
Tambahnya lagi, penggunaan spesies enggang yang tepat masih belum menjadi kebiasaan.
Dia memaparkan beberapa produk Borneo seperti t-shirt dan fridge magnet yang menggunakan gambar burung enggang papan (the great hornbill) dan bukannya enggang badak.
Walhal, spesis burung enggang papan tiada di Borneo dan hanya boleh ditemui di Semenanjung tanah air.
Katanya, enggang badak digunakan sebagai Jata Negeri Sarawak memandangkan ia berkait dengan kebudayaan, adat rasam dan kepercayaan masyarakat di negeri itu.

Burung Toucan Tiada Di Malaysia
Namun tambah Fauzi, lebih teruk lagi apabila jenis burung yang salah digunakan bagi menggantikan enggang.
Dia menunjukkan penjualan produk keychain di Sabah menggunakan design burung toucan yang tidak wujud sama sekali di Malaysia.
Penggunaan gambar burung toucan dalam reka bentuk tempatan banyak kali berlaku.
Malah, satu jenama minuman tempatan terkenal turut menggunakan gambar burung toucan di dalam set pelekatnya bagi mewakili negeri Sarawak.
@m.uzie Normalise kan penggunaan species yang tepat untuk menggambarkan Malaysia dan Borneo. Enggang Badak (Rhinoceros hornbill) atau kenyalang ialah Jata Negeri Sarawak disebabkan oleh kaitan kebudayaan, adat resam dan kepercayaan masyarakat di Sarawak. Oleh sebab itu jugalah, spesis ini diangkat sebagai burung kebangsaan Malaysia (belum rasmi) dan ada di duit kertas RM5. So, belajar bezakan dan gunakan spesis yang betul dalam designing. @sabahtourism @lifeastanakwagu @p.sharon.j @azamuddeennasir @cikgulenz @iqbalahyar @balaiseninegaramy @muziumsabah_offic @tamanhidupanliarlokkawi
♬ Oh No – Kreepa
“Perlu Normalisasikan Imej Burung Yang Betul” – Fauzi
Menurut Fauzi, penggunaan spesies burung yang salah dalam produk tempatan terjadi di kedua-dua Sabah dan Sarawak.
Katanya, kesalahan ini bukanlah disengajakan dan mungkin masih terjadi kerana pereka merujuk kepada templat reka bentuk yang lama.
Dia menekankan kepentingan untuk memupuk kesedaran dan menormalisasikan penggunaan spesies yang betul dalam reka bentuk tempatan.


Terdapat 10 Spesies Enggang Di Malaysia
Orang ramai mungkin lebih mengenali enggang badak dan enggang papan, namun sebenarnya terdapat 10 spesies burung ini di Malaysia iaitu:
- Burung Enggang Badak (Rhinoceros Hornbill)
- Burung Kelingking (Oriental Pied Hornbill)
- Burung Kekek (Black Hornbill)
- Enggang Papan (Great Hornbill)
- Enggang Kawan (Bushy-crested Hornbill)
- Enggang Berkedut (Wrinkled Hornbill)
- Enggang Bulu (White-crowned Hornbill)
- Enggang Gunung (Wreathed Hornbill)
- Enggang Hutan (Plain-pouched Hornbill)
- Burung Tebang Mentua (Helmeted Hornbill)
Daripada sepuluh spesies ini, hanya enggang papan dan enggang hutan yang tiada di Borneo.
Selain dijadikan sebagai jata negeri Sarawak, motif enggang badak turut digunakan pada duit kertas RM5.
Dalam budaya masyarakat Dayak pula, enggang dipercayai sebagai jelmaan roh Tuhan yang perlu dihormati.

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.