JPJePlate Khas Buat Kenderaan EV Dilancarkan, Macam Design Plat Di Eropah!
Antara ciri-ciri khas JPJePlate adalah jalur holografik, foil anti pemalsuan dan RFID terbenam.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Penggunaan kenderaan elektrik di Malaysia kini semakin popular memandangkan ia dapat menjimatkan serta mengurangkan pencemaran alam sekitar.
Dalam masa sama, kerajaan bakal mengenakan Kadar Fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan elektrik 85% lebih murah bermula tahun 2026.
Kementerian Pengangkutan sebelum ini juga memaklumkan bahawa plat khas bagi kenderaan motor tanpa pelepasan (ZEV) akan diperkenalkan bagi membezakannya dengan kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE).
Rekaan Plat Khas EV Dilancarkan
Terbaharu, rekaan plat khas bagi kenderaan elektrik (EV) telah dilancarkan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook hari ini (9 September).
Juga dikenali sebagai JPJePlate, ia merupakan langkah pertama dalam mewujudkan sistem plat nombor kenderaan piawai di Malaysia dan diwajibkan bagi kesemua EV yang baru didaftarkan.
Apa yang lebih menarik, ia menyerupai reka bentuk yang digunakan bagi plat kenderaan di negara-negara Eropah!
Salah satu perubahan besar yang dilakukan ialah latar belakang diubah menjadi warna putih, manakala nombor pendaftaran kenderaan berwarna hitam dengan jalur holografik bagi pantulan yang jelas pada waktu malam.
Plat itu sendiri akan menggunakan bahan aluminium berbanding plastik (acrylic) sebelum ini. Merujuk kepada laman web JPJePlate, Malaysia merupakan salah satu daripada 5% negara yang masih menggunakan plat plastik.
‘Strip’ Hijau Di Sebelah Kiri Bezakan EV Dengan Kenderaan Lain
Ia juga mempunyai warna hijau di bahagian kiri untuk membezakan kenderaan EV dengan kenderaan lain.
Seperti nombor plat di Eropah, plat kenderaan baharu ini turut memaparkan bendera Malaysia serta huruf ‘MAL’ sebagai singkatan bagi Malaysia.
Reka bentuk baharu ini berbeza di mana nombor tidak dilekatkan seperti sekarang, tetapi dicetak timbul (embossed) pada plat aluminium.
Selain dari segi reka bentuknya, plat baharu ini juga mempunyai cip RFID yang terbenam. Sticker RFID juga akan diletakkan pada pelekat di belah dalam cermin hadapan kereta.
Rekaan Plat Khas Baharu Lebih Selamat Berbanding Plat Tradisional
Di samping itu, plat baharu ini juga lebih selamat berbanding plat tradisional dan dapat mengelakkan pemalsuan.
Antara ciri-ciri keselamatan yang terdapat pada rekaan plat khas adalah foil anti pemalsuan, tandatangan digital (kod QR), nombor siri yang diukir dengan laser dan skru keselamatan untuk pemasangan.
Menurut laman web JPJePlate, terdapat empat tujuan penggunaan reka bentuk baharu ini iaitu:
- Meningkatkan keselamatan jalan raya dengan peningkatan keterlihatan (reflektif retro) pada waktu malam. Ini adalah penting untuk memastikan keadaan pemanduan yang lebih selamat dan mengurangkan risiko kemalangan.
- Mempunyai ciri-ciri untuk mencegah pemalsuan dan kecurian kenderaan.
- Berfungsi sebagai pengenalan pertama untuk tindakan penguatkuasaan serta bantuan pantas pengguna jalan raya sekiranya berlaku kecemasan.
- Pembolehubah untuk ekosistem Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) yang diintegrasi dengan RFID.
Tambah Kementerian Pengangkutan, penggunaan plat ini bagi EV akan membantu petugas bomba atau kecemasan dalam mengenal pasti jenis kenderaan agar tindak balas sesuai dijalankan ketika kemalangan.
Semua Jenis Kenderaan Bakal Gunakan Rekaan Plat Khas
Menurut Paul Tan, perkara tersebut merupakan langkah pertama dalam mewujudkan sistem plat nombor kenderaan yang standard di Malaysia.
Walaupun ia baru dilancarkan bagi EV, namun plat ini bakal digunakan bagi kesemua jenis kenderaan pada masa akan datang.
Warna di bahagian kiri plat akan ditukarkan agar tidak dikelirukan dengan kenderaan EV.
Seperti dinyatakan, JPJePlate ini akan dikeluarkan khas bagi kenderaan EV yang didaftarkan bermula hari ini. Namun pemilik EV sedia ada juga boleh memesan rekaan plat khas ini bermula 9 November.
Sebagai info, plat nombor JPJePlate berharga RM98 setiap set yang mengandungi:
- Satu plat hadapan kenderaan
- Satu plat belakang kenderaan
- Satu pelekat RFID cermin depan
- Penghantaran standard ke pusat pemasangan yang sah
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.