“Diabetes Malaysia Tertinggi Di Asia Tenggara Bukan Perkara Membanggakan” – Perdana Menteri
Susulan jumlah penghidap kencing manis di Malaysia tertinggi di Asia Tenggara, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat agar mengurangkan pengambilan gula.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, kencing manis atau diabetes mellitus merupakan satu daripada 10 punca kematian utama di dalam negara.
Semalam (8 September), Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengingatkan rakyat agar lebih cakna tentang penjagaan kesihatan.
Beliau turut menekankan tentang keburukan pengambilan gula secara berlebihan susulan jumlah penghidap kencing manis di Malaysia adalah tertinggi di Asia Tenggara. Katanya lagi, ia bukanlah sesuatu yang perlu dibanggakan.
Ketika berucap di Majlis Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera Peringkat Kebangsaan 2024; Pelancaran Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan dan Kempen Perangi Gula, Anwar menyeru rakyat agar mengurangkan pengambilan gula.
Anwar Minta Orang Ramai ‘Selamatkan Negara’
Tambah Anwar lagi, kecelikan kesihatan rakyat masih berada di tahap yang rendah.
Kecelikan kesihatan rakyat masih di tahap yang rendah. Obesiti, berat badan berlebihan, kencing manis itu tinggi. Jadi tolonglah kita selamatkan negara kita, anak-anak, keluarga, ibu bapa kita, dengan mengawal sedikit.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar mengurangkan pengambilan karbohidrat dan lakukan senaman untuk mengurangkan obesiti yang boleh mengakibatkan diabetes.
“Perlu jaga kesihatan, kita sibuk, tapi alasan itu (sibuk) sangat remeh, kita sibuk tapi kita tidur, makan, jadi kita juga kena bersenam,” tegasnya.
“Penggunaan Gula Di Kedai Makan Perlu Dipantau” – Anwar Ibrahim
Dalam pada itu, Anwar menegaskan bahawa tindakan segera, termasuk memantau penggunaan gula di kedai makan, perlu dilakukan.
Saudara saudari meniaga ya untuk menjaga kebajikan keluarga, tetapi jangan korbankan orang lain. Gula berlebihan maknanya golongan yang menjual itu memberi sumbangan ke arah merosakkan badan dan kesihatan membelinya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim
Beliau juga menekankan agar kandungan gula dalam makanan dan minuman bagi semua acara dan mesyuarat kerajaan dikurangkan sebanyak 50%.
Malah, beliau turut meminta Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad agar memantau kantin sekolah yang didakwa menjual makanan tidak sihat.
Jumlah Diabetes Di Malaysia Kelima Tertinggi Dunia
Untuk pengetahuan umum, Malaysia bukan sahaja mempunyai jumlah penghidap kencing manis tertinggi di Asia Tenggara.
Data yang dikeluarkan oleh Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) mendedahkan bahawa jumlah penghidap kencing manis di Malaysia adalah yang kelima tertinggi di dunia.
Menurut data sama, terdapat 20% kelaziman (prevelans) diabetes pada orang dewasa di dalam negara.
Setakat 2021, terdapat sebanyak 4,431,500 kes diabetes yang dihidap oleh orang dewasa di Malaysia.
5 Juta Rakyat Malaysia Berisiko Pradiabetes & Diabetes
Di samping itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni sebelum ini memaklumkan seramai lima juta rakyat Malaysia berisiko menghidap pradiabetes dan diabetes.
Tambahnya lagi, sebanyak 76% daripada jumlah itu tidak menyedari menghidap penyakit itu kerana tidak melakukan pemeriksaan dan saringan kesihatan.
Tanpa menjalani pemeriksaan, kebanyakan daripada mereka yang berisiko menghidap kencing manis tidak sedar akan hal itu, kata Lukanisman.
Terdapat 2 Jenis Diabetes Yang Kronik
Memandangkan kebanyakan yang berisiko mengalami diabetes tidak menyedari perkara itu, orang ramai harus lebih cakna tentang penyakit ini.
Masalah kencing manis terjadi apabila pankreas tidak menghasilkan insulin yang mencukupi atau badan tidak dapat menggunakan insulin dengan efektif. Keadaan ini seterusnya meningkatkan kandungan gula dalam darah.
Menurut Mayo Clinic, terdapat dua jenis diabetes tahap kronik iaitu Jenis 1 dan Jenis 2, sebaliknya prediabetes dan diabetes semasa hamil boleh disembuhkan.
Diabetes Jenis 1 kebiasaannya bermula sejak kecil atau remaja, manakala diabetes Jenis 2 lebih banyak dihidap individu lebih 40 tahun.
Penjagaan Makanan & Senaman Penting Bagi Mengawal Diabetes
Berbanding jenis diabetes lain, diabetes Jenis 1 mempunyai simptom yang cepat muncul dan lebih teruk. Antara simptomnya adalah:
- Rasa lebih dahaga daripada biasa
- Kerap kencing
- Berat badan turun
- Rasa letih dan lemah
- Rasa cepat marah atau perubahan mood lain
- Penglihatan kabur
- Luka yang lambat sembuh
- Mengalami banyak jangkitan kuman termasuk di gusi, kulit dan vagina
Bagi diabetes Jenis 1, rawatan merangkumi pemberian insulin, pemeriksaan gula dalam darah secara berkala dan pengiraan karbohidrat. Sesetengah pesakit mungkin perlu menjalani pemindahan pankreas atau sel islet.
Diabetes Jenis 2 pula dirawat menerusi perubahan gaya hidup, pemantauan gula dalam darah dan pengambilan insulin serta ubat-ubatan.
Di samping itu, penjagaan makanan dan senaman penting bagi mengawal kesemua jenis diabetes.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.