Now Reading
Tengku Hassanal Gesa PDRM Jalankan Siasatan Segera, Adil & Tegas Berhubung Dakwaan Kerabat Pahang Serang Lelaki

Tengku Hassanal Gesa PDRM Jalankan Siasatan Segera, Adil & Tegas Berhubung Dakwaan Kerabat Pahang Serang Lelaki

Dalam kejadian itu, mangsa, Alias Awang mengalami kecederaan di bahagian paha serta menerima beberapa jahitan di bahagian kaki.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Semalam (5 September), kecoh mengenai laporan media berhubung seorang lelaki yang mendakwa dirinya dipukul oleh kerabat diraja Pahang.

Mangsa yang dikenali sebagai Alias Awang mendakwa dia diserang oleh kerabat berkenaan bersama sekumpulan individu di sebuah kandang kuda di Kuantan pada Jun lalu.

Jelas Alias yang berusia 44 tahun, dia pada mulanya dihubungi oleh orang suruhan anak kerabat berkenaan untuk berjumpa dengannya.

Walau bagaimanapun, dia diserang kira-kira 20 orang individu termasuk anak Tengku tersebut, lapor Malaysiakini.

Dalam insiden itu, seorang individu telah menikamnya menggunakan pisau manakala anak kerabat berkenaan melepaskan tembakan di bahagian kaki namun tidak mengenai sasaran.

Ekoran daripada kejadian itu, Alias mengalami kecederaan di bahagian paha serta menerima beberapa jahitan di bahagian kaki.

Difahamkan, punca serangan berkenaan adalah berhubung pertikaian berkaitan isu tanah di Rompin.

Tengku Hassanal Titah PDRM Jalankan Siasatan Seadilnya

Susulan daripada isu yang tular ini, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah memandang serius kejadian berkenaan.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Abdulaziz, Kuantan di akaun Instagram @kesultanan.pahang, Tengku Hassanal menyeru agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan dengan segera secara telus dan adil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak.

“Sekiranya terdapat bukti kesalahan dilakukan, ia hendaklah dibawa ke mahkamah untuk dituduh dan dibicarakan,” titahnya dalam kenyataan itu.

Semua Pihak Sama Di Sisi Undang-Undang

Tegas Tengku Hassanal, baginda tidak akan melindungi mana-mana pihak termasuk kerabat khususnya yang terlibat dengan jenayah.

“Semua pihak adalah sama di sisi undang-undang dan saya sesekali tidak akan melindungi mana-mana pihak termasuk kerabat yang terlibat dengan sebarang jenayah dan kesalahan undang-undang,” titahnya lagi.

Mahu Siasatan Segera, Tegas & Adil

Menerusi satu hantaran di Instagram (IG) Story, Tengku Hassanal menitahkan agar PDRM melakukan siasatan segera, adil dan tegas.

“Tiada siapa mengatasi undang-undang termasuk kerabat.

“Saya sesekali tidak akan melindungi mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” tegas Tengku Hassanal.

Foto: Tangkap Layar IG Story Tengku Hassanal

Polis Lengkapkan Siasatan Kes

Dalam pada itu, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman menjelaskan polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes berkenaan.

Jelas Yahaya, kertas siasatan sebelum ini telah dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya namun dikembalikan semula untuk tindakan selanjutnya.

“Ketika ini kita sedang melengkapkan kertas siasatan seperti yang diarahkan sebelum dihantar semula kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.

Tiga Orang Lelaki Disyaki Suspek Utama Telah Ditahan

Pada masa yang sama, Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu menjelaskan kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan kerana merusuh.

Memetik Malaysiakini, Wan Mohd Zahari menjelaskan seramai tiga orang lelaki yang disyaki sebagai suspek utama telah ditahan dan direman selama tujuh hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Manakala dua individu turut ditahan dan dibebaskan selepas keterangan mereka diambil.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitterThreads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd