Budak Perempuan 5 Tahun Didera, Polis Buru Teman Lelaki Ibu
Ibu mangsa telah ditahan semalam (4 September) susulan laporan polis yang dibuat oleh bekas suaminya.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Semalam (4 September), seorang wanita ditahan kerana disyaki melakukan penderaan terhadap anak perempuannya yang berusia lima tahun di Jalan Desiran Malawati, Kuala Selangor.
Sehubungan itu, pihak polis sedang mengesan teman lelaki kepada wanita berkenaan yang dipercayai turut terlibat dalam penderaan ke atas kanak-kanak tersebut.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin, suspek lelaki disyaki berada di Kedah dan sedang giat dikesan oleh polis bagi membantu siasatan lanjut.
Laporan Polis Dibuat Oleh Bapa Mangsa
Terdahulu, suspek wanita telah ditahan pada 5.14 petang semalam selepas laporan polis dibuat oleh bekas suaminya, iaitu bapa mangsa.
Suspek yang berusia 32 tahun direman selama lima hari di Mahkamah Majistret Sungai Besar bermula hari ini (5 September) di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001.
Mohd Ambia berkata bapa mangsa pada mulanya menerima panggilan daripada isterinya selepas mendapat makluman daripada nenek kanak-kanak tersebut.
“Bapa kanak-kanak itu menerima panggilan daripada ibunya yang memaklumkan guru tadika memberitahu terdapat kecederaan pada tubuh badan mangsa dan disyaki didera.
“Guru tadika maklumkan kepada ibu mangsa, namun suspek hanya memberi alasan mangsa jatuh tangga,” katanya.
Mangsa Dicubit, Ditumbuk & Disiram Air Panas
Menurut Mohd Ambia, seorang jiran kemudiannya telah membawa mangsa pulang ke rumah neneknya yang terletak di Sekinchan.
Mangsa seterusnya menceritakan dia telah dicubit, ditumbuk dan disiram air panas oleh ibu serta suspek lelaki, jelasnya.
Tambahnya lagi, mangsa dan ibunya telah ke Yan, Kedah sebelum ini, dipercayai ke rumah suspek lelaki. Anak-beranak itu telah pulang semula ke Kuala Selangor pada hari Ahad (1 September).
Mohd Ambia berkata mangsa diletakkan di bawah jagaan ibunya yang telah berpisah dengan suami pada tahun 2020.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.