[Video] Lumut Pada Batang Pokok Boleh Jadi Panduan Tentukan Arah Kiblat
Kedudukan lumut pada batang pokok walau bagaimanapun berubah mengikut bulan berdasarkan kepada kedudukan matahari.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Selain penting untuk menunjukkan arah, mata angin juga digunakan oleh umat Islam untuk menentukan arah kiblat bagi menunaikan solat.
Sudah tentu kini lebih mudah untuk menentukan arah kiblat menggunakan kompas dan aplikasi dalam telefon pintar.
Namun begitu, bagaimana pula jika anda berada dalam situasi tiada peralatan yang boleh menunjukkan arah mata angin? Sebenarnya, arah kiblat boleh ditentukan berdasarkan kepada alam semula jadi, seperti tumbuhan lumut.
Lumut Tumbuh Di Timur Batang Pokok Kerana Cahaya Matahari Tak Terik
Seorang pengguna TikTok (@hikayatpanglipurl) yang berkhidmat dalam Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) telah berkongsi mengenai kaedah untuk menentukan arah kiblat ketika di dalam hutan menggunakan kedudukan lumut pada batang pokok.
Menurutnya, lumut akan tumbuh di bahagian timur pada batang pokok memandangkan sinar matahari yang pertama (matahari terbit) tidak terik. Ini menjadikan bahagian timur batang pokok lembap, membolehkan lumut tumbuh di situ.
Sebaliknya, bahagian barat batang pokok tidak mempunyai lumut kerana terdedah kepada cahaya matahari yang lebih terik.
Oleh itu, bahagian batang pokok yang tidak mempunyai lumut dapat menjadi penanda bagi arah kiblat.
Boleh Guna Matahari & Bintang Untuk Tentukan Arah Kiblat
Merujuk di ruang komen, seorang individu berkata lumut pada bahagian timur batang pokok lebih banyak kerana masih terdapat embun ketika matahari terbit.
“Lumut tumbuh tak kira hadap mana, cuma bila di belah timur dan terkena matahari tak panas, ia boleh tumbuh segar berbanding dengan yang di bahagian barat,” terang seorang individu.
Di samping itu, seorang pengguna X menerangkan bahawa arah kiblat juga boleh ditentukan berdasarkan kepada kedudukan matahari dan bintang.
Penentuan arah kiblat berdasarkan kepada kedudukan jasad di langit boleh dilakukan menerusi ilmu falak.
Kedudukan Lumut Pada Batang Pokok Berubah Mengikut Bulan
Namun, kaedah ini sebenarnya tidaklah semudah itu. Menurut Ustaz Musa Mohd Walid dari Persatuan Ahli Falak Negeri Selangor yang sering berkongsi tentang ilmu falak dan arah kiblat, kedudukan lumut pada batang pokok berubah mengikut bulan.
Dia telah menunjukkan contoh bagi bulan Jun ketika mana matahari paling condong ke arah utara. Katanya, ini akan menyebabkan lumut yang terletak di sebelah utara mati, sebaliknya tumbuh segar di sebelah selatan.
Sebaliknya, pada bulan Disember pula, kedudukan matahari cenderung ke sebelah selatan, menjadikan lumut tumbuh di bahagian utara pokok.
Tambahnya lagi, kedudukan lumut pada batang pokok juga berbeza mengikut negara.
Ini Cara Tentukan Arah Kiblat Berdasarkan Arah Mata Angin
Bagi menentukan arah kiblat, seseorang perlu menghadap ke arah utara sambil mendepan tangan. Tangan kiri perlu digenggam dengan hanya ibu jari dan jari kelingking dibuka seperti dalam gambar di bawah.
Ustaz Musa berkata jari kelingking merupakan arah barat yang benar, manakala ibu jari menunjukkan 20 darjah ke kanan.
Selepas melakukan perkara ini, gerakkan arah tangan sebanyak 22 darjah ke kanan bagi mendapatkan arah kiblat yang betul.
Bagi yang tidak tahu, arah kiblat bagi Malaysia adalah sekitar 292 darjah. Okeh kerana itulah kita perlu menambah 22 darjah daripada arah barat sebenar (270 darjah) bagi menentukan arah kiblat.
Kedudukan lumut sememangnya boleh digunakan sebagai petunjuk bagi arah mata kiblat dalam keadaan tiada cara lain.
Namun begitu, lumut sebenarnya boleh tumbuh di mana-mana bahagian pokok sekiranya mempunyai kelembapan yang mencukupi dan terlindung dari cahaya matahari.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Mualaf Ini Terangkan Kaabah Bukan Berhala Bagi Umat Islam, Hanya Penunjuk Arah Kiblat
Baca Artikel Berkaitan: Ini Cara Tegur Orang Yang Solat Salah Kiblat, Setiap Muslim Patut Tahu
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.