Timbalan Mufti Rusia Sifatkan Malaysia Sebagai Negara Islam Maju
Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Mufti Rusia, Rushan Hazrat Abbyasof dalam satu pertemuan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Vladivostok.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bertemu dengan Timbalan Mufti Rusia, Rushan Hazrat Abbyasof di Vladivostok hari ini (4 September) dalam sebuah lawatan kerja.
Rushan yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Pertama Majlis Mufti dan Lembaga Agama Islam telah menyuarakan rasa kagumnya yang mendalam terhadap “kepesatan perkembangan syiar Islam di Malaysia.”
Beliau turut menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang maju dan merasakan banyak perkara boleh dipelajari daripada negara ini.
Anwar & Rushan Teroka Bidang Kerjasama
Berdasarkan kenyataan Anwar di akaun Facebooknya, pertemuan antara dua tokoh tersebut merangkumi meneroka pelbagai bidang kerjasama termasuk perbankan Islam, latihan dan pembinaan kapasiti serta pertukaran kepakaran.
Antara institusi yang mempunyai potensi kerjasama Malaysia-Rusia adalah Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Muzium Kesenian Islam, dan Bank Negara Malaysia (BNM).
Seterusnya, Rushan turut menzahirkan minat terhadap industri halal yang meletakkan Malaysia di kedudukan terbaik.
“Nilai yang dikongsi secara bersama ini akan pastinya memanfaatkan, tidak hanya warga Muslim, tetapi negara secara keseluruhannya,” kata Anwar.
Putin Beri Sokongan Terhadap Komuniti Muslim Di Rusia
Dalam pada itu, Rushan berkata Presiden Rusia, Vladimir Putin memberikan sokongan terhadap komuniti Muslim di Rusia.
Tambahnya lagi, Putin meletakkan penghormatan yang mendalam ke atas Islam dan al-Quran, lapor Awani.
Di samping itu, Rushan bersama Anwar menegaskan solidariti mereka terhadap perjuangan Palestin. Perkara ini secara tidak langsung menunjukkan komitmen dalam menangani isu sejagat yang menjejaskan umat Islam.
“Pertemuan Sebagai Peringatan Kepada Hubungan Antara Umat Islam” – DSAI
Anwar kini berada di Vladivostok sempena Forum Ekonomi Timur dari 3 hingga 6 September yang dianjurkan oleh Yayasan Roscongress.
Beliau menyatakan pertemuannya dengan Rushan sebagai satu peringatan kepada hubungan antara umat Islam di kedua-dua negara yang melangkaui jarak.
“Rusia mempunyai seramai 25 juta warga Muslim, yang tentunya lebih besar jumlahnya ketimbang Malaysia. Lantaran itu, ini mesti menjadi alasan yang kukuh betapa hubungan yang lebih erat perlu direncana dan diusahakan,” katanya.
Kunjungan ke Rusia kali ini ternyata mengujakan tatkala terpacul pelbagai peluang nyata yang mampu dimanfaatkan demi kebaikan dan kesejahteraan ummah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.