Tiada Sijil Halal JAKIM, 4 Premis Makanan Terkenal Keluar Kenyataan
Black Canyon, Johnny’s Restaurants, Dolly Dim Sum dan Bungkus Kaw Kaw sedang dalam proses bagi mendapatkan sijil halal JAKIM di kesemua cawangannya.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Semalam (3 September), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengeluarkan satu kenyataan berhubung penularan satu surat maklum balas bertarikh 2 September.
Menurutnya, semakan dalam sistem MYeHALAL JAKIM mendapati premis Johnny’s Restaurants, Black Canyon, Dolly Dim Sum, Mr. Dakgalbi dan Bungkus Kaw Kaw bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Sehubungan itu, empat daripada premis makanan yang dinyatakan JAKIM telah mengeluarkan kenyataan berkaitan isu premis tidak mempunyai sijil halal yang sah.
Baca Artikel Berkaitan: “5 Premis Makanan Terkenal Tiada Sijil Halal” – JAKIM
Johnny’s Restaurants & Black Canyon Guna Bahan Halal & Tiada Alkohol Dalam Makanan/Minuman
Pihak pengurusan Johnny’s Restaurants dan Black Canyon mengakui bahawa kedua-dua premis tersebut masih belum disahkan halal oleh JAKIM.
Ia bagaimanapun memberi jaminan bahawa kesemua bahan mentah yang digunakan di restoran kedua-dua premis itu adalah daripada pembekal dengan sijil halal.
Tambahnya lagi, tiada sebarang penggunaan alkohol atau wain dalam pemprosesan atau penyediaan makanan dan minuman di kedua-dua premis itu.
Dalam pada itu, pihaknya memaklumkan sedang dalam proses untuk mendapatkan sijil halal JAKIM bagi dapur pusat serta kesemua cawangannya.
Bungkus Kaw Kaw Positif Akan Dapat Sijil Halal Tahun Ini
Menerusi ruangan komen satu hantaran Instagramnya, Bungkus Kaw Kaw di bawah jenama induk Ah Cheng Laksa Sdn Bhd telah menjawab persoalan yang ditimbulkan orang ramai.
Katanya, ia mempunyai Pihak Bahagian Halal yang sedang dalam proses bagi permohonan sijil halal.
Tambahnya lagi, bahan mentah bagi kesemua 63 cawangan Bungkus Kaw Kaw dibekalkan oleh Central Kitchen Ah Cheng Laksa yang merupakan pemegang sijil halal sah.
Jenama tersebut telah memberi fokus bagi pensijilan halal cawangan Ah Cheng Laksa pada tahun 2023 dan kini dalam proses mendapatkan status halal bagi Bungkus Kaw Kaw.
“Pihak kami ingin menegaskan di sini bahawa kami sedang berusaha ke arah Pensijilan Halal Malaysia. Insya Allah, kami positif yang kami akan mampu mendapatkannya pada tahun ini,” katanya.
Dapur Pusat Dolly Dim Sum Terima Sijil Halal Pada 1 Ogos
Seperti yang telah diterangkan semalam, kesemua cawangan Dolly Dim Sum mendapatkan bahan mentah dan makanan separa siap dari dapur pusat yang telah disahkan halal oleh JAKIM pada 1 Ogos lalu.
Pihaknya juga pernah mengumumkan pada 1 Ogos bahawa proses untuk mendapatkan sijil halal bagi setiap cawangan sedang dijalankan.
Menerusi hantaran IGS, pihak Dolly Dim Sum menerangkan bahawa pemperolehan sijil halal dapur pusat merupakan sebahagian daripada langkah penting dalam keseluruhan proses pensijilan.
Carian kami tidak menemukan sebarang maklum balas atau kenyataan daripada premis makanan Mr Dakgalbi.
Artikel ini akan dikemas kini sekiranya pihak tersebut ada mengeluarkan kenyataan mengenai isu pensijilan halal di premisnya dalam masa terdekat ini.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.