Setahun Kemudian: Baitul Mahabbah Masih ‘Tahan’ Kanak-Kanak Warga Asing Tanpa Titik Akhir [Pendapat]
Beberapa kanak-kanak pelarian telah ditempatkan di dalam kemudahan Baitul Mahabbah selama hampir setahun, tanpa sebarang rancangan untuk melepaskan mereka.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Oleh:
Rangkaian Penghapusan Tahanan (End Detention Work)
Hari ini (4 September) menandakan setahun setelah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution melancarkan inisiatif Baitul Mahabbah yang menunjukkan komitmen beliau untuk “mengeluarkan kanak-kanak dari depot imigresen supaya mereka boleh mendapat penjagaan yang lebih berperikemanusiaan di dalam persekitaran yang lebih kondusif”.
Walaupun beberapa langkah telah diambil untuk memperbaiki keadaan di pusat-pusat tersebut, namun, pusat-pusat ini masih menafikan hak kebebasan kanak-kanak dan masih merupakan sejenis bentuk penahanan, kerana pusat-pusat ini dikawal oleh undang-undang dan prosedur imigresen yang ketat.
Setakat bulan Julai 2024, terdapat 170 kanak-kanak ditempatkan dalam pusat-pusat Baitul Mahabbah di seluruh negara.
Tiada rancangan alternatif untuk mengeluarkan kanak-kanak dari Baitul Mahabbah selain daripada penghantaran pulang. Beberapa kanak-kanak pelarian telah ditempatkan di dalam kemudahan Baitul Mahabbah selama hampir setahun, tanpa sebarang rancangan untuk melepaskan mereka.
Tambahan pula, tidak ada sebarang bentuk penilaian yang dijalankan untuk menentukan sama ada pusat-pusat Baitul Mahabbah ini sebenarnya bermanfaat untuk kesejahteraan kanak-kanak dan sekiranya pusat-pusat ini adalah penggunaan sumber yang cekap. Namun, pada bulan Ogos 2024, Menteri Dalam Negeri telah menyatakan hasratnya untuk membuka 6 pusat Baitul Mahabbah menjelang bulan Disember 2024, dan untuk membangunkan sekurang-kurangnya 6 pusat lagi pada tahun 2025.
Beberapa kanak-kanak di dalam Baitul Mahabbah telah ditahan selama hampir setahun, tidak termasuk tempoh masa mereka berada di depot tahanan imigresen sebelum dipindahkan ke Baitul Mahabbah.
Kanak-kanak pemohon suaka dibiarkan tanpa penyelesaian kerana UNHCR Malaysia tidak dibenarkan masuk ke depot tahanan imigresen, termasuk pusat Baitul Mahabbah, untuk mengesahkan tuntutan kanak-kanak ini, dan pihak Jabatan Imigresen Malaysia tidak ada sebarang mekanisma penapisan untuk pemohon suaka.
Memandangkan Baitul Mahabbah pada masa ini adalah untuk penempatan kanak-kanak berumur 10 tahun ke bawah, kanak-kanak lain dalam lingkungan umur 11 hingga 17 tahun terus kekal ditempatkan di dalam depot tahanan imigresen bersama tahanan-tahanan dewasa yang lain tanpa sebarang petanda jika mereka akan dimasukkan dalam sebarang rancangan masa depan.
Menahan kanak-kanak di depot imigresen atau mana-mana pusat tahanan lain, walaupun bersama dengan ibu bapa atau ahli keluarga mereka yang lain, adalah satu tindakan yang langsung tidak boleh diterima. Penahanan imigresen dan perampasan kebebasan membahayakan kanak-kanak dari segi mental dan fizikal.
Kajian klinik tunjuk kesan serius pada kanak-kanak
Kajian-kajian klinikal menunjukkan kesan serius terhadap kesejahteraan, tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak akibat penahanan imigresen, walaupun untuk tempoh masa pendek sekalipun – dan kesan ini boleh berbekas sepanjang hayat mereka. Tahanan dalam apa-apa jenis bentuk adalah bertentangan dengan kepentingan terbaik kanak-kanak dan merupakan pencabulan hak mereka.
EDN gesa KDN bebaskan kanak-kanak dari Baitul Mahabbah dan Depot Tahanan Imigresen
Dengan itu, EDN menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membebaskan kanak-kanak dari Baitul Mahabbah dan depot tahanan imigresen lain kepada alternatif kepada tahanan berasaskan komuniti. Ini boleh dilaksanakan melalui kerjasama dengan organisasi-organisasi perlindungan kanak-kanak yang boleh memberi sokongan pengurusan kes dan hubungan kepada komuniti-komuniti pelarian. EDN juga memberi perhatian tentang ketiadaan penglibatan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam operasi Baitul Mahabbah dan menyeru KPWKM untuk bekerjasama dengan KDN untuk melindungi hak kanak-kanak tanpa mengira latar belakang dan status imigresen mereka, mengikut kewajipan KPWKM berdasarkan Perlembagaan, yang digariskan dalam Akta Kanak-Kanak 20o1 dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-Kanak (UNCRC).
Kerajaan Malaysia dan ahli masyarakat sivil telah bekerjasama selama lebih dari sedekad untuk membangunkan dan melaksanakan alternatif kepada tahanan berasaskan komuniti bagi
kanak-kanak dalam pusat tahanan imigresen. Kami menyeru KDN untuk meneruskan usaha ini dan menubuhkan sebuah kumpulan kerja bersama wakil masyarakat sivil untuk membangunkan dan menjalankan sebuah projek rintis untuk membebaskan kanak-kanak dari Baitul Mahabbah kepada penempatan komuniti dan untuk menjalankan penilaian bebas terhadap Baitul Mahabbah untuk menyelaraskan Baitul Mahabbah mengikut kepentingan terbaik kanak-kanak.
Kerajaan Malaysia harus tekad dalam komitmen mereka untuk menegakkan hak dan kesejahteraan kanak-kanak dan menggerakkan sumber dari depot dan fasiliti tahanan ke arah memperkukuhkan sistem perlindungan kanak-kanak kebangsaan yang menyediakan penjagaan dan perlindungan berasaskan komuniti yang bukan berdasarkan institusi untuk kanak-kanak pelarian dan migran.
Di peringkat global, banyak negara lain telah mengambil langkah-langkah penting ini dan telah beralih dari pemikiran berdasarkan fasiliti tahanan ‘mesra kanak-kanak’ atau ‘mesra keluarga’ ke arah menamatkan penahanan imigresen kanak-kanak sama sekali. Ini adalah taraf yang harus dicontohi oleh Malaysia untuk bersaing dan maju dengan rakan-rakan di peringkat rantau dan global.
Penahanan ‘mesra kanak-kanak’ adalah sebuah konsep yang tidak wujud. Sebarang bentuk penahanan adalah satu bentuk pencabulan hak kanak-kanak. Kanak-kanak berhak untuk hidup dengan bebas. Sempena ulang tahun penubuhan Baitul Mahabbah ini, EDN menggesa Kerajaan Malaysia untuk meningkatkan usaha untuk memenuhi komitmen tempatan dan antarabangsa kita untuk menegakkan kepentingan terbaik kanak-kanak, membebaskan kanak-kanak kepada alternatif kepada tahanan berasaskan komuniti dan menghentikan penahanan kanak-kanak untuk tujuan imigresen.
EDN bersedia untuk menyokong KDN, KPWKM, penggubal dasar kerajaan, dan kakitangan pelaksana untuk meneruskan komitmen mereka bagi mengeluarkan kanak-kanak dari semua pusat tahanan imigresen dan melaksanakan alternatif kepada tahanan.
Tentang EDN: Rangkaian Penghapusan Tahanan (End Detention Network) adalah gabungan 21 organisasi masyarakat sivil dan individu yang bekerja secara kolektif untuk memastikan tiada orang ditahan di Malaysia kerana status imigresen mereka.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Koordinator, End Detention Network, endchilddetentionmy@gmail.com
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.