“Jangan Curi Parkir Customer!” – Food Court Bandar Sri Permaisuri Dibanjiri Kereta Penduduk Flat & Apartmen
Beberapa pengguna media sosial berkata mereka terpaksa membatalkan niat untuk ke Medan Selera Bandar Sri Permaisuri kerana tiada parkir kosong.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Biasanya di kawasan medan selera, pasti akan ada tapak parkir yang disediakan bagi memudahkan orang ramai berkunjung ke kedai makan.
Namun begitu, bagi tempat parkir percuma, ia seringkali disalah gunakan oleh individu tidak bertanggungjawab.
Malang sekali inilah yang terjadi di satu medan selera di ibu negara sehingga pelanggan gagal mendapatkan tempat parkir memandangkan ia sentiasa penuh.
Parkir Medan Selera Bandar Sri Permaisuri Dipenuhi Kereta Penduduk
Menerusi satu video yang tular di media sosial baru-baru ini, dapat dilihat tiada sama sekali petak parkir yang kosong di Medan Selera Bandar Sri Permaisuri, Cheras.
Individu yang memuat naik hantaran tersebut, @AzrulIzzaham, berkata kawasan parkir medan selera dipenuhi kereta milik penduduk flat dan apartmen berdekatan sehingga menyebabkan pelanggan membatalkan niat untuk makan di sana.
Katanya lagi, perkara ini menimbulkan rasa marah dalam kalangan pemilik kedai makan di medan selera berkenaan.
Banyak Kereta Ditampal Notis Peringatan
Melihat kepada video tersebut, banyak kereta telah ditampalkan dengan notis di bahagian cermin agar tidak lagi meletakkan kenderaan di situ.
Antara notis tersebut tertulis “Jangan ‘curi’ parking pelanggan kami,” dan “Parking penuh tiada pelanggan. Andalah penyebabnya.”
Malah, terdapat juga kereta yang ‘double park’ serta kenderaan berat yang turut ditampal notis sedemikian.
“Pernah Datang & Terus Keluar Sebab Tak Ada Parking” – Pengguna Media Sosial
Menjenguk ke ruangan komen, beberapa pengguna media sosial berkata mereka turut mengalami nasib yang serupa apabila cuba mencari tempat parkir di medan selera tersebut.
Ada yang sehingga meletakkan kenderaan di tempat lain, dan ada juga yang terpaksa membatalkan niat untuk menjamu selera di sana.
Orang ramai berkata isu tidak cukup parkir merupakan masalah yang sudah lama berlaku di Bandar Sri Permaisuri.
Seorang individu berkata ini terjadi kerana terdapat banyak unit flat tetapi ruang parkir yang terhad.
Malah, masalah ini juga mungkin disebabkan oleh rumah yang disewakan sehingga terdapat tiga, empat kereta bagi satu unit, kata Azizi Sulaiman.
Ramai Cadang Jadikan Parkir Berbayar
Melihat kejadian itu, ramai pengguna media sosial yang mencadangkan agar bayaran dikenakan ke atas kenderaan yang diletakkan di tempat parkir tersebut.
Namun begitu, ada yang mencadangkan agar parkir percuma dua jam diberi supaya pelanggan medan selera dapat meletakkan kereta tanpa dikenakan bayaran.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.