Now Reading
Sampel Air Sungai Pandan Diambil, Tadika & Sekolah Agama Ditutup Akibat Pencemaran Bau

Sampel Air Sungai Pandan Diambil, Tadika & Sekolah Agama Ditutup Akibat Pencemaran Bau

Tadika Kemas Jalan Masjid dan Sekolah Agama Kampung Melayu Pandan telah ditutup hari ini susulan pencemaran bau di kawasan tersebut.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Hari ini (3 September), media melaporkan pencemaran bau kimia di tiga kawasan di Johor Bahru merangkumi Taman Daya, Mount Austin dan Taman Istimewa sejak tengah malam tadi.

Sehubungan itu, pihak berkuasa telah mengambil sampel air dan tanah di Sungai Pandan berdekatan Kampung Melayu Pandan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon, sampel tersebut didapati mengandungi bahan kimia berdasarkan analisis peringkat awal oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) Johor.

Jenis kimia walau bagaimanapun masih tidak dapat dikenal pasti oleh JPBM berdasarkan kepada keputusan sampel.


Sampel Kedua Diambil Untuk Kesan Kandungan & Jenis Kimia

Kata Ling, bantuan didapatkan daripada Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Melaka untuk mengambil sampel kedua bagi mengetahui kandungan dan jenis kimia.

“Keputusannya akan diketahui hari ini. Pasukan teknikal Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor juga akan membawa peralatan bagi mengesan dan mendapatkan bacaan pencemaran di kawasan terlibat,” katanya dipetik MalaysiaGazette.

Tambahnya lagi, tindakan penguatkuasaan akan dijalankan oleh JAS terhadap kilang-kilang berdekatan Sungai Pandan setelah keputusan sampel kedua diketahui.

Sumber gambar: JBPM/ Facebook

Tadika Kemas Ditutup Susulan Pencemaran Bau

Pagi tadi, seramai 60 murid Tadika Kemas Jalan Masjid, Kampung Melayu Pandan diarah pulang susulan pencemaran bau dipercayai bahan kimia sejak awal pagi tadi.

Menurut pendidik Masyarakat Kemas, Siti Nor Azliza Abdul Aziz, bau dipercayai kimia itu bukan sahaja meloyakan, malah menyebabkan pening dan pedih mata.

“Saya datang ke tadika bersama dua lagi guru pada jam 7 pagi. Selepas Subuh kami menerima pesanan ringkas daripada penduduk memaklumkan ada bau kurang menyenangkan dipercayai bau kimia.

“Sebaik tiba (di tadika), saya dapati baunya amat kuat sehingga susah bernafas dan mata pedih,” katanya.

Tambahnya lagi, pihaknya telah berbincang dengan pengerusi tadika, penyelia dan pihak bomba sebelum membuat keputusan untuk menutup tadika.

Siti Nor berkata kesemua murid berusia lima dan enam tahun telah diminta segara pulang ke rumah pada jam 7.30 pagi.


Sekolah Agama Kampung Melayu Pandan Juga Ditutup

Di samping itu, Sekolah Agama Kampung Melayu Pandan turut ditutup disebabkan oleh pencemaran bau tersebut. Murid yang tiba di sekolah berkenaan pada jam 1 tengah hari tadi telah diarahkan pulang.

Ling berkata kedua-dua tadika dan sekolah agama ditutup setelah mengambil nasihat daripada agensi penguat kuasa yang menjalankan pemeriksaan di Kampung Melayu Pandan.

Sumber gambar: Ah Soon 林添顺/ Facebook

Ia sekaligus bagi membendung masalah lebih serius iaitu terhadap tahap kesihatan pelajar sekiranya terdedah dengan pencemaran tersebut.

“Saya telah berbincang dengan wakil penduduk di kawasan ini dan menasihati supaya sekolah agama di sini ditutup pada hari ini. Ini kerana kita belum kenal pasti lagi bahan apa yang menyebabkan pencemaran udara itu berlaku.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, adalah lebih baik operasi sekolah agama ini direhatkan pada hari ini sementara menunggu laporan siasatan,” katanya dipetik Sinar Harian.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd