“5 Premis Makanan Terkenal Tiada Sijil Halal” – JAKIM
Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) susulan tularnya satu surat maklum balas berkaitan status halal enam premis makanan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Setiap umat Islam pasti mahu memastikan agar makanan atau minuman yang diambil datangnya daripada sumber yang halal.
Di Malaysia, pengurusan halal berada di bawah bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Baru-baru ini, tular satu surat maklum balas JAKIM yang bertarikh 2 September berkaitan status halal bagi enam premis makanan.
Menerusi surat maklum balas tersebut, semakan JAKIM ke atas premis Johnny’s Restaurant, Black Canyon, Dolly Dim Sum, Ayam Penyet Best, Mr Dakgalbi dan Bungkus Kaw Kaw mendapati kesemuanya bukan pemegang sijil halal yang sah bagi skim premis makanan/ minuman.
Maklum balas itu diberi atas soalan yang dibangkitkan menerusi Borang Laman Web Bahagian Pengurusan Halal JAKIM.
5 Premis Makanan Terkenal Tiada Sijil Halal JAKIM
Hari ini (3 September), pihak JAKIM telah mengemukakan penjelasan mengenai penularan surat maklum balas berkenaan.
Menurutnya, pertanyaan tersebut telah diajukan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) JAKIM.
Berdasarkan semakan dalam sistem MYeHALAL JAKIM, status halal bagi premis Johnny’s Restaurant, Black Canyon, Dolly Dim Sum, Mr. Dakgalbi dan Bungkus Kaw Kaw adalah bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM). Justeru, maklum balas yang disediakan oleh Jabatan ini telah dijana melalui SISPAA.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
4 Cawangan Ayam Penyet Best Pemegang SPHM
Dalam masa sama, JAKIM berkata pihaknya telah membuat satu semakan semula menerusi Portal Halal Malaysia dan mendapati empat cawangan Ayam Penyet Best mempunyai sijil halal yang masih sah.
“Jabatan ini telah mengemukakan semula makluman kepada individu yang bertanya melalui e-mel pada 2 September 2024 jam 11.36 malam iaitu hari yang sama diberi maklum balas atas pertanyaan yang diajukan,” jelasnya.
JAKIM walau bagaimanapun tidak menyatakan cawangan manakah yang merupakan pemegang SPHM. Carian kami menemukan sebanyak 15 cawangan Ayam Penyet Best yang terdapat di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
Sebagai maklum balas, pihak Ayam Penyet Best telah mengemukakan satu notis yang menyatakan bahawa dapur pusat yang membekalkan bahan mentah dan makanan ke semua cawangan telah mendapat sijil halal sah sejak 2012.
Tambahnya lagi, ia dalam proses mendapatkan SPHM bagi kesemua cawangan secara berperingkat.
Dapur Pusat Dolly Dim Sum & Bungkus Kaw Kaw Ada Sijil Halal
Dolly Dim Sum menerusi laman webnya berkata dapur pusat yang membekalkan makanan dan bahan mentah kepada kesemua cawangannya mempunyai sijil halal yang sah.
Perkara ini boleh disemak melalui direktori halal JAKIM di bawah nama pemiliknya, Asia Mex Sdn Bhd.
Di samping itu, Bungkus Kaw Kaw pula berkongsi dapur pusat dengan syarikat induk Ah Cheng Laksa Sdn Bhd yang turut mempunyai sijil halal JAKIM.
Orang ramai boleh membuat semakan status halal mana-mana premis atau produk menerusi Portal Halal Malaysia.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.