Kes Rogol: Hakim Sifatkan Perbuatan Da’i Syed Tidak Dapat Diterima Akal
Menurut Hakim Norazlim Othman, mahkamah mendapati Da’i Syed gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Hari ini (30 Ogos), pendakwah selebriti, Da’i Syed telah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas pertuduhan merogol seorang wanita di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7, Shah Alam pada lima tahun lalu.
Hakim Norazlin Othman membuat keputusan tersebut selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pembelaan tertuduh.
Perbuatan Da’i Syed tidak dapat diterima akal secara munasabah
Memetik Harian Metro, Norazlin turut menyifatkan perbuatan pendakwah berusia 29 tahun itu sebagai tidak dapat diterima akal secara munasabah kerana mempergunakan mangsa seorang wanita yang lemah.
Beliau berkata demikian sebelum menjatuhkan hukuman berkenaan kepada Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful.
Menurutnya, mahkamah mengambil kira peranan yang sering dimainkan oleh tertuduh dalam memberikan ceramah agama dan motivasi.
Mahkamah ambil kira kesan trauma mangsa
“Mahkamah juga mempertimbangkan kesan trauma kepada mangsa kerana membabitkan wanita dan kehormatan.
“Pastinya mangsa mengalami trauma kerana perlu kumpulkan kekuatan untuk tampil membuat laporan dan melalui setiap proses perundangan yang panjang dan bukan mudah, kejadian ini akan terus berada dalam ingatan mangsa hingga akhir hayat,” katanya.
Menurutnya lagi, mahkamah juga mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan itu.
Pembelaan tertuduh bersifat penafian, tak cukup nak patahkan kes pendakwaan
“Pembelaan tertuduh bersifat penafian dan tidak cukup mematahkan kes pendakwaan bahawa kejadian rogol sememangnya berlaku.
“Pihak pendakwaan membuktikan bahawa tertuduh adalah orang yang mula-mula mengajak mangsa keluar dan membawa pergi ke rumahnya.
“Selain itu, mangsa yang lemah dan lurus bendul dibuktikan tidak boleh membuat keputusan serta melawan tertuduh ketika kejadian,” katanya lagi.
Tertuduh seorang penceramah beri impak besar kepada masyarakat
Jelas Norazlin, mahkamah turut mengambil kira faktor peranan tertuduh sebagai penceramah dan pakar motivasi yang memberi impak besar kepada masyarakat terutamanya golongan muda.
“Kes ini membabitkan mangsa yang juga masih muda dan kesan trauma itu akan terus berada dalam ingatannya sehingga akhir hayat.
“Justeru, hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan bukan saja pengajaran kepada tertuduh malah bagi orang awam lain secara keseluruhannya,” ujarnya.
Syed menangis teresak-esak sebaik hukuman dijatuhkan
Sebaik keputusan dijatuhkan mahkamah, Syed yang baru sahaja bergelar bapa dilihat menangis teresak-esak sewaktu berada di dalam kandang tertuduh.
Dia turut dilihat memeluk si isteri, Hana Ismail berusia 38 tahun yang hadir menemaninya pada hari ini.
Hukuman terhadap Syed berkuatkuasa bermula hari ini.
Setakat artikel ini ditulis, Hana belum memberi sebarang kenyataan berhubung hukuman yang dijatuhkan kepada suaminya itu.
Baca Artikel Berkaitan: Da’i Syed Dipenjara 10 tahun, 3 Sebatan Kerana Merogol Wanita 5 Tahun Lalu
Terdahulu pada 10 April 2023, Hakim Rihaida Rafie telah melepas dan membebaskan pendakwah selebriti berkenaan dari tuduhan terbabit tanpa memanggil Syed untuk membela diri.
Syed pada 10 Disember 2020 mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol wanita yang ketika itu berusia 23 tahun berkenaan jam 1.35 malam pada 11 September 2019.
Baca Artikel Berkaitan: Da’i Syed Bebas Kes Persetubuhan Luar Tabii dan Cabul Penuntut Kolej
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.