[Video] Ini Cara Sucikan Najis Di Atas Tilam Atau Sofa
Najis mutawassitah perlu disucikan menggunakan air mutlak sehingga hilang bau, warna dan rasa.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Ibu bapa yang ada bayi baru nak belajar tidak memakai lampin, mesti tak boleh elak daripada insiden ‘terlepas’ ketika tidur.
Jika terlepas di atas tilam, pasti sukar untuk mencucikannya melainkan anda mempunyai peralatan khas seperti wet vacuum.
Namun begitu, bagi bayi yang sudah berumur lebih dua tahun atau memakan makanan lain, najisnya dikategorikan sebagai najis mutawassitah dan wajib disucikan.
Bersihkan Najis Dari Permukaan Dahulu
Menerusi satu video dimuat naik ke TikTok oleh pengguna Miss Emyliya, Ustaz Dr Nur Mohammad Hadi menerangkan cara untuk menyucikan najis pada tilam ataupun sofa.
Menurutnya, ulama berkata agar menghilangkan najis yang terdapat pada permukaan dahulu dengan menggunakan benda kering seperti tisu atau kain.
Perkara ini boleh dilakukan dengan menekapkan tisu atau kain kering pada permukaan yang terkena najis dan dibuang.
Dr Hadi menjelaskan agar perkara ini dilakukan buat beberapa kali sehingga zat najis tidak lagi kelihatan atau berkurangan.
Lalukan Air Mutlak Pada Tempat Terkena Najis
Setelah zat najis dibersihkan, kawasan tersebut perlu dilalukan dengan air mutlak sama ada menggunakan gayung ataupun semburan air.
Kemudian, tekapkan tisu atau kain ke atas air mutlak untuk menyucikan kesan najis. Lakukan beberapa kali sehingga hilang bau, warna dan rasa najis.
Kata Dr Hadi, pastikan tempat tersebut tidak lagi basah. Namun tidak menjadi masalah jika ia masih lembap. Tambahnya lagi, jika terdapat sedikit warna, ia sudah dikira sebagai suci.
Merujuk kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff telah meringkaskan berkenaan hukum bagi keadaan sukar untuk menyucikan kepada dua, iaitu:
- Jika tinggal bau dan warna atau hanya rasa sahaja, maka wajib membasuhnya bersama bahan bantuan seperti sabun sehingga hilang sifat-sifat tersebut.
- Jika hanya tinggal bau sahaja atau warna sahaja, hukumnya adalah dikira sebagai suci dan sah solat padanya.
Air Basuhan Yang Meresap Ke Dalam Tilam Dimaafkan
Tetapi bagaimana pula dengan air basuhan yang meresap ke dalam tilam atau sofa?
Kata Dr Hadi, perkara itu tidak dikira sebagai najis kerana kita hanya perlu melihat pada zahirnya sahaja.
Imam al-Nawawi telah menukilkan pendapat Imam Syafie bahawa:
لو أحمى حديد ثُمَّ صَبَّ عَلَيْهَا سُمًّا أَوْ غَسَلَهَا فِيهِ فَشَرِبَتْهُ ثُمَّ غُسِلَتْ بِالْمَاءِ طَهُرَتْ لِأَنَّ الطَّهَارَاتِ كُلَّهَا إنَّمَا جُعِلَتْ عَلَى مَا يَظْهَرُ فِيهِ لَيْسَ عَلَى الْأَجْوَافِ
Maksudnya: “Sekiranya dipanaskan sekeping besi dan kemudian besi tersebut disiram dengan racun (najis) atau dibasuh dengannya. Dan kemudian, racun tersebut telah meresap masuk ke dalam besi tersebut. Kemudian, besi tersebut dibasuh dengan air, maka ia kembali menjadi suci kerana kesucian itu adalah berdasarkan apa yang zahir (dilihat) dan bukannya pada apa yang ada di dalam rongga (tidak nampak).”
Buat Basuhan Sehingga 3 Kali
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff membahagikan najis mutawassitah terbahagi kepada dua iaitu hukmiyyah dan ‘ainiyyah.
Hukmiyyah ialah najis yang tidak kelihatan secara jelas kerana tiada tanda-tanda seperti bau, rasa dan warna. Cukup sekadar mengalirkan air pada tempat yang terkena najis untuk menyucikannya.
Sebaliknya, ‘ainiyyah ialah najis yang kelihatan dan mempunyai sifat sama ada bau, rasa atau warna.
Ia perlu dibersihkan dengan air sehingga hilang kesemua sifat. Jika zat najis dapat dihilangkan dengan sekali basuhan, sunat untuk membasuh pada kali kedua dan ketiga.
Jika najis tidak dapat dihilangkan dengan sekali basuhan, wajib dibasuhkan buat kali kedua dan ketiga jika masih belum hilang.
Walau bagaimanapun, sekiranya najis tidak hilang selepas tiga basuhan bersama bahan bantuan seperti sabun, ia dinamakan sebagai keadaan yang susah dan dikira suci.
Tak Perlu Bersihkan Tempat Yang Tiada Sifat Najis
Bagaimana pula jika baru perasan lampin bayi bocor sewaktu menukar lampin atau memandikannya? Mungkin risau terdapat najis yang terkena pada mana-mana tempat.
Dalam keadaan begini, cukup sekadar mengambil hukum zahir iaitu mempunyai sifat bau, warna dan rasa. Manakala jika tiada semua ini, tempat tersebut tidak perlu dibersihkan.
Kaedah mengatakan:
نَحنُ نَحكُمُ بالظَوَاهِرِ واللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ
Maksudnya: “Kita menentukan hukum berdasarkan perkara-perkara yang nyata zahir sedangkan Allahlah yang menguasai perkara-perkara yang rahsia.”
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.