Now Reading
“Ibu Bapa Perlu Tahu Batas Sentuhan Dengan Anak-Anak Semasa Bergurau” – Jurulatih Parenting

“Ibu Bapa Perlu Tahu Batas Sentuhan Dengan Anak-Anak Semasa Bergurau” – Jurulatih Parenting

Anak-anak perlu diajar tentang batas sentuhan dan tidak patut dibiasakan dengan gurauan di bahagian-bahagian privasi.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Setiap ibu bapa pasti mahu melindungi anak daripada sebarang keburukan, termasuk sentuhan bahaya pada tubuhnya.

Namun kadangkala ada ibu dan bapa alpa dan bergurau secara berlebihan dengan anak-anak, termasuk memegang pada bahagian tubuh badan yang tidak sepatutnya seperti dada, punggung dan alat sulit.


Ibu Bapa Perlu Kurangkan Gurauan Tidak Senonoh

Fhais Salim yang merupakan seorang jurulatih keibubapaan bertauliah berkata dia tidak gemar melihat ibu bapa bergurau dengan anak-anak sehingga menepuk punggung, dada, ketiak dan sebagainya.

Tambahnya lagi, dalam membesarkan anak-anak, satu perkara yang perlu diajar adalah tentang batas sentuhan.

“Kita nak ajar anak tentang sentuh baik dan tak baik. Nak ajar anak untuk mengelak daripada dicabul, meraba,” katanya.

Fhais berkata ibu bapa perlu mengurangkan gurauan sedemikian untuk mengelakkan anak daripada terbiasa dengannya.

Macam mana anak nak tahu jaga diri sendiri jika kita pun bergurau-gurau di ‘private area’ yang sepatutnya dilindungi.

Jurulatih keibubapaan bertauliah, Fhais Salim

Anak Sedar Tentang Alat Sulit Pada Usia 2 Tahun

Fhais menerangkan bahawa anak berusia dua tahun ke atas sudah mula menyedari tentang kewujudan alat sulit mereka.

“Masa itulah baru anak rasa dia ada zakar, ada faraj. Itu sebablah pada ketika ini ramai anak-anak mungkin akan mula bermain dan sebagainya,” katanya.

Dia menegaskan inilah sebab mengapa ibu bapa perlu mengurangkan gurauan yang tidak senonoh kepada anak yang telah berusia dua tahun.


Laporan Murid Meraba Di Sekolah

Sebaliknya, anak-anak perlu diajar dari kecil tentang batas-batas sentuhan agar dapat diterapkan sehingga besar.

Katanya lagi, antara laporan yang diterima daripada ibu bapa adalah tentang kes raba di sekolah.

Murid lelaki meraba murid perempuan, manakala murid perempuan pula merasakan perkara itu normal.

@fhaissalim

Macam mana anak nak tahu jaga diri sendiri jika kita pun duk bergurau gurau di private area yang sepatutnya dia serius lindungi.. haish.. #parenting #anak #parentingjourney

♬ original sound – Fhais Salim • Parenting – Fhais Salim • Parenting

Sentuhan Selamat VS Tak Selamat

Seperti yang dinyatakan oleh Fhais, ibu bapa bertanggungjawab untuk mendidik anak-anak tentang jenis-jenis sentuhan. Terdapat tiga jenis sentuhan seperti berikut:

Sentuhan selamat

  • Termasuk memeluk, menepuk di belakang dan merangkul bahu.
  • Sentuhan berkaitan kesihatan yang dilakukan oleh petugas kesihatan, namun lebih elok sekiranya ibu bapa menemani anak.

Sentuhan tidak selamat

  • Sentuhan yang menyakiti tubuh seperti menolak, memukul, mencubit dan menendang.
  • Termasuk juga sentuhan dengan niat buruk pada bahagian privasi seperti dada, alat sulit dan leher.
  • Terangkan kepada anak bahawa sentuhan ini adalah bersifat negatif dengan tujuan untuk menyakitinya.
  • Ingatkan anak agar melaporkan sebarang sentuhan tidak selamat kepada ibu bapa atau orang yang dipercayai.

Sentuhan yang tidak diingini

  • Ini mungkin sentuhan selamat, namun tidak diingini oleh anak.
  • Tidak mengapa jika anak mengatakan tidak pada sentuhan ini walaupun bersalaman atau memeluk.
  • Jangan dipaksa kerana ia dapat menetapkan sempadan peribadi mereka.

Selain sentuhan, ibu bapa juga perlu menerangkan kepada anak perkara yang tidak boleh dilakukan berkaitan tubuh badan seperti membuka pakaian di hadapan orang dan melihat bahagian sulit orang lain.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd