Pakar Cadang Guna MySejahtera Untuk Pantau Penyakit Mpox, Lapor Kendiri & Tak Perlu Kuarantin
Penggunaan MySejahtera turut dicadangkan bagi pelancong dalam negara dengan sejarah perjalanan ke negara-negara dengan kes Mpox atau Cacar Monyet.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Peningkatan jangkitan virus Monkey Pox (Mpox) atau Cacar Monyet di Afrika telah diisytiharkan sebagai darurat kesihatan awam global (PHEIC) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 14 Ogos lalu.
Ia dilakukan susulan peningkatan kes Cacar Monyet di Republik Demokratik Congo (DR Congo) dan penularan ke negara berdekatan.
Malah, sebanyak 33 kes yang disyaki cacar monyet telah dilaporkan di Malaysia. Namun, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan kesemua kes adalah negatif. Manakala terdapat satu kes baharu sedang menunggu pengesahan setakat semalam.
Baca Artikel Berkaitan: WHO Isytihar Cacar Monyet Darurat Kesihatan Awam, KKM Umum Tiada Kes Baru Di Malaysia
Terbaharu, pakar perubatan kesihatan awam, Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh percaya penting untuk mencari jalan dalam memantau individu yang pulang ke Malaysia dari luar negara yang mempunyai kes Mpox.
Katanya, memandangkan kes Mpox lebih sukar untuk dijejak, penggunaan aplikasi MySejahtera dapat membantu pihak berkuasa kesihatan untuk menjejak tempat yang telah dikunjungi seseorang.
Cadangkan MySejahtera Untuk Pengembara Dari Negara Dengan Kes Positif
Pakar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu juga mencadangkan aplikasi MySejahtera bukan hanya digunakan oleh rakyat Malaysia, tetapi juga pelancong dalam negara dengan sejarah perjalanan ke negara-negara dengan kes Cacar Monyet itu.
“Ini adalah penting memandangkan banyak negara mempunyai kes Mpox yang disahkan. Jadi kita perlu mencari jalan untuk mengenal pasti sama ada mereka yang telah melawat negara-negara tersebut mempunyai kontak dengan kes positif,” katanya dipetik The Star.
KDN Pantau 4 Pintu Masuk Utama Negara
Diperkenalkan pada tahun 2020 oleh kerajaan, MySejahtera berfungsi bagi mengurus penularan COVID-19, terutamanya bagi mengenal pasti kontak rapat, laporan kendiri kes positif dan pendaftaran vaksin.
Walaupun WHO telah mengisytiharkan wabak Cacar Monyet sebagai PHEIC, kes terakhir dilaporkan di Malaysia adalah pada November tahun lepas.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang memantau empat pintu masuk utama negara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), KLIA2 serta Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor, bagi membantu pencegahan Mpox di Malaysia.
Prof Sharifa Ezat juga berkata jika aplikasi MySejahtera digunakan untuk memantau kes Mpox, pengumuman rasmi harus dilakukan.
Baca Artikel Berkaitan: Malaysia Catat 2 Kes Pertama Positif Cacar Monyet – KKM
Perlu Lakukan Simulasi Berkala Untuk Tindak Balas Pantas
Dalam masa sama, pakar kesihatan awam Datuk Dr Zainal Ariffin Omar bersetuju dengan cadangan penggunaan MySejahtera. Tambahnya, aplikasi tersebut perlu diletakkan di bawah bidang kuasa Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Beliau berkata Malaysia perlu meneruskan pengawasan yang ketat dan mengikut masa sebenar (real-time) penularan Cacar Monyet, berikutan ketidaksiapan global dalam menghadapi pandemik COVID-19 sebelum ini.
“Kita perlu bersedia dengan garis panduan asas bagi wabak global umum seperti Cacar Monyet. Amalan simulasi secara berkala dengan kakitangan kesihatan dan barisan hadapan dalam tindak balas pantas terhadap wabak perlu dilakukan,” kata Dr Zainal.
Pakar Saran Lakukan Laporan Kendiri, Tak Perlu Kuarantin
Di samping itu, pakar perubatan kesihatan awam, Prof Dr Malina Osman dari Universiti Putra Malaysia (UPM) meminta orang ramai agar berkerjasama dengan pihak berkuasa untuk melakukan laporan kendiri jika mereka telah terdedah atau menunjukkan simptom Cacar Monyet.
“Saya merasakan laporan kendiri dari mereka yang mungkin telah terdedah dan berisiko sudah cukup, tidak perlu menjalankan kuarantin,” katanya dipetik The Star.
Perunding ahli mikrobiologi klinikal UPM, Prof Dr Zamberi Sekawi pula menekankan kesedaran dalam masyarakat umum adalah penting memandangkan penyakit itu dikaitkan dengan tingkah laku berisiko tinggi seperti hubungan intim.
Beliau juga berkata kuarantin tidak perlu dijalankan, namun pemantau boleh dilakukan sehingga 21 hari mengikut garis panduan antarabangsa.
Tambahnya lagi, fasiliti ujian dalam negara mencukupi untuk memantau sebarang kes Mpox.
Tempoh Pengeraman Virus Mpox 5-21 Hari
Sebagai info, virus Cacar Monyet biasanya berjangkit menerusi hubungan intim dan sentuhan rapat secara langsung dengan ruam atau lepuh pada kulit individu yang mempunyai gejala jangkitan.
Gejala penyakit ini adalah demam berserta ruam ‘maculopapular rash’ atau ruam lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan, konjunktiva dan kornea.
Menurut KKM, tempoh pengeraman (incubation period) iaitu tempoh terdedah kepada jangkitan sehingga individu menunjukkan gejala jangkitan Mpox adalah lima hingga 21 hari.
Individu positif Mpox boleh menjangkiti orang lain sehari sebelum gejala muncul dan sehingga semua lepuh telah kering sepenuhnya.
33 Kes Disyaki Dilaporkan Negatif
Setakat semalam, sebanyak 33 kes dalam negara yang disyaki Mpox disahkan negatif oleh Dr Dzulkefly. Manakala satu kes baharu sedang menunggu pengesahan.
Pihaknya juga telah mengeluarkan garis panduan bagi pengembara antarabangsa.
“KKM sedang mengkordinasi dengan perwakilan Malaysia (Kedutaan & Misi) di seluruh dunia bagi menghebahkan maklumat kepada pengembara Malaysia supaya mematuhi garis panduan ini,” katanya menerusi hantaran di X.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.