Now Reading
Daun Senduduk Bulu Banyak Kegunaan, Boleh Jadi Sabun & Sesuai Untuk Merawat Luka

Daun Senduduk Bulu Banyak Kegunaan, Boleh Jadi Sabun & Sesuai Untuk Merawat Luka

Malah menurut Jabatan Perhutanan, air rebusan daun dan akar senduduk juga boleh diminum untuk rawatan selepas bersalin.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Terdapat pelbagai jenis sabun pencuci pinggan yang dijual di pasaran. Ada yang dalam bentuk cecair dan ada juga yang berbentuk pepejal di dalam bekas.

Malah, terdapat juga sabun pencuci pinggan gred makanan (food grade) yang selamat digunakan untuk mencuci makanan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.

Namun siapa sangka, rupa-rupanya ada sumber semula jadi yang boleh digunakan bagi menggantikan sabun pencuci pinggan sintetik.


Daun Senduduk Bulu Sebagai Sabun Cuci Pinggan

Video dimuat naik oleh pengguna TikTok, @mamaq3funland, menunjukkan bagaimana sejenis daun digunakan bagi menggantikan sabun pencuci pinggan yang telah habis.

Pada mulanya, dia menunjukkan pinggan besi dengan permukaan berminyak. Jelas sekali sabun perlu digunakan bagi menghilangkan kesan minyak tersebut.

Wanita itu kemudian mengambil sesuatu seakan buih berwarna hijau dan meletakkannya ke atas pinggan berminyak tadi sebelum digosok menggunakan span pencuci pinggan.

Setelah pinggan tersebut dibilas, permukaannya kelihatan bersih tanpa sedikit pun bekas minyak yang terlekat padanya.

Rupa-rupanya, sabun tersebut dihasilkan daripada daun senduduk bulu! Tambah wanita itu lagi, daun tersebut mempunyai banyak kegunaannya.


Orang Ramai Kongsi Kegunaan Lain Daun Senduduk Bulu

Menjenguk ke ruangan komen, ramai orang berkata mereka menggunakan bulu tersebut untuk pelbagai perkara. Paling best sekali, ada yang jadikan daun senduduk bulu sebagai sabun sewaktu mandi di parit atau sungai.

Selain digunakan sebagai sabun untuk mencuci, ramai berkongsi bahawa daun yang telah dilumatkan boleh diletakkan pada luka bagi menghentikan pendarahan. Ia juga dapat menghentikan pendarahan akibat digigit pacat.

“Saya pernah tercucuk cermin di lutut, sampai tak boleh berjalan. Mak gosok daun ini sampai keluar buih dan tekapkan pada lutut. Alhamdulillah sembuh,” kata seorang wanita.

Di samping itu, seorang individu berkata mengunyah daun senduduk bulu dapat mengurangkan rasa sakit gigi.

Ada juga yang merebuskan daun ini bersama pucuk betik untuk menghilangkan getah dan rasa pahit.

Seorang individu menjelaskan bahawa daun senduduk bulu ini serta buahnya boleh dimakan.

Sumber: TikTok

Daun Sebagai Sabun Semula Jadi Di Pulau Bangka

Menerusi satu video lain yang dikongsikan di TikTok, sabun dapat dihasilkan dengan meramas daun senduduk bulu sehingga lumat.

Tambahnya lagi, bau daun yang dilumat itu wangi seperti jambu batu.

Sebagai info, daun senduduk bulu sering digunakan sebagai sabun semula jadi oleh masyarakat Melayu di Pulau Bangka, Indonesia. Mereka menggelar daun tersebut sebagai ‘daun sabun’.

https://www.tiktok.com/@paihdiki/video/7137289504229985562

Daun Senduduk Bulu Spesis Invasif

Merujuk kepada artikel oleh Universiti Putra Malaysia (UPM), senduduk bulu atau nama saintifiknya Clidemia hirta berasal dari Amerika Selatan.

Di Malaysia, ia merupakan tumbuhan rumpai invasif yang tumbuh di tepi jalan, kawasan kediaman dan pertanian serta pinggir dan lorong hutan.

Selain digunakan sebagai sabun semula jadi, daun senduduk bulu terdapat banyak khasiat lain seperti dikongsi ramai pengguna TikTok.

Daunnya boleh ditumbuk lumat untuk diletakkan pada luka, kudis, lebam dan ulser di kulit. Malah, campurannya dengan bahan-bahan tertentu dapat merawat masalah kulit.

Buah senduduk bulu boleh dimakan dan rasanya seakan-akan blueberry. (Sumber gambar: Mongabay)

Senduduk Bulu Mengandungi Bahan Tanin

Jadi, bagaimanakah daun senduduk bulu berfungsi dalam menghentikan pendarahan? Ini kerana ia mengandungi bahan tanin yang dapat menghentikan pendarahan, mengurangkan bengkak dan menyembuhkan luka.

Selain itu, daun senduduk bulu juga boleh dibuat teh. Pengambilan daun ini yang mengandungi tanin dapat membantu dalam mengatasi masalah bengkak atau radang di dalam perut.

Malah, tanin dikatakan dapat melegakan mata yang terlalu letih.

Menurut Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, daun dan pucuk senduduk boleh diambil untuk memulihkan cirit-birit.

Di samping itu, air rebusan akarnya boleh digunakan bagi melegakan sakit gigi, melembutkan kaki dan mengurangkan kembung perut. Malah air rebusan daun dan akar juga boleh diminum untuk rawatan selepas bersalin.

Memandangkan tumbuhan ini adalah spesis yang invasif, tiada masalah untuk memetiknya dan mengambil kebaikan daripadanya memandangkan ia cepat membiak.

Sumber gambar: Mongabay

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd