“You Deserve An Award!” – Orang Ramai Puji Lelaki Masak Nasi Dagang Buat Rakan Sekerja Di Korea
Lelaki yang berkerja di Korea itu turut meminta rakan sekerjanya menjamu hidangan nasi dagang menggunakan tangan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Malaysia yang menjadi tempat pertembungan pelbagai budaya sememangnya terkenal dengan bermacam jenis juadah yang menyelerakan.
Dari nasi kerabu di Pantai Timur hingga ke nasi kuning di negeri di bawah bayu, kesemuanya menjadi kebanggaan bukan sahaja masyarakat setempat, malah seluruh warga Malaysia.
Lebih menarik lagi apabila makanan-makanan tradisi dalam negara telah mula diperkenalkan ke peringkat antarabangsa.
Baca Artikel Berkaitan: “Sedap”- Acik-Acik Jepun Gembira Makan Bihun Goreng Dimasak Lelaki Malaysia [Video]
Lelaki Sediakan Juadah Dari Malaysia Buat Rakan Sekerja Di Korea
Seorang lelaki yang bekerja di Korea Selatan, Fikri Akram, sering membuat perkongsian di mana dia memasak dan menghidangkan pelbagai juadah dari Malaysia buat rakan sekerjanya.
Baru-baru ini, dia telah menyediakan satu hidangan yang sinonim dengan negeri Terengganu iaitu nasi dagang. Video yang dimuat naik di TikTok telah mencecah 1.2 juta tontonan setakat artikel ini ditulis.
Menerusi video, kelihatan dia menyediakan semua komponen nasi dagang dengan sendiri.
Dipercayai Fikri memasak nasi dagang Terengganu melihat pada warna nasinya yang putih. Sebaliknya nasi dagang Kelantan pula berwarna lebih kemerah-merahan atau perang.
Tak Guna Cara ‘Short Cut’ Untuk Masak Nasi Dagang
Bagi mereka yang pernah memasak nasi dagang, pasti anda tahu betapa remehnya untuk menyediakan hidangan tersebut.
Tidak seperti nasi biasa, nasi dagang perlu dikukus beberapa kali dan digaul dengan santan. Malah, ada orang lama-lama yang percaya ia perlu dikukus sehingga tujuh kali!
Melihat pada perkongsian Fikri, dia sememangnya tidak mengambil ‘short cut’ untuk menyediakan nasi dagang.
Dia telah merendam beras untuk membuat nasi dagang selama lima hingga enam jam terlebih dahulu. Kemudia dia mengukus nasi dagang tersebut selama tiga kali. Mesti sedap dan lembut nasinya.
Dia turut menyediakan gulai ikan, gulai ayam dan acar timur bagi melengkapkan hidangan warisan Terengganu itu.
Warga Korea Makan Nasi Dagang Guna Tangan
Sewaktu menghidangkan juadah tersebut bagi rakan sekerjanya, Fikri siap melapikkan pinggan dengan daun pisang.
Malah dia telah meminta rakan sekerjanya menjamu selera menggunakan tangan. Barulah feel!
Seperti biasa, rakan sekerjanya menggemari hidangan dari Malaysia itu. Nampak enjoy betul mereka menjamu selera. Sampai bertambah-tambah dan siap ada yang hirup kuah gulai sampai licin.
“Walaupun masak agak remeh, tapi kalau dah siap boleh lupa jalan pulang. Alhamdulillah, sempat masak untuk sebahagian korean officemates rasa Nasi Dagang Ikan dan Ayam,” kata Fikri.
Tonton video penuh DI SINI.
Ini bukanlah kali pertama Fikri menghasilkan hidangan dari Malaysia buat rakan sekerjanya di sana. Antara video yang tular menyaksikan dia menghidangkan juadah sate ayam, nasi lemak, udang masak lemak dan nasi kuning Sabah.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Netizen Bangga Orang Korea Enjoy Makan Sate Dengan Kuah Kacang Disediakan Rakan Sekerja Dari Malaysia
“You Deserve An Award!” – Pengguna TikTok
Menjenguk ke ruangan komen, rata-rata pengguna TikTok dari Malaysia memuji keazaman Fikri dalam memperkenalkan hidangan tradisi itu.
Malah ada yang siap cadangkan dia diberi anugerah TikTok kerana memperkenalkan masakan Malaysia di luar negara.
Tidak kurang ramai juga yang memuji Fikri kerana pandai memasak nasi dagang walaupun dia sebenarnya berasal dari Sabah. Kan dah kata, tak senang nak masak nasi dagang tau.
Seorang individu berkata dia tidak pernah mencuba nasi dagang, namun terus menginginkannya selepas melihat orang Korea makan dengan begitu enak. Memang terliur tengok video Fikri masak nasi dagang🤤
Ini Cara Buat Nasi Dagang Terengganu
Bila dah tengok Fikri masakkan nasi dagang untuk rakan sekerjanya, terliur pula kan?
Di bawah adalah cara-cara untuk menghasilkan juadah tradisi Terengganu itu yang dikongsikan oleh Che Nom. Terdapat tiga komponen utama nasi dagang iaitu nasi, kuah gulai dan acar timun.
#1. Nasi Dagang
Bahan-bahan:
- 4 cawan beras wangi
- 1 cawan beras pulut (pilihan)
- 2 cawan santan pekat
- 2 cawan santan cair
- 1 1/2 sudu besar halba
- 2 inci halia dihiris halus seperti mancis
- 3 biji bawang merah kecil dihiris nipis
- 3-4 sudu kecil garam
- 2 sudu besar gula
Cara-cara:
- Campur beras wangi thai dan beras pulut (pilihan). Namun wajib campur beras pulut jika guna beras biasa.
- Basuh dan rendam beras antara 8 hingga 9 jam.
- Toskan air dan masuk beras dalam loyang pengukus yang dialaskan dengan daun pisang.
- Buat beberapa kawah lubang pada beras.
- Kukus sekitar 10 minit.
- Pindah nasi dalam bekas besar. Kacau dengan santan cair dan halba.
- Tunggu nasi kering, kemudian kukus semula sekitar 20 minit.
- Pindah semula nasi ke dalam bekas besar. Kacau nasi dengan hirisan bawang, halia dan santan pekat sehingga kering dan serap semua lembapan dari santan.
- Tekan dan ratakan permukaan nasi. Tutup dan biarkan nasi rehat sekitar 15-20 minit.
#2. Kuah gulai
Bahan-bahan:
- 1 kg ikan tongkol
- 1 cawan air asam jawa
- 2-3 ulas bawang putih
- 1/2 inci lengkuas
- 3 keping asam gelugor
- Air secukupnya
- 1 sudu kecil garam
- 1 biji bawang besar
- 4 biji bawang merah kecil
- 4 ulas bawang putih
- 1/2 inci lengkuas
- 1 inci halia
- 1 ketul kunyit hidup
- Sedikit air
- 1/2 sudu besar halba
- 8-10 tangkai cili padi
- 3 sb rempah gulai
- Santan dari 1 biji kelapa
- 2-3 senduk cili kisar
- Air rebusan ikan
- 2 sudu besar gula nisan
- 1-2 keping asam gelugor
- Garam secukup rasa
- 2 sudu besar kerisik
- Rempah gulai Cap Bunga Rose
Cara-cara:
- Rebus ikan dengan asam keping, bawang putih dan lengkuas sekitar 15-20 minit.
- Asingkan ikan dan air rebusan.
- Kisar halus bawang merah besar, bawang merah kecil, bawang putih, lengkuas, halia, kunyit hidup.
- Bancuh rempah Cap Bunga Rose dengan air dan kacau sebati.
- Tumis bahan kisar dan biji halba sehingga garing.
- Masukkan cili kisar dan kacau sebati.
- Masukkan sedikit air rebusan ikan dan bancuhan rempah gulai. Kemudian tumis sampai kering dan pecah minyak.
- Tambah air 2-3 kali dan ulang masak hingga bahan tumisan kering.
- Masukkan gula nisan dan kacau sampai garing.
- Masukkan santan dan asam keping. Masak sehingga kuah mendidih.
- Masukkan semua air rebusan ikan dan garam.
- Setelah 10 minit dan gulai mendidih, masukkan kerisik dan terus reneh hingga minyak terapung di permukaan.
- Masukkan ikan tongkol rebus dan masak lagi anggaran 10 minit biar sebati.
- Tabur cili padi yang tidak dibuang tangkai dan tutup api.
#3. Acar timun
Bahan-bahan:
- 1 batang timun
- 1/2 batang lobak merah
- 1/2 bawang besar
- 1 tangkai cili besar
- 1 tangkai cili padi
- Sedikit garam
- 1-2 sudu besar gula
- Cuka makan
Cara-cara:
- Potong timun memanjang (macam mancis) dan buang bahagian tengah/ biji.
- Buang kulit dan potong mancis lobak merah. Boleh juga diparut.
- Hiris nipis bawang besar, cili merah dan cili hijau.
- Campurkan kesemua bahan potong dan perasakan dengan gula, garam dan cuka makan.
- Kacau sebati dan simpan dalam peti sejuk.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.