“Suka Abuse Emergency!” – Doktor Dakwa Ramai Salah Guna Khidmat ED Hospital Kerajaan
Dia turut berkata bahawa kes seperti demam dan selesema tidak memerlukan rawatan di Jabatan Kecemasan & Trauma di hospital.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Jabatan Kecemasan & Trauma di hospital menyediakan perkhidmatan 24 jam kepada pesakit yang memerlukan rawatan segera.
Selain itu, terdapat juga klinik swasta dengan waktu operasi sehingga malam, malah ada juga yang dibuka 24 jam.
Kewujudan fasiliti sedemikian memberi jaminan kepada orang ramai untuk mendapatkan rawatan pada bila-bila masa jika berlakunya kemalangan atau kesakitan.
Doktor Dakwa Orang Ramai Salah Guna Khidmat ED Hospital Kerajaan
Baru-baru ini kecoh di laman X apabila seorang doktor kesihatan membuat dakwaan bahawa orang ramai sering menyalahgunakan khidmat Jabatan Kecemasan & Trauma (ED) di hospital kerajaan.
Memetik ayatnya, dia berkata orang ramai menggunakan khidmat ED “Macam buffet percuma untuk semua orang.”
Dia turut mencadangkan agar individu yang sekadar mengalami demam biasa berehat di rumah pada waktu malam, dan hanya ke klinik pada keesokan harinya.

Hanya Kunjung Ke ED Bagi Kes Tertentu
Dalam masa sama, dia telah berkongsi senarai kes yang sepatutnya hadir ke ED menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti:
- Melecur atau kecederaan akibat kebakaran
- Serangan jantung
- Renjatan
- Sakit dada berterusan
- Wanita hamil yang sakit perut/ turun darah
Kes yang tidak memerlukan kunjungan ke ED pula termasuk demam ringan, batuk, selesema, sakit perut dan bermacam lagi.
Bagi kes-kes bukan kecemasan, pesakit boleh mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan, Klinik Komuniti atau Klinik Swasta berbanding ED hospital kerajaan.


Orang Ramai Kongsi Pendapat Mengenai Isu ED Hospital Kerajaan Penuh
Walaupun begitu, perkara ini menimbulkan perbahasan dalam kalangan pengguna X. Ramai yang beranggapan pesakit memilih untuk ke ED bagi mendapatkan rawatan pada waktu malam kerana tidak berkemampuan untuk ke klinik swasta.
Untuk info, rata-rata Klinik Kesihatan atau Klinik Komuniti hanya dibuka sehingga jam 5 petang sahaja.
Dalam masa sama, ada juga yang mempersoalkan mengapa mereka tidak ke Klinik Kesihatan pada waktu siang.
Namun penting untuk memahami bahawa keadaan kerja setiap orang adalah berbeza dan mungkin terdapat halangan bagi mereka mendapatkan rawatan ketika waktu bekerja.

Dalam pada itu, sesetengah pihak juga berkata bahawa profesional kesihatan dan masyarakat tidak seharusnya menyalahkan antara satu sama lain.
Sebaliknya, sistem kesihatan negara yang perlu ditambah baik sekaligus meningkatkan taraf keadaan kerja di fasiliti kesihatan kerajaan serta kualiti terhadap pesakit.

Ada juga pengguna X yang memahami apa yang doktor tersebut ingin sampaikan, iaitu terdapat pesakit yang tidak memerlukan rawatan kecemasan memenuhi ED walaupun boleh menunggu hingga ke keesokan harinya.
Namun dia berasa cara penyampaian doktor tersebut boleh dilakukan lebih baik tanpa memerli mana-mana pihak.

Orang Ramai Lebih Gemar Fasiliti Kesihatan Kerajaan Atas Pengalaman Masing-Masing
Menerusi satu hantaran lain di laman X, orang ramai dilihat lebih gemar mendapatkan rawatan di KK berbanding klinik swasta. Seorang wanita, Malissa, berkata dia telah mendapatkan rawatan di klinik swasta kerana demam.
Namun apabila ke KK keesokan harinya, dia telah didiagnosis dengan leptospirosis atau penyakit kencing tikus.
“Walau berkemampuan, sanggup tunggu berjam-jam di fasiliti KKM kerana saya lebih mempercayai doktor KKM,” katanya.
Beberapa individu lain turut berkongsi bahawa mereka didiagnosis dengan penyakit merbahaya seperti leukimia, demam denggi, appendicitis dan masalah kehamilan di fasiliti kerajaan.
Pun begitu, terdapat juga sebilangan individu yang melalui pengalaman sebaliknya.
Aku pernah gi klinik swasta sebab demam. Pastu dia bagi ubat tah pape.
— Malissa (@malissaali) August 26, 2024
Esoknya aku gi KK, doktor terus bagi ubat untuk kencing tikus. Rupanya aku kena leptospirosis. Walau mampu financially pun sanggup tunggu berjam-jam kat KKM facilities sebab I trust KKM doctors better.






Baca Artikel Berkaitan: Ingin Bersalin Di Bawah Skim ‘Full Paying Patient’ (FPP) Hospital Kerajaan? Ibu Bapa Sila Take Note Info Ini
Baca Artikel Berkaitan: Bersalin Di Hospital Kerajaan Terlalu Murah, Macam Harga 2 Orang Makan McD
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.