CEO Telegram Ditahan, Disiasat Berhubung Kes Pornografi Kanak-Kanak & Dadah Dalam Talian
CEO Telegram Pavel Durov turut berhadapan dakwaan lain termasuk keengganan untuk memberi maklumat kepada pihak berkuasa dan pengubahan wang haram.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pengasas aplikasi mesej Telegram, Pavel Durov, ditahan pada petang Sabtu (24 Ogos) di Lapangan Terbang Le Bourget, Perancis.
Durov ditahan bagi siasatan terhadap jenayah pornografi kanak-kanak, pengedaran dadah dan transaksi penipuan di platform Telegram.
“Penahanan Bukan Keputusan Politik” – Emmanuel Macron
Menerusi hantaran di X, Presiden Perancis, Emmanuel Macron menjelaskan bahawa penangkapan tersebut dilakukan sebagai sebahagian daripada siasatan kehakiman yang sedang dijalankan.
“Ini sama sekali bukan keputusan politik. Terpulang kepada hakim untuk membuat keputusan,” tulis Macron di X.
Melihat banyak maklumat palsu mengenai penangkapan Durov, Macron menegaskan bahawa Perancis komited terhadap kebebasan bersuara dan berkomunikasi, inovasi dan keusahawanan.
Penahanan Sebahagian Daripada Siasatan Ke Atas Individu Lain
Mengulas penahanan Durov, Pendakwa Raya Paris, Laure Beccuau berkata ia merupakan sebahagian daripada siasatan jenayah terhadap seseorang yang tidak dinamakan.
Menurutnya, siasatan itu dilancarkan oleh Unit Jenayah Siber pejabatnya pada 8 Julai lalu.
Siasatan ke atas Durov adalah berhubung selepas dia disyaki terlibat dalam beberapa jenayah termasuk, “menjalankan platform dalam talian yang membenarkan transaksi haram, pornografi kanak-kanak, pengedaran dadah dan penipuan.”
Turut Didakwa Kerana Pengubahan Wang Haram
Kenyataan oleh Beccuau menjelaskan bahawa Durov juga berhadapan dakwaan lain termasuk keengganan untuk memberi maklumat kepada pihak berkuasa, pengubahan wang haram dan menyediakan perkhidmatan kriptografi untuk penjenayah.
Tambahnya lagi, Durov boleh ditahan sehingga Rabu (28 Ogos) waktu tempatan. Media Reuters yang melaporkan berita ini masih tidak dapat menghubungi mana-mana peguam yang mewakili Durov.
Durov Dakwa Ada Kerajaan Cuba Menekannya
Sebagai info, CEO Telegram yang dikenali sebagai ‘Mark Zuckerberg dari Rusia’ itu merupakan seorang bilionair dengan kekayaan dianggar sebanyak AS$15.5 bilion (RM67.3 bilion).
Lelaki berusia 39 tahun itu mempunyai dua kewarganegaraan iaitu Perancis dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Pada April lalu, Durov berkata beberapa kerajaan telah berusaha untuk menekannya. Namun dia menegaskan bahawa aplikasi Telegram harus kekal sebagai platform neutral dan bukan ‘alat geopolitik’.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.