Now Reading
[Video] Apa Patut Anda Lakukan Jika Terjumpa ‘Harta Al-Luqatah’, Barang Berharga Yang Tercicir?

[Video] Apa Patut Anda Lakukan Jika Terjumpa ‘Harta Al-Luqatah’, Barang Berharga Yang Tercicir?

Namun jika barang tersebut tidak dituntut setelah setahun, ia boleh digunakan untuk manfaat diri sendiri.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Apabila terjumpa wang atau barang milik orang lain yang tercicir, apakah yang akan anda lakukan?

Kebanyakan orang pasti akan memilih untuk menyerahkan barang berharga yang tercicir pada pihak polis.

Manakala bagi wang pula, mungkin ada yang memilih untuk menyimpannya dahulu sebelum dihebahkan atau disedekahkan kepada institusi seperti masjid.


Barang Yang Dijumpai Perlu Disimpan & Dihebahkan Selama Setahun

Namun, Masjid Bandar Seri Putra (BSP) menerusi video TikTok mencuri perhatian setelah berkongsi prosedur sekiranya pihak mereka terjumpa suatu barang berharga milik orang lain, antaranya jam, dompet, barang kemas dan banyak lagi.

Barang yang tercicir di masjid tersebut akan dipamerkan di satu papan selama setahun. Difahamkan ia bertujuan agar dapat dilihat oleh pemiliknya sekiranya mereka berkunjung semula ke masjid.

Namun jika barang tidak dituntut setelah setahun, ia disimpan di pejabat pengurusan masjid.

Menurut pihak Masjid BSP jika barang tersebut tidak dituntut selepas setahun, ia boleh digunakan untuk manfaat diri sendiri.

Namun duit dicadangkan untuk disedekahkan ke Tabung Kebajikan agar dapat dimanfaatkan bagi orang ramai.

Ini jelas selari dengan ajaran Rasulullah SAW. Daripada Zaid bin Khalid Al-Juhani, Baginda ditanya oleh seseorang yang tidak dikenali berkenaan Al-Luqatah (harta yang dijumpai) daripada emas atau perak. Baginda bersabda:

Maksudnya: “Kenalilah pengikatnya dan bungkusannya kemudian umumkan ia selama satu tahun. Sekiranya tidak dijumpai (pemiliknya) maka bolehlah mengambil manfaat daripadanya. Sekiranya ia dituntut kembali, maka kembalikanlah kepadanya.”

Hadis Riwayat Muslim: 1722

Katanya lagi, jika barang berharga dijumpai di tepi jalan atau tempat awam tanpa pihak autoriti, hebahan tetap perlu dilakukan.

Dengan kewujudan platform dalam talian, hebahan kepada masyarakat lebih mudah dilakukan.


Barang Yang Ditemui Perlu Dipulangkan Walaupun Selepas Setahun

Berdasarkan hadis di atas juga, suatu barang yang ditemui perlulah dikembalikan kepada pemilik asalnya jika dituntut walaupun setelah lebih setahun.

Tambahnya lagi, jika seseorang berasa tidak yakin untuk menyimpan barang yang ditemui itu, ia boleh diserahkan kepada pihak yang beramanah seperti balai polis atau masjid.

@masjidbspofficial Kalau rasa tak mampu nak simpankan barang orang, serahkan pada pihak yang beramanah atau berautoriti seperti balai polis atau masjid untuk simpankan. Dapatkan selipar yang berkualiti dan versatile di @Fipper. #fipper #masjidbandarseriputra #jumpabarang #amanah #fiqh ♬ original sound – Masjid Bandar Seri Putra

Mengambil Harta Al-Luqatah Ada 5 Hukum Berbeza

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum mengambil harta Al-Luqatah berbeza mengikut mazhab.

Ia diizinkan oleh mazhab Syafie dan Hanafi atas kewajiban menjaga harta saudaranya, manakala Maliki dan Hanbali melarangnya.

Ulama Dr Syeikh Mustafa Bugha menggariskan lima hukum mengambil barang yang ditemui:

  1. Sunat bagi seseorang yang beramanah dan mampu menjaganya sekiranya merasakan kemungkinan barang yang dijumpai akan hilang.
  2. Harus bagi seseorang yang beramanah dan mampu menjaganya sekiranya merasakan barang itu tidak hilang.
  3. Wajib bagi seseorang yang beramanah dan mampu menjaganya dan yakin barang itu akan hilang jika tidak mengambilnya. Ini kerana menjaga harta orang islam adalah wajib.
  4. Makruh jika merasakan tidak dapat menjaga amanah pada masa akan datang.
  5. Haram kepada orang yang tidak beramanah dan tidak dapat menjaganya.

Rukhsah Ke Atas Barang Yang Tidak Menjadi Tumpuan & Mudah Rosak

Di samping itu, jumhur ulama menetapkan hukum wajib bagi menghebahkan harta Al-Luqatah dengan nilai besar. Ulama Syeikh Dr Wahbah Zuhaili menulis di dalam kitabnya:

Maksudnya: “Mengumumkan ke atasnya (harta Al-Luqatah) atau mengiklankannya di tempat yang dijumpai, dan di tempat pengumpulan masyarakat seperti pasar, pintu masjid dan kedai-kedai makan.”

Jika harta tersebut tidak dituntut setelah hebahan dilakukan, lebih baik ia diserahkan kepada pihak berkuasa bagi menjamin keselamatannya.

Seorang hakim juga akan memutuskan jika harta tersebut boleh digunakan untuk tujuan kemaslahatan umum atau diserahkan kepada baitulmal.

Walaupun begitu, terdapat kelonggaran ke atas barangan yang tidak menjadi tumpuan orang ramai dan mudah rosak seperti tali, kayu dan makanan.

Daripada Jabir bin Abdullah, Rasulullah SAW bersabda:

قَالَ رَخَّصَ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي الْعَصَا وَالسَّوْطِ وَالْحَبْلِ وَأَشْبَاهِهِ يَلْتَقِطُهُ الرَّجُلُ يَنْتَفِعُ بِهِ

Maksudnya: “Rasullullah SAW memberikan kami rukhsah (kelonggaran) mengambil tongkat, cemeti, tali dan sejenis dengannya yang diambil oleh seseorang bertujuan untuk mengambil manfaat dengannya.”

Sunan Abi Dawud: 1212


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd