Now Reading
Sekolah Di Terengganu Mulakan Sesi Pembelajaran Dengan Bacaan Al-Quran & Terjemahan Setiap Hari

Sekolah Di Terengganu Mulakan Sesi Pembelajaran Dengan Bacaan Al-Quran & Terjemahan Setiap Hari

Program Al-Quran Di Hati akan dilaksanakan setiap hari selama 15 minit dari jam 7.30 pagi hingga 7.45 pagi.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Semua sekolah rendah dan menengah di Terengganu akan memulakan sesi persekolahan dengan bacaan al-Quran dan terjemahan setiap hari menerusi program Al-Quran Di Hati.

Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Jelani Sulong, bacaan al-Quran akan diketuai seorang murid atau pelajar, dan dibimbing dua guru di setiap kelas.


Program Libatkan Pelajar Tahun 1-6 & Tingkatan 1-3

Jelani berkata satu muka surat al-Quran serta terjemahan akan dibaca setiap hari sebelum sesi pembelajaran.

Katanya, program itu disertai oleh pelajar tahun satu hingga enam dan tingkatan satu hingga tiga serta turut direkodkan dalam pencapaian al-Quran.

Menerangkan lebih lanjut, Jelani berkata program Al-Quran Di Hati akan dilaksanakan setiap hari selama 15 minit dari 7.30 pagi hingga 7.45 pagi di semua sekolah rendah dan menengah di negeri itu.

Ia membabitkan 352 sekolah rendah dan 154 sekolah menengah yang diadakan bukan sahaja untuk melahirkan generasi celik al-Quran malah dapat melahirkan generasi soleh, pintar, rabbani dan murabbi.

Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu, Jelani Sulong

Program Al-Quran Di Hati Dilancarkan Hari Ini

Majlis Pelancaran al-Quran Di Hati peringkat negeri telah disempurnakan oleh Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin di Sekolah Kebangsaan (SK) Serada, Kuala Terengganu hari ini (26 Ogos).

Turut hadir di majlis pelancaran tersebut ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail.

Dalam pada itu, Tengku Muhammad Ismail berkenan mendengar murid SK Serada membaca ayat suci al-Quran, lapor Berita Harian.


Program Bertujuan Untuk Hasilkan Murid & Pelajar Celik Al-Quran

Menurut Jelani, program ini merupakan salah satu daripada agenda Peneraju Transformasi Pendidikan (PTP) JPNT. Ia bertujuan bagi membudayakan pembacaan ayat suci setiap hari dalam kalangan murid dan pelajar agar mereka menjadi celik al-Quran selepas tamat tahun enam.

“Jabatan Pendidikan menyeru semua warga pendidik meneruskan gerak kerja bagi memastikan pengukuran PTP terutama penekanan kepada celik al-Quran dapat direalisasikan.

“Fokus celik al-Quran perlu seiring dengan akademik, silat bestari, sahsiah terpuji, kemenjadian kokurikulum dan keberkesanan kepimpinan,” katanya.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd