Ahli Geosains Jelaskan Tentang Formasi Batu Kapur Di Kuala Lumpur
Katanya, hampir 40% geologi (batuan) di Kuala Lumpur didasari oleh batu kapur dengan sebahagian besarnya berada di bawah tanah.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Umum sedia maklum, baru-baru ini negara telah digemparkan dengan berita kejadian tanah mendap yang berlaku berhampiran Malayan Mansion di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.
Insiden yang berlaku pada Jumaat lalu (23 Ogos) menyebabkan seorang mangsa wanita warga India, Vijaya Lakshmi Gali, terjatuh dan tertimbus di dalam lubang benam sedalam kira-kira enam meter itu.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Wanita Terjerlus Di Masjid India: Suami Dedah Dengar Jeritan Isteri Sebelum Senyap
Kejadian tersebut sekaligus menyebabkan sesetengah orang baru mengetahui tentang kewujudan dasar batu kapur atau limestone di ibu negara.
40% Kawasan Di Kuala Lumpur Ada Formasi Batu Kapur
Bagi orang ramai yang mungkin tidak mengetahui tentang fakta ini, akaun Facebook, Omèn Necrofis, yang ditadbir oleh ahli geosains berkongsikan bahawa hampir 40% geologi (batuan) di Kuala Lumpur didasari oleh batu kapur.
Dia menerangkan bahawa kawasan batu kapur ialah Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) kerana mempunyai banyak kekangan geologi. Perkara ini menyebabkan kos tinggi diperlukan bagi pembangunan dan pemulihan.
Sebahagian besar batu kapur di Kuala Lumpur berada di bawah tanah, manakala bukit di Batu Caves merupakan batuan tersebut yang terkeluar dari permukaan bumi sehingga timbul dan boleh dilihat.
Kuala Lumpur Bekas Lombong Bijih Timah
Omèn menerangkan bahawa selain daripada dialasi sedimen lembut seperti lumpur dan pasir, batu kapur turut mempunyai gegua dan pinnacle bawah tanah.
Untuk info, Kuala Lumpur pada satu masa dahulu merupakan kawasan lombong bijih timah.
Pinnacle bawah tanah yang ada pada batu kapur menjadi takungan atau poket bagi longgokan biji timah.
Keadaan ini menyebabkan wujud tasik bekas lombong bijih timah di sekitar Kuala Lumpur seperti Tasik Titiwangsa, tasik-tasik di Puchong, dan tasik yang ditimbus bagi pembangunan.
Selain itu, walaupun 40% kawasan di Kuala Lumpur adalah batu kapur, namun gua atau kaviti tidaklah sebesar yang tertera pada peta geologi.
Kejadian Lubang Benam Mungkin Disebabkan 3 Faktor
Omèn turut menerangkan bencana geologi yang boleh berlaku di kawasan batu kapur.
Lubang benam boleh terjadi akibat runtuhan bumbung gegua bawah tanah, manakala runtuhan batuan di Batu Caves dan tanah runtuh boleh berlaku di kawasan granit bercerun seperti di Bukit Antarabangsa dan Ampang.
Katanya lagi, Lembah Klang merupakan kawasan yang sangat terdedah kepada banjir dan lubang benam walaupun sebelum pendudukan manusia.
Omèn mengulas kejadian lubang benam di Kuala Lumpur tempoh hari dan menerangkan tiga faktor yang mungkin menyebabkan insiden itu.
Fenomena adalah seperti:
- Runtuhan gegua bawah tanah
- Aliran air bawah tanah bersama hakisan sedimen lembut yang membentuk lubang sementelah di tepi Sungai Klang
- Paip yang pecah daripada mendapan tanah
Katanya lagi punca sebenar hanya boleh dikenal pasti menerusi kajian lanjutan oleh Jabatan Mineral & Geosains Malaysia (JMG).
80% Kekangan Tanah Di Kuala Lumpur
Merujuk kepada artikel yang diterbitkan di jurnal MDPI, sekitar 80% kawasan di Kuala Lumpur mempunyai kekangan tanah yang sederhana hingga tinggi. Ini termasuk 25% kawasan yang terdedah kepada tanah runtuh serta banjir.
Sebaliknya, hanya 20% kawasan di ibu negara yang sesuai dimajukan. Tambah Omèn, daya tahan pembangunan di KSAS hanya boleh dinilai melalui kajian oleh ahli geologi. Dia menganggap bahawa pembangunan yang dilakukan di kawasan terbabit telah mengambil kira faktor kekangan geologi yang wujud.
Kes Lubang Benam Adalah Terpencil, Tak Harus Diperbesarkan
Dalam satu hantaran lain, Omèn menjelaskan bahawa lubang benam yang terbentuk adalah bersifat lokaliti dan kecil. Ia tidak seharusnya diperbesarkan dan menyebabkan ketakutan umum kerana setiap pembangunan yang berlaku melibatkan kajian-kajian yang teliti.
Malah, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata kajian awal pihak JMG mengesahkan tanah di lokasi insiden adalah selamat dan sesuai untuk aktiviti pembangunan.
Baca Artikel Berkaitan: Kes Wanita Terjerlus Di Masjid India: Datuk Bandar Nafi Dakwaan KL Tak Selamat
Di samping itu, lubang benam juga sebenarnya boleh berlaku disebabkan gempa bumi yang kuat, antaranya insiden di Türkiye pada tahun 2023.
“Banjir Akan Jadi Perkara Biasa” – Omèn
Dalam masa sama, Omèn turut membuat kesimpulan bahawa bencana geologi di negara telah dicetuskan oleh hujan yang melanda.
Katanya, kelembapan sering terjadi dengan curahan hujan tinggi menyebabkan banjir teruk sejak bermulanya Kesuraman Matahari (Weak Solar Cycle) pada 2020.
Dia menjelaskan bahawa pembangunan maju berlaku ketika kitaran bumi hangat. Namun apabila perubahan iklim (cooling) berlaku, banjir akan melanda sekaligus memberi kesan terhadap penempatan di suatu kawasan.
“Banjir buruk akan berterusan sehinggalah banjir menjadi sesuatu yang biasa di masa hadapan,” katanya.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.