[Video] Wanita Terjerlus Di Masjid India: Suami Dedah Dengar Jeritan Isteri Sebelum Senyap
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, pihaknya masih dalam proses melengkapkan maklumat berkaitan kejadian itu dan sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pagi ini (23 Ogos) negara digemparkan dengan kejadian tanah mendap yang berlaku berhampiran Malayan Mansion di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.
Dalam tragedi jam 8 pagi itu, dilaporkan seorang mangsa wanita warga India terjatuh dan tertimbus di dalam lubang benam sedalam kira-kira enam meter itu.
Susulan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) telah bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
Suami sempat dengar jeritan isteri minta tolong
Difahamkan, suami kepada wanita berkenaan sempat mendengar jeritan isterinya meminta tolong semasa kejadian sebelum suara itu terus senyap dari telinganya.
“Dia (mangsa) menjerit meminta tolong selepas terjatuh sebelum terus senyap tidak lama kemudian,” kata lelaki berusia 40-an itu dipetik Harian Metro hari ini.
Pun begitu, suami mangsa dilihat agak keberatan untuk menceritakan dengan lebih lanjut berhubung kejadian yang menimpa isterinya di sampung kesukaran untuk berkomunikasi.
Operasi SAR masih berjalan, mangsa belum ditemui
Setakat jam 3 petang tadi, operasi SAR yang sudah masuk hampir tujuh jam itu masih diteruskan menggunakan jengkaut bagi membesarkan lubang benam terbabit untuk memudahkan tugas pasukan penyelamat.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya masih dalam proses melengkapkan maklumat berkaitan kejadian itu dan sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu.
“Kita juga akan merakam keterangan saksi bagi membantu siasatan, setakat ini saya tidak boleh komen lebih terperinci kerana ia masih dalam siasatan.
“Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dan anggota Bomba sedang giat melaksanakan kerja penyelamatan di lokasi kejadian,” katanya.
Setakat ini lokasi kejadian dianggap selamat, masih dipertimbangkan jika perlu ditutup
Menurutnya, setakat ini lokasi terbabit masih dianggap selamat, namun perbincangan lanjut akan diadakan bagi mempertimbangkan jika ada keperluan untuk menutup kawasan itu.
Ujarnya, seramai 35 anggota dan pegawai bomba, 14 kakitangan DBKL, 32 anggota polis, lima anggota APM dan empat pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur sertai operasi SAR itu.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.