Khairul Aming Terkejut, Akui Ramai Wanita Hantar Resume Mahu Jadi Isteri
Pemilik perusahaan Sambal Nyet itu bagaimanapun menjelaskan dia belum terbuka hati untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Jika sudah namanya selebriti, pasti keperibadian atau sebarang perbuatan dan gerak-geri akan menjadi perhatian ramai.
Tidak kurang juga ada yang memasang impian untuk menjadikan mereka sebagai pasangan sehidup semati hingga ada yang berani menawarkan diri untuk menjadi kekasih hati.
Terima Ratusan Mesej Peribadi & Email Berserta Resume Setiap Hari
Begitulah yang dihadapi oleh pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming apabila mendapat ratusan permohonan di media sosial daripada para gadis untuk menjadi isterinya.
Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman bagaimanapun menjelaskan dia belum terbuka hati untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.
Jelas pemilik perusahaan Sambal Nyet Berapi, fokusnya kini hanya tertumpu kepada perniagaan dan kerjaya sebagai pencipta kandungan.
“Boleh dikatakan hampir setiap hari saya menerima ratusan mesej (DM) di media sosial dan e-mel resume bertanya untuk menjadi isteri.
“Agak mengejutkan juga, tetapi itulah yang berlaku. Walaupun orang kata seperti perigi cari timba, tetapi saya sangat kagum dengan keberanian mereka untuk bertanya.
“Tetapi sayangnya tuan badan pula yang tidak sempat untuk memikirkan soal pasangan apatah lagi berkahwin,” katanya yang dipetik daripada Kosmo.
Syukur Keluarga Tidak Desak Tentang Hal Perkahwinan
Pada masa yang sama, dia yang berusia 32 tahun itu turut bersyukur keluarganya memahami dan tidak mendesak untuk mendirikan rumah tangga.
“Alhamdulillah keluarga memahami kesibukan jadual kerja saya yang ingin menguruskan kilang, pekerja, produk dan konten.
“Walaupun sebelum ini ada keluarga bertanya, tetapi sekarang mereka serahkan semua itu kepada saya dan sudah mula kurang bertanyakan soalan bila ingin berkahwin,” jelasnya.
Sebelum ini, terdapat khabar angin mendakwa Khairul Aming mempunyai kekasih selepas tular video dia berbual mesra bersama seorang wanita di sebuah kafe.
Walau bagaimanapun, dia menafikan dakwaan tersebut dan mengatakan wanita itu hanyalah peminat yang mahu merakam video TikTok bersamanya.
Sekadar info, Khairul Aming mula menjadi perhatian ramai apabila kandungan video masakannya menjadi popular di media sosial.
Difahamkan, anak jati Kelantan itu telah berkecimpung dalam penghasilan video sejak usia 14 tahun yang lalu.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Khairul Aming Kongsi Perjalanan Jadi ‘Content Creator’, Bermula Dari Lantai Ke Studio
Baca Artikel Berkaitan: “Saya Tak Pilih Kasih” – Khairul Aming Mahu Lakukan Yang Terbaik Sebagai Juri TikTok Awards Malaysia 2024
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.