Now Reading
“Saifuddin Nasution Hadir Ke Pejabat UMNO Pada Malam Keputusan PRU15 Bawa Amanah Anwar” – Asyraf Wajdi

“Saifuddin Nasution Hadir Ke Pejabat UMNO Pada Malam Keputusan PRU15 Bawa Amanah Anwar” – Asyraf Wajdi

Asyraf berkata beliau menjadi saksi bahawa Zahid Hamidi ketika itu tidak membuat keputusan sendiri untuk bergabung dengan Pakatan Harapan, sebaliknya minta tubuhkan jawatankuasa perundingan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Jika anda ingat, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung pada 19 November 2022 menyaksikan parlimen tergantung seketika susulan tiada mana-mana blok politik yang mendapat majoriti.

Dengan keadaan tersebut, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah menzahirkan titah agar gabungan politik mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan.


Saifuddin Nasution Hadir Ke Pejabat UMNO Pada Malam Keputusan PRU15

Menerusi video yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Datuk Dusuki melakukan pendedahan eksklusif mengenai apa yang berlaku di antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) usai PRU15.

Beliau mendakwa Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah hadir ke Pejabat UMNO sekitar 3.30 pagi pada malam keputusan membawa ‘amanah’ daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pada waktu itu adalah Pengerusi PH.

Beliau yang menyaksikan perkara itu berkata Saifuddin telah diminta untuk segera bertemu dengan wakil UMNO memandangkan keputusan PRU15 menunjukkan bahawa PH tidak dapat melepasi 82 kerusi.

Katanya, dengan 30 kerusi yang dimenangi oleh BN, Anwar dapat mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri jika kedua-dua pakatan itu bergabung.

Asyraf diberitahu oleh Saifuddin bahawa Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang telah memujuknya untuk bertemu dengan Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memandangkan dia (Saifuddin) merupakan bekas Setiausaha Pemuda UMNO di bawah pimpinan Zahid.


Zahid Minta Tubuhkan Jawantankuasa Perundingan

Menurut Asyraf, Zahid bagaimanapun tidak terus membuat keputusan, tetapi memintanya untuk mewujudkan jawatankuasa perundingan.

Kalau betul ada perancangan, waktu itu juga dia bersetuju. Tetapi saya jadi saksi, Zahid tak buat keputusan.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Datuk Dusuki

Beliau berkata kesemua Ahli Parlimen BN telah menandatangani perjanjian sebelum pemberian watikah sebagai calon pilihan raya untuk memberi mandat penuh kepada Pengerusi untuk berunding dengan sesiapa bagi tujuan penubuhan kerajaan.

Ahli Parlimen yang ingkar dengan perjanjian ini akan dilepaskan keahlian dari parti BN, seterusnya menyebabkan mereka kehilangan kerusi memandangkan telah melanggar Akta Anti Lompat Parti. Malah, mereka boleh dikenakan bayaran bon sebanyak RM100 juta.


Tetapkan 10 Pemula Syarat Perundingan

Kata Asyraf, Zahid telah mengadakan mesyuarat dengan Dewan Tertinggi BN dan Biro Politik UMNO yang bersetuju untuk mewujudkan jawatankuasa perundingan. Mereka telah menetapkan 10 perkara sebagai pemula syarat perundingan.

Pada keesokan harinya, wakil dari PH, termasuk Anwar, Rafizi dan Saifuddin telah hadir ke Pejabat UMNO untuk meminta secara rasmi agar UMNO bergabung dengan pakatan itu.

Zahid telah mengemukakan 10 syarat yang ditetapkan ketika itu, namun tidak membuat sebarang keputusan.

“Zahid minta Zambry (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) telefon Tan Sri Muhyiddin, to be fair. Kita tunjukkan syarat-syarat pada PN. Malangnya, Muhyiddin tak layan. Dia kata nanti dulu. Kita pun pelik kenapa nanti dulu.

“Kalau waktu itu la Zahid nak buat keputusan, jadikan ini sebagai alasan, kita sokonglah Anwar Ibrahim. Kita 30, PH ada 82 cukup 112. Allah punya kuasa. 112 cukup-cukup,” kata Asyraf.


Taktikal Zahid Agar Pihak Istana Terima 2 Set Dokumen SD

Menurut Asyraf, apabila bekas Perdana Menteri Ismail Sabri menghadap YDPA Sultan Abdullah, dia dimaklumkan bahawa terdapat 10 Ahli Parlimen BN yang menyatakan sokongan pada Muhyiddin.

Beliau berkata perkara ini menjadi sebab mengapa Muhyiddin tidak memberi sebarang respon sebelum itu. Namun kesemua sokongan tersebut telah ditarik balik kecuali tiga.

Tambah Asyraf, Zahid pada esok harinya telah mengarahkan agar 30 dokumen dan watikah yang menyatakan sokongan BN kepada Anwar dihantar kepada Istana Negara.

Namun kata Asyraf ini hanya merupakan satu taktikal oleh Zahid untuk memastikan agar pihak istana mendapat dua set dokumen SD.

Menurut Asyraf lagi, YDPA Sultan Abdullah telah meminta Muhyiddin untuk datang menghadap pada hari kelima. Muhyiddin ketika itu memaklumkan bahawa PN telah mempunyai jumlah yang cukup untuk membentuk kerajaan.

“Tuanku tak boleh terima, sebab dalam golongan 114 Ahli Parlimen ini, ada juga dari BN yang menyokong Anwar,” katanya.

Asyraf turut mendedahkan buat pertama kalinya bahawa terdapat empat Ahli Parlimen dari parti Sarawak yang menandatangani SD menyatakan sokongan kepada Anwar. Malah, dia mendakwa ada juga yang menandatangani tiga SD yang menyebabkan sokongan bertindan.


Semua Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Setuju Bergabung Dengan PH

Menurut Asyraf, YDPA Sultan Abdullah telah bertitah agar sebuah kerajaan perpaduan ditubuhkan. Namun perkara ini tidak diterima oleh Muhyiddin yang telah mengadakan sidang media bahawa dia tidak bersetuju untuk menubuhkan sebuah kerajaan perpaduan.

Sewaktu Anwar menghadap Sultan Abdullah, dia turut dimaklumkan bahawa 30 SD yang diterima dari BN tidak terpakai memandangkan terdapat Ahli Parlimen yang menyokong Muhyiddin.

Asyraf berkata Anwar ketika itu telah bersetuju dengan permintaan baginda untuk menubuhkan kerajaan perpaduan.

Pada 5 petang 22 November, Zahid telah datang menghadap Sultan Abdullah dengan disaksikan Zambry dan Tok Mat (Datuk Seri Utama Mohamad bin Hasan). Tuanku sekali lagi menitah agar sebuah kerajaan perpaduan ditubuhkan.

Mengikut Asyraf, Zahid berkata dia bersetuju, namun tidak boleh membuat keputusan seorang diri dan memohon masa untuk berbincang dengan Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Kalau orang kata ini perancangan Zahid, dia boleh dah buat keputusan. Dah berapa kali dah. 4 pagi hari pertama boleh buat keputusan. Hari kedua apabila rombongan Anwar datang boleh buat keputusan.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Datuk Dusuki

Akhirnya, kesemua 54 ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO ketika itu dipanggil untuk mesyuarat dan bersetuju untuk menubuhkan kerajaan perpaduan dengan PH.


BN Tetapkan Syarat Agar Tidak Sentuh Agama Islam & Kedudukan Melayu

Asyraf telah menyenaraikan beberapa syarat yang ditetapkan oleh BN bagi gabungan tersebut. Pertama ialah untuk akur dengan titah YDAP untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan.

Syarat juga menetapkan agar isu berkaitan Islam tidak disentuh dan dihormati sebagai agama persekutuan menurut Perkara 3 perlembagaan yang merupakan perjuangan UMNO.

Kedua, kedudukan istimewa bangsa Melayu dan Bumiputera perkara 153. Jangan cabar seperti mana kamu cabar 22 bulan memerintah dahulu.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Datuk Dusuki

Selain itu, kedudukan Raja-Raja Melayu tidak disentuh. Katanya, UMNO mempertahankan institusi raja memandangkan ia adalah institusi yang memelihara agama Islam dan Melayu Bumiputera.

“Perkara 37 dalam perlembagaan menetapkan setiap YDAP angkat sumpah dengan kalimah Allah SWT untuk mempertahankan agama Islam dan kedudukan Melayu,” katanya.

Baca Artikel Berkaitan: PRU15: ‘SD Tak Sign Lagi, Kita Borak-borak Macam Biasa Dengan PH’ – Ismail Sabri

Baca Artikel Berkaitan: [Dikemaskini] PRU15: Pemimpin PH & BN Tiba Di Hotel Seri Pacific Untuk Perjumpaan ‘Rahsia’


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd