Now Reading
Insiden Kanak-Kanak Terperangkap Dalam Lif Di Desa Petaling, Bapa Mohon Maaf

Insiden Kanak-Kanak Terperangkap Dalam Lif Di Desa Petaling, Bapa Mohon Maaf

Dalam pada itu, Tan Sri Lee Lam Thye menjelaskan insiden berkenaan bukti aspek keselamatan lif di kawasan tersebut berada pada tahap membimbangkan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pada Selasa (20 Ogos) lalu, kecoh di media sosial mengenai kisah dua orang kanak-kanak yang terperangkap sembilan jam dalam lif di sebuah kondominium di Desa Petaling, Cheras.

Kanak-kanak yang dikenali sebagai Faiq Adiwira yang berusia 11 tahun bersama rakannya Muhammad Harith Absyar (10 tahun) pada mulanya dilaporkan hilang selepas keluar rumah bagi membeli pau.

Walau bagaimanapun, misteri kehilangan mereka terjawab apabila kedua-duanya ditemui terperangkap dan tertidur dalam lif tersebut selama lebih sembilan jam.

Insiden itu nyata menarik perhatian ramai hingga kebanyakan orang mempersoal tentang keberadaan pihak pengurusan bangunan ketika kejadian berlaku.

Walau bagaimanapun, hasil rakaman CCTV mendapati lif tersebut tiba-tiba terhenti apabila salah seorang daripada kanak-kanak berkenaan dilihat telah menyelitkan selipar pada pintu lif berkenaan.

Bapa Kanak-Kanak Mohon Maaf, Terima Kritikan Dengan Hati Terbuka

Ekoran daripada insiden tersebut, bapa kepada salah seorang kanak-kanak berkenaan tampil membuat permohonan maaf atas tindakan anak lelakinya itu.

Memetik Majoriti, lelaki yang dikenali sebagai Mohd Zaidi Zakaria itu turut menerima dengan terbuka sebarang kritikan daripada orang ramai susulan insiden tersebut.

“Salah seorang kanak-kanak yang terperangkap itu anak saya. Saya terima segala kritikan masyarakat dengan hati yang terbuka sebagai pengajaran masa akan datang.

“Tanpa gagal saya sentiasa memberi didikan untuk anak-anak, adakala kedegilannya tanpa diduga di luar kawalan saya.

“Paling utama, Alhamdulillah anak saya selamat. Apa pun saya bersedia bertanggungjawab atas setiap kesilapan yang dilakukan anak-anak saya.

“Moga mendapat doa yang baik dari anda semua. Mohon maaf saya pinta dari pihak saya serta anak-anak,” katanya.

Tidak Segera Baiki Lif, Bukti Kegagalan Pengurusan – Lee Lam Thye

Dalam pada itu, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye menyifatkan insiden yang membabitkan kedua-dua kanak-kanak itu sebagai satu kegagalan pihak pengurusan dalam segera memperbaiki kerosakan fasiliti bangunan.

Jelasnya, ia juga sebagai bukti aspek keselamatan lif di kawasan berkenaan berada pada tahap membimbangkan.

Susulan itu,  dia turut menegaskan agar pihak terlibat khususnya mereka yang bertanggungjawab menjaga keselamatan penyelenggaraan bangunan perlu diberikan teguran.

“Jadikan insiden ini sebagai iktibar kepada pihak yang menjaga penyelenggaraan lif tidak kira daripada pihak pemaju hinggalah pihak pengurusan.

“Lif sepatutnya diperiksa dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada kerosakan serius atau kejadian tidak diingini seperti ini daripada terus berlaku,” katanya yang dipetik daripada Berita Harian.

Lee turut menyifatkan sikap pengurusan penyelenggaraan lif itu teruk kerana membiarkan kerosakan kemudahan lif hingga lebih 10 jam.

Malah, dia mengharapkan agar pihak pengurusan menjadi lebih bertanggungjawab bagi memastikan insiden yang sama tidak berulang lagi.

“Ini kerana insiden berkenaan sudah pasti menjadi trauma yang dahsyat kepada dua kanak-kanak berkenaan,” ujarnya.

Perlu Pastikan Pelbagai Langkah Keselamatan Diambil

Lee yang juga merupakan seorang aktivis masyarakat menjelaskan pelbagai langkah keselamatan boleh diambil termasuk pemasangan CCTV agar lif dapat dipantau oleh pihak pengurusan.

Ini kerana bagi Lee, adalah amat pelik apabila kedua-dua mangsa gagal dikesan lebih 10 jam walaupun terdapat CCTV dalam lif tersebut.

“Bayangkan hampir 11 jam tidak dapat dipantau sedangkan malapetaka ini boleh dielakkan sekiranya CCTV yang diletakkan dipantau dengan baik,” jelasnya.

Selain itu, Lee turut mencadangkan agar penggera dipasangkan supaya apabila berlaku sebarang kerosakan, ia dapat segera diselesaikan.

Ujarnya lagi, sekiranya berlaku kerosakan pada lif, bunyi penggera membantu menyedarkan orang ramai dan sekali gus membolehkan mereka untuk terus melaporkan kepada pihak pengurusan bagi tindakan selanjutnya.

“Bagaimanapun, dalam kejadian itu, tempoh hampir 11 jam itu tidak mampu memberi kesedaran kepada pihak penyelenggaraan untuk segera mengesan dan sekali gus membaiki lif berkenaan.

“Ini memperlihatkan kegagalan pihak pengurusan dalam membaiki kerosakan fasiliti bangunan.

“Mujur dalam tempoh itu tidak berlaku kejadian tidak diingini terhadap dua kanak-kanak berkenaan, kerana jika tidak, ia akan menjadi satu isu yang besar,” katanya.

Baca Artikel Berkaitan: Kes 2 Kanak-Kanak Terperangkap Dalam Lif, Video CCTV Bongkar Punca Lif Terhenti?

Baca Artikel Berkaitan: 2 Budak Lelaki Dilaporkan Hilang, Rupanya Terperangkap Dalam Lif 9 Jam


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitterThreads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd