Now Reading
70% Wanita Di Malaysia Kurang Vitamin D, Dipercayai Kurang Terdedah Pada Cahaya Matahari

70% Wanita Di Malaysia Kurang Vitamin D, Dipercayai Kurang Terdedah Pada Cahaya Matahari

Satu kajian mendapati masalah kekurangan vitamin D di Malaysia banyak dialami oleh golongan wanita, kaum India dan Melayu.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Apabila bercakap soal vitamin D, rata-rata kita pasti akan teringatkan kepada cahaya matahari sebagai sumber utama kepada nutrien tersebut.

Sebagai penduduk di negara tropika, mungkin anda berfikir kita pasti akan mendapat vitamin D yang mencukupinya. Namun hakikatnya, anda tersilap. Sebenarnya masih ramai yang mengalami masalah kekurangan vitamin D.

Untuk makluman, terdapat dua bentuk utama vitamin D iaitu ergocalciferol (vitamin D2) dan cholecalciferol (vitamin D3).


Hingga 70% Wanita Malaysia Kurang Vitamin D

Menurut Public Health Malaysia (PHM), kajian mendapati sekitar 60% hingga 70% wanita Malaysia mengalami masalah kekurangan vitamin D.

Satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal National Institutes of Health (NIH) pada tahun 2022 menjelaskan bahawa masalah kekurangan vitamin D banyak dialami oleh golongan wanita, kaum India dan mereka yang beretnik Melayu.

Kajian lain dalam Frontiers mendapati lebih separuh rakyat Malaysia mengalami masalah kurang vitamin D.


Gaya Hidup Tak Terdedah Kepada Cahaya Matahari

Kajian menjelaskan punca kekurangan vitamin D disebabkan oleh jenis kulit (melanin) dan gaya hidup yang tidak terdedah kepada cahaya matahari termasuk memakai pakaian tertutup yang banyak dipraktikkan oleh Melayu Muslim di Malaysia.

PHM berkata bahawa wanita yang tinggal di kawasan bandar lebih ketara mengalami kekurangan ini kerana mungkin kurang terdedah kepada cahaya matahari memandangkan gaya hidup yang banyak terduduk dalam bangunan.

Dalam masa sama, terdapat juga masalah kesihatan yang boleh menyebabkan kurang vitamin D seperti:

  • Sistik fibrosis
  • Penyakit Chrone
  • Penyakit seliak
  • Obesiti
  • Masalah buah pinggang
  • Masalah hati

Sering Rasa Penat Antara Gejala Kurang Vitamin D

Menerusi perkongsian di Facebook, PHM menerangkan gejala kekurangan vitamin D yang termasuk:

  • Sakit pinggang, belakang dan kaki
  • Rasa penat yang berterusan walaupun selepas rehat yang mencukupi
  • Rambut gugur
  • Sering merasa murung dan lesu
  • Mudah jatuh sakit dan mengalami selesema
  • Masalah tidur

Seperti mana-mana masalah kekurangan nutrien, kekurangan vitamin D juga boleh menyebabkan masalah kesihatan serius seperti osteoporosis, kelemahan otot, dan gangguan imun.


Cahaya Matahari Ubah Kolestrol 7-DHC Jadi Vitamin D3

Walaupun cahaya matahari merupakan sumber utama vitamin D, namun ia sebenarnya tidak mengandungi vitamin tersebut.

Sebaliknya, vitamin D terhasil daripada pendedahan kepada cahaya matahari apabila radiasi UVB menembusi kulit dan mengubah kolestrol 7-Dehydrocholesterol (7-DHC) atau provitamin D3 dalam kulit kepada vitamin D3.

Menurut MyHealth KKM, disarankan untuk mendapatkan pendedahan kepada cahaya matahari antara 10 pagi hingga 3 petang selama 5-30 minit, dua kali seminggu.

Diingatkan bahawa pendedahan kepada cahaya matahari menerusi cermin tidak akan berkesan memandangkan radiasi UVB tidak dapat menembusinya. Malah, individu berkulit gelap mungkin perlu lebih banyak terdedah kepada cahaya matahari untuk mendapatkan tahap vitamin D optimum.

Sumber gambar: Rickyrecap/ Pexels

Vitamin D Bukan Hanya Dari Matahari

Oleh itu, penting bagi orang ramai untuk mendapatkan pendedahan cahaya matahari yang mencukupi dan mempertimbangkan pengambilan suplemen vitamin D jika perlu.

Sebenarnya selain daripada cahaya matahari, vitamin D juga boleh didapatkan menerusi pemakanan.

Menurut Healthline, nilai harian (DV) bagi vitamin D ialah 800 IU (20 mcg). Vitamin ini boleh didapatkan daripada ikan berlemak seperti sardin, tongkol dan tuna dalam tin.

Selain itu, vitamin D juga boleh ditemukan dalam kuning telur. Kandungan vitamin di dalam telur dipengaruhi oleh pendedahan ayam terhadap cahaya matahari dan kandungan vitamin D dalam makanan ayam.

Sumber gambar: Pexels

Selain ikan dan telur, cendawan merupakan satu-satunya bahan bukan haiwan yang mengandungi vitamin D2 dalam jumlah mencukupi. Seperti manusia, cendawan dapat mensintesiskan vitamin ini apabila terdedah kepada cahaya matahari.

Terdapat juga makanan yang diperkaya dengan vitamin D seperti susu lembu, jus oren dan bijirin sarapan.

Baca Artikel Berkaitan: Dr Malar Kongsi 5 Vitamin Penting Untuk Badan Sebelum Usia 40 Tahun

Baca Artikel Berkaitan: Vitamin C Boleh Jadi Punca Batu Karang? Ini Penjelasan Doktor Kesihatan


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd