Now Reading
Puluhan Lipas Dalam Rak Simpan Bahan Makanan, 2 Premis Di Medan Selera Di Pulau Pinang Diarah Tutup 2 Minggu

Puluhan Lipas Dalam Rak Simpan Bahan Makanan, 2 Premis Di Medan Selera Di Pulau Pinang Diarah Tutup 2 Minggu

Dua premis berkenaan diarah tutup dua minggu mulai 7 petang 20 Ogos hingga 3 September.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Satu pemeriksaan mengejut oleh pegawai penguat kuasa di sebuah medan selera terkenal di Pulau Pinang menemukan puluhan ekor lipas dalam rak simpanan bahan makanan beberapa gerai.

Selain itu, terdapat pengendali makanan yang menggunakan tuala pengelap dan dapur yang telah ‘berkerak’ serta peralatan masak yang berjelaga hitam.

Seorang peniaga turut lari meninggalkan gerai yang dikendalikan olehnya tanpa menutup api di dapur apabila pegawai penguat kuasa tiba, lapor Berita Harian.


2 Premis Di New World Park Food City Diarah Tutup 2 Minggu

Menurut Pegawai Operasi Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut, ​Muhammad Firdaus Abdul Halim, dua daripada 28 premis di New World Park, Jalan Burma telah diarahkan tutup selama 14 hari mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

Berdasarkan notis perintah tutup yang tular di media sosial, premis berkenaan ditutup mulai 7 petang semalam (20 Ogos) hingga 3 September.

Arahan penutupan premis itu dikeluarkan atas alasan tidak bersih sehingga boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan orang awam.

Sumber: PenangToday Community/ Facebook

21 Notis Dikeluarkan Kepada Peniaga Di New World Park

Di samping itu, 21 notis dikeluarkan kepada para peniaga atas pelbagai kesalahan seperti tidak mempunyai suntikan anti tifoid dan tidak menjalani latihan pengendalian makanan.

Kata Muhammad Firdaus, terdapat juga premis yang menyimpan ramuan makanan melebihi tarikh luput serta mempunyai persekitaran yang kotor, lapor Berita Harian.


Kompaun Berjumlah RM6,900 Dikenakan

Terdahulu, anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut terlibat dalam o​perasi pemeriksaan mengejut yang dijalankan ke atas medan selera tersebut.

Pemeriksaan turut menemukan peti sejuk di beberapa gerak yang diletakkan pelbagai bahan makanan sehingga dikhuatiri berlakunya pencemaran silang.

Dalam masa sama, pegawai penguat kuasa KPDN telah memeriksa dan menerangkan mengenai penyimpanan tong gas petroleum cecair (LPG) kepada pemilik premis.

Muhammad Firdaus berkata keseluruhan kompaun yang dikenakan dalam operasi tersebut ialah RM6,900.


Hanya Food City Yang Diarah Tutup

Menurut New World Park di laman Facebook, hanya New World Park Food City yang akan ditutup dua minggu sehingga 3 September atas perintah pihak berkuasa.

Sebaliknya, kedai lain di New World Park akan tetap beroperasi seperti biasa.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd