Bas Pejabat SUK Selangor Terbabas, 21 Penumpang Cedera Termasuk 6 Parah
Insiden tersebut dipercayai berlaku apabila bas mengelak sebuah motosikal sebelum terbabas ke dalam parit.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sebuah bas milik pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor terbabas ke dalam parit dipercayai cuba mengelak sebuah motosikal di Jalan Simpang Morib Kampung Kelanang, Kuala Langat hari ini (21 Ogos).
Insiden tersebut menyebabkan seramai 21 mangsa terdiri daripada 15 wanita dan enam lelaki yang menaiki bas cedera, dengan enam daripada mereka parah.

Bas Terbabas Ke Dalam Parit 2 Meter
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, panggilan berhubung kemalangan tersebut telah diterima oleh pihaknya pada jam 1.07 petang tadi.
Sehubungan itu, seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting serta BBP Telok Panglima Garang segera dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada 1.18pm.
Menurut laporan komander operasi, kemalangan itu membabitkan sebuah motosikal jenis Honda EX5 dan sebuah bas milik pejabat SUK Selangor yang terbabas ke dalam parit sedalam kira-kira dua meter.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail

Penumpang Bas Dari Mahkamah Selangor
Wan Md Razali berkata pemandu bas dan pembantunya adalah dari SUK, manakala penumpang dari Mahkamah Selangor.
“Dua lelaki dan empat wanita cedera parah, manakala 15 lagi mangsa mengalami cedera ringan. Pemandu bas tersepit di tempat duduknya sebelum operasi mengeluarkan mangsa dilakukan bomba,” katanya.
Tambah Wan Md Razali, kesemua mangsa yang cedera parah, termasuk pemandu, telah dihantar ke Hospital Banting bagi mendapatkan rawatan kecemasan.
“Semua yang cedera parah termasuk pemandu, berada di zon kuning, mereka dianggarkan berumur 30an hingga 40an,” katanya.
Penunggang Motosikal Gagal Dikesan
Wan Md Razali menjelaskan bahawa pemandu bas dipercayai mengelak motosikal sebelum terbabas ke dalam parit berdasarkan maklumat awal siasatan.
Walau bagaimanapun, penunggang motosikal serta motosikal tersebut gagal dikesan, lapor Berita Harian.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.