Mayat Kanak-Kanak Lelaki 2 Tahun Ditemui, Dipercayai Mangsa Ketiga Dibunuh Bapa
Pihak polis tidak menolak kemungkinan mangsa merupakan anak bongsu kepada suspek kes bunuh ibu dan anak semalam.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemukan di Pantai Leman, Kuala Kedah dipercayai mangsa bunuh seorang lelaki warga asing dalam kejadian semalam (19 Ogos).
Menurut Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Adzli Abu Shah, mayat mangsa ditemui terdampar di pantai itu kira-kira 12 tengah hari ini (20 Ogos) oleh orang awam.
Kesan Kelar Sama Seperti Pada 2 Mayat Ditemukan Dalam Longkang
Tambahnya lagi, siasatan polis mendapati keadaan fizikal mayat kanak-kanak itu sempurna.
Walau bagaimanapun terdapat kesan kelar di leher, sama seperti dua mayat ibu dan anak perempuan yang ditemui di sebuah bangunan kosong di Lebuhraya Sultan Abdul Halim, Alor Setar.
Mangsa Mungkin Anak Bongsu Suspek Dalam Kes Bunuh Ibu & Anak
Adzli berkata identiti mayat kanak-kanak tersebut sedang disahkan, namun tidak menolak kemungkinan mangsa merupakan anak bongsu kepada suspek yang turut dibunuh pada Ahad (18 Ogos) lalu.
“Suspek memiliki tiga anak dan salah seorang daripadanya yang belum ditemui sebelum ini dipercayai dibuang ke dalam longkang di Jalan Pegawai iaitu kira-kira 2 kilometer dari lokasi kejadian sebelum hanyut ke laut,” kata Adzli ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah hari ini.
Terdahulu, media melaporkan penemuan dua mayat anak-beranak di dalam sebuah longkang belakang bangunan terbiar di Lebuhraya Sultan Abdul Halim, Alor Setar.
Sehubungan itu, satu tangkapan telah dilakukan membabitkan seorang lelaki etnik Rohingya.
Baca Artikel Berkaitan: Mayat 2 Beranak Ditemukan Dalam Longkang, Ketua Keluarga Suspek Utama
Pembunuhan Dipercayai Akibat Keganasan Rumah Tangga
Dipercayai bahawa motif pembunuhan itu disebabkan oleh keganasan rumah tangga yang tidak melibatkan pihak lain atau keganasan terancang, lapor Bernama.
“Siasatan awal mendapati suspek tinggal di bangunan terbiar itu sejak seminggu lepas bersama isteri dan tiga anak,” kata Adzli.
Dia juga memaklumkan bahawa seorang anak lelaki berusia lima tahun ditemukan selamat bersama suspek ketika penangkapan dilakukan.
Berhubung mayat kanak-kanak ditemui di Pantai Leman, Adzli berkata ujian DNA akan dilakukan untuk mengesahkan identiti mangsa.
Tambahnya, suspek didapati positif tiga jenis dadah iaitu amphetamine, methamphetamine dan mop.
Suspek Mohon Tidur Di Masjid Malam Semalam Bersama Seorang Anak Lelaki
Dalam satu laporan lain, imam Masjid Al Hidayah, Bukit Pinang, Mohd Fauzi Bakar, berkata suspek telah memohon untuk tidur di masjid itu pada malam semalam (19 Ogos).
Dia membawa bersama seorang anak lelaki yang didakwa dirasuk sehingga menyebabkan perutnya buncit.
“Saya ada dalam majlis tahlil dan ketika itu, lelaki tersebut kata anaknya tidak sihat dan saya pegang kepala anaknya dan baca al-Fatihah dan ayat kursi dalam dua tiga minit,” katanya.
Suspek tidak lama kemudian diberkas pihak polis kerana disyaki membunuh isteri dan anak perempuannya.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.