Mayat 2 Beranak Ditemukan Dalam Longkang, Ketua Keluarga Suspek Utama
Kedua-dua mayat ditemukan oleh orang awam dalam longkang belakang sebuah bangunan terbiar di Lebuhraya Sultan Abdul Halim, Alor Setar petang 19 Ogos.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Polis mengesahkan dua mayat yang dipercayai warga asing ditemukan petang semalam (19 Ogos) dalam sebuah bangunan kosong di Pekan Simpang Kuala, Alor Setar, Kedah ialah ibu dan anak yang dipercayai dibunuh.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Siti Nor Salawati, mangsa wanita berusia 34 dan kanak-kanak perempuan 10 tahun mempunyai kesan kelar di leher.
Siasatan di lokasi kejadian mendapati kedua-dua mayat yang lengkap berpakaian tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, ditemukan mati dalam keadaan tertiarap dan terlentang berdekatan antara satu sama lain di dalam longkang kecil.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad
Bapa & Suami Mangsa Ditahan
Sehubungan itu, beliau memaklumkan seorang lelaki yang merupakan suami dan bapa kepada mangsa adalah suspek utama dan telah ditahan pihak polis pada 9 malam tadi di Masjid Bukit Pinang bagi membantu siasatan.
Siti Nor Salawati berkata suspek warga asing berusia 43 tahun akan dibawa ke Mahkamah Alor Setar bagi tujuan permohonan reman pagi ini (20 Ogos), lapor MalaysiaGazette.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Polis Sedang Siasat Motif Pembunuhan
Tambahnya lagi, motif pembunuhan masih dalam siasatan dan orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.
Kedua-dua mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi tujuan bedah siasat.
“Polis juga meminta kerjasama daripada individu atau pihak yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian untuk tampil memberi keterangan di mana mana balai polis berhampiran, atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Setar, ASP Faizul Izuan bin Harun di talian 047747222,” tambah Siti Nor Salawati.
Mayat Ditemukan Oleh Orang Awam Petang Semalam
Terdahulu, media melaporkan mayat dua wanita dengan kesan kecederaan ditemukan bersebelahan satu sama lain dalam longkang belakang sebuah bangunan terbiar di Lebuhraya Sultan Abdul Halim, Alor Setar.
Penemuan dua mayat yang lengkap berpakaian dan tiada dokumen pengenalan diri itu dilaporkan oleh orang awam kepada pihak polis pada 5.04 petang semalam.
Perkara itu telah disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Salawati Saad dan dipercayai kedua-dua mangsa mempunyai pertalian keluarga.
Anggota forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) telah melakukan siasatan di lokasi kejadian yang selesai sekitar jam 8.50 malam tadi.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



