[Video] Padah Menyamar Jadi Hantu Sergah Pengguna Jalan Raya, Wanita Ditahan Polis
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, semakan rekod perubatan pada 2022 dan 2023 mendapati wanita itu pernah dimasukkan ke zon kuning Hospital Sultan Ismail (HSI) kerana kemalangan dan mengalami kemurungan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sebelum ini, pernah tular di media sosial satu video yang memaparkan seorang individu menyergah kenderaan-kenderaan yang lalu di sebuah kawasan jalan di Johor Bahru.
Individu terbabit didakwa menyamar sebagai hantu demi menakut-nakutkan pemandu-pemandu yang melalui jalan terbabit. Bagaimanapun, tidak diketahui motif sebenar individu berkenaan berbuat perkara sedemikian.
Wanita menyamar ‘hantu’ ditahan, dipercayai alami masalah mental
— #UpdateInfo🇲🇾🌍 (@update11111) August 18, 2024
JOHOR BAHRU: Selepas hampir tiga minggu tular kemunculan kelibat ‘hantu’ di sekitar kawasan Jalan Austin Heights Utama di sini, akhirnya polis berjaya menahan seorang wanita dipercayai masalah kesihatan mental pic.twitter.com/mWrjV9A55K
Polis berjaya tahan wanita disyaki menyamar jadi hantu di Johor Bahru
Terbaharu, polis berjaya menahan individu berkenaan yang merupakan seorang wanita warga tempatan berusia 31 tahun yang disyaki menyamar menjadi hantu di tepi Jalan Austin Heights Utama, Johor Bahru pada malam kelmarin (17 Ogos).
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima rakaman video tular berkenaan kira-kira jam 12.30 malam pada 27 Julai lalu.
Menurutnya, bertindak atas maklumat itu, Unit Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Setia Indah berjaya mengesan dan menahan suspek.
“Semakan rekod jenayah terhadap suspek mendapati wanita itu mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan dihukum denda RM1,000 pada 27 Jun 2018.
“Hasil saringan ujian air kencing yang dilakukan ke atas suspek mendapati negatif pengaruh dadah,” katanya menerusi satu kenyataan semalam (18 Ogos).
Ingin diri terlibat kemalangan dan peras ugut wang kepada pemandu yang melanggarnya
Menurutnya lagi, hasil siasatan awal mendapati modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan cara menendang kenderaan yang lalu di kawasan jalan berkenaan untuk tujuan mengakibatkan kemalangan terhadap dirinya dan memeras wang daripada pemandu yang melanggarnya.
Jelas Raub, semakan rekod perubatan pada 2022 dan 2023 juga mendapati suspek pernah dimasukkan ke zon kuning Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru disebabkan terlibat dalam kemalangan dan mengalami kemurungan.
“Suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan untuk siasatan lanjut dan semalam wanita itu juga telah dibawa ke HSI untuk pemeriksaan kesihatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun dengan denda sehingga RM10,00 atau kedua-duanya sekali,” katanya lagi.
Berkongsi lanjut, beliau berkata kes ini juga boleh disiasat di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan kesalahan kepada pejalan kaki yang tidak menggunakan lintasan pejalan kaki yang disediakan.
Ujarnya lagi, selain itu, kes juga boleh disiasat mengikut Peruntukan 23, Peraturan-peraturan Lalu Lintas Jalan 1959 yang memperuntukkan tanggungjawab pejalan kaki untuk mematuhi peraturan lalu lintas dan tidak mengganggu laluan kenderaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan denda atau amaran.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram