Teater Oyen Ajak Kanak-Kanak Bermain Bersama Watak Kucing Di Atas Pentas! [Review]
Teater kanak-kanak ini akan berlangsung dari 16 Ogos hingga 18 Ogos di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kucing berwarna jingga sering menjadi tajuk berita dengan pelbagai telatah yang dilakukannya. Lebih manja dengan gelaran Oyen, ia sentiasa mencuit hati orang ramai.
Sebuah teater kanak-kanak berjudul Oyen mengisahkan tentang seekor kucing berwarna oren yang montel dan nakal. Watak itu dibawa oleh Achuzul Wahab yang membuat kemunculan semula selepas sembilan tahun tidak beraksi di atas pentas.
Tampilkan Pelbagai Jenis Kucing
Apa yang menarik lagi, pementasan itu bukan sahaja dibawa oleh kucing Oyen, tetapi turut menampilkan kucing dengan pelbagai warna dan jenis iaitu putih, hitam, tabby kelabu, calico, Bengal dan Siam. Penulis skrip memang betul-betul peminat kucing ya?
Dua ekor anjing polis turut dimainkan dalam pementasan itu yang membawa watak ‘good cop, bad cop’.
Kesemua watak ini dibawa oleh pelakon-pelakon professional, Rafiq Rahman, Adli Shinichi, Khal Isyaf dan Rhiss Amirrul serta bakat-bakat muda, Arissa Azlan, Echot Ezmi, dan Lys Motijol.
Bagi peminat teater broadway pasti tahu tentang pementasan Cats kan? Watak-watak bagi teater Oyen ini memakai kostum khas kucing dan anjing yang dijahit sendiri dan seakan-akan pakaian yang digunakan dalam pementasan teater tersebut. Comel betul!
Kucing T20 VS Kucing Jalanan
Teater ini turut menunjukkan kehidupan kucing dari ‘kelas’ berbeza, yang mana Oyen dan si putih Stella dimiliki oleh seorang kaya. Sebaliknya kucing-kucing lain tinggal di jalanan sehingga terpaksa mengorek sampah demi mencari makanan.
Sebagai pencinta kucing, kami berasa sedih kerana teringatkan betapa banyaknya kucing jalanan dengan nasib sedemikian dalam dunia sebenar. #adoptdontshop
Teater Oyen Ajar Kanak-Kanak Erti Persahabatan
Oh, teater kanak-kanak ini juga bersifat muzikal. Hampir kesemua watak menyanyikan lagu yang mengisahkan tentang kehidupan mereka.
Namun ada juga yang sumbang suaranya dan diejek oleh kucing lain di atas pentas. Tapi kami tak pasti sama ada betul-betul sumbang atau buat-buat sahaja. Kelakar betul!
Seperti banyak penceritaan lain, naskah Oyen turut menyelitkan kisah tauladan yang mengajar kanak-kanak erti persahabatan, meraikan perbezaan serta menghormati antara satu sama lain.
“Don’t Talk To Strangers!” – Teater Oyen
Teater Oyen merupakan penampilan pentas pertama buat si cilik, Seroja Roydy, yang memegang watak anak kucing. Wataknya dilihat selalu berjalan bersendirian dan tidak dapat dikenal pasti siapakah ibu bapanya.
Perkara ini menimbulkan persoalan dalam kalangan kucing dewasa yang berasa bahaya melihat si kecil itu bersendirian. Lakonan ini kemudian diselit dengan perkongsian nasihat yang boleh dikaitkan dengan isu semasa.Â
Watak-watak pementasan mengingatkan kanak-kanak agar tidak keluar berseorangan, perlu sentiasa ditemani dan tidak bercakap dengan orang tidak dikenali.
Kanak-Kanak Boleh Berinteraksi Dengan Watak
Pementasan ini bersifat interaktif dan mengajak kanak-kanak yang hadir untuk berinteraksi dengan watak-watak haiwan yang comel. Siap ada main kejar-kejar lagi tau!
Dalam beberapa babak, kanak-kanak akan ditanyakan soalan dan diberi saguhati jika dapat menjawab dengan betul. Anak-anak pasti ‘enjoy’ bercakap dengan karakter haiwan yang comel dan melihat telatah mencuit hati mereka.
Bukan sahaja anak-anak, ibu bapa juga mesti akan bergelak-ketawa apabila disajikan dengan lawak-lawak ‘slapstick’.
Teater kanak-kanak ini direalisasikan dengan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan yang diterima dari pihak Kementerian Kebudayaan, Seni dan Pelancongan Malaysia serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku rakan kerjasama.
Bagi ibu bapa yang berminat untuk membawa anak-anak ke pementasan ini, terdapat tiga waktu pementasan iaitu 16 Ogos (8.30pm), 17 Ogos (3.30pm) dan 18 Ogos (3.30pm).
Pembelian tiket boleh dilakukan di SINI atau hubungi pengurus produksi di talian +6014-723 8006 (Rahimee).
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.