Pengasas Biskut ‘Famous Amos’ Meninggal Dunia Pada Usia 88 Tahun
Wallace Wally Amos Jr telah membina jenama Famous Amos di sebuah bakeri di Sunset Boulevard, Hollywood pada tahun 1975.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pernah tak sewaktu berjalan di pusat membeli-belah, anda tercium bau biskut yang sangat wangi?
Apabila anda menjenguk, di situlah beradanya kedai biskut Famous Amos yang terkenal dengan biskut cip coklatnya.
Untuk info, satu berita menyayat hati telah dilaporkan apabila Pengasas Famous Amos, Wallace Wally Amos Jr meninggal dunia semalam (14 Ogos).
Dia yang bertarung dengan penyakit demensia telah menghembuskan nafas terakhirnya di rumah di samping isteri tercinta, Carol.
Perkara itu telah dimaklumkan oleh anak-anak kepada lelaki berusia 88 tahun itu iaitu Sarah, Michael, Gregory dan Shawn.
Famous Amos Menjadi Sumber ‘Black Pride’
Lelaki berkulit hitam yang dilahirkan di Tallahassee, Florida itu membina jenamanya di sebuah bakeri di Sunset Boulevard, Hollywood, California pada tahun 1975.
Dia telah menghasilkan biskut cip coklat Famous Amos menggunakan resipi keluarga.
Bercakap tentang hasil usaha bapa mereka, anak-anaknya berkata Famous Amos menjadi sebuah sumber kebanggaan bagi orang berkulit hitam.
“Ayah kami memberi inspirasi terhadap satu generasi usahawan. Dengan topi Panamanya, alat muzik kazoo dan optimisme tanpa batas, Famous Amos merupakan sebuah kisah kejayaan di Amerika dan sumber kebanggaan orang berkulit hitam (Black pride).
“Ia juga merupakan sebahagian daripada sejarah keluarga yang kami syukuri dan berasa bangga buat selamanya,” kata anak-anaknya dalam satu kenyataan.
Walaupun biskut bersaiz besar terkenal ketika itu, Amos berani untuk tampil berbeza sehingga mempopularkan biskut cip coklat bersaiz kecil (bite-size) yang dijual di kesemua kedai Famous Amos.
Kejayaannya dalam mencipta fenomena baharu telah menyebabkan kedainya dihadiri oleh para pemuzik ikonik dan selebriti Hollywood yang memuji kesedapan biskutnya.
Amos Pernah Terlibat Dengan 2 Syarikat Manisan Lain
Pada tahun 1977, Amos telah berpindah ke Hawaii. Di situ, dia telah menjadi tuan empunya sebuah kedai biskut yang digelar Chip & Cookie.
Dia juga telah sama-sama mengasaskan Uncle Wally’s Muffin Co. dengan produknya memasuki pasaran di seluruh Amerika Syarikat.
Amos pada tahun 2007 menjelaskan kemashyuran tidaklah begitu penting buatnya. Bercakap kepada The Associated Press, dia berkata menjadi terkenal ialah sesuatu yang dinilai berlebihan (overrated).
Buku ‘Cookies and Milk’ Cerita Pengalaman Anak Amos Berkerja Di Bakeri Itu
Ketika membuka kedai pertama di Hollywood, Amos telah dibantu oleh anak lelakinya, Shawn, yang kini merupakan seorang pemuzik Blues dan penulis.
Shawn telah menerbitkan sebuah buku bertajuk ‘Cookies and Milk’ pada tahun 2022. Sebahagian isi kandungan buku tersebut adalah berdasarkan kepada pengalamannya membesar sebagai anak kepada pengasas Famous Amos itu.
“Ia merupakan sebuah buku tentang kegembiraan, tentang para bapa dan anak-anak lelaki yang mahu dilihat oleh satu sama lain,” jelasnya.
Shawn menceritakan bahawa dia telah mengambil tanggungjawab di bahagian hadapan kedai sementara bapanya sibuk membakar biskut di dapur.
Amos Terlibat Dalam Mempromosikan Pembacaan
Amos dipuji oleh anak-anaknya kerana mengajar mereka tentang nilai kerja keras, mempercayai diri sendiri, dan mengejar impian. Bagi mereka, sosok tubuh itu merupakan seorang hero orang Amerika berkulit hitam yang asli.
Di samping itu, Amos juga pernah aktif mempromosikan pembacaan sepanjang hidupnya. Selain mengarang lapan buku, dia juga telah berkhidmat sebagai jurucakap di Literacy Volunteers of America selama 24 tahun dan menyampaikan ceramah motivasi bagi korporat, universiti dan lain-lain kumpulan.
Pembabitannya sebagai sukarelawan, menyebabkan dia dianugerahkan National Literacy Award oleh Presiden Amerika Syarikat George H.W. Bush pada tahun 1991.
Bush turut memuji Amos dengan berkata, “Sumbangan terbesar anda kepada negara bukanlah topi jerami yang terkenal di Smithsonian Institution, tetapi inspirasi yang diberikan kepada individu untuk belajar membaca.”
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.