Now Reading
Dr Maimunah Wanita Pertama Dilantik Sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur

Dr Maimunah Wanita Pertama Dilantik Sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur

Dr Maimunah sebelum ini menjadi wanita Asia pertama yang menyandang jawatan Pengarah Eksekutif UN-Habitat yang berpusat di Nairobi, Kenya.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Berkuat kuasa hari ini (15 Ogos), Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang ke-15 setelah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Pelantikan yang dibuat selaras dengan Subseksyen 4 (2) Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 itu adalah bagi menggantikan Datuk Kamarulzaman Mat Salleh atas persaraan wajib.

Ini sekaligus menjadikan Dr Maimunah wanita pertama yang menyandang jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur.


Dr Maimunah Kembalikan Kedudukan UN-Habitat

Mengumumkan pelantikan tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, berkata Dr Maimunah adalah individu yang bertanggungjawab dalam “mengembalikan kedudukan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) sebagai peneraju pemikiran dalam perbandaran mampan.”

Wanita berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Perancangan Bandar) dari University of Wales Institute of Science and Technology, United Kingdom dan Ijazah Sarjana Sains (Perancangan Bandar) dari Universiti Sains Malaysia itu mempunyai pengalaman panjang selama 39 tahun dalam perancangan bandar, penjanaan semula bandar dan pembangunan yang diterajui komuniti.

Kini berusia 63 tahun, Dr Maimunah juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Setiausaha Agung mengenai Bandar Masa Depan dan Pengerusi Bersama Gabungan 2030 Kerajaan tempatan.

Kini, beliau memikul tanggungjawab sebagai penasihat bagi Majlis Antarabangsa Inisiatif Alam Sekitar Tempatan (ICLEI).


Dr Maimunah Turut Diiktiraf Di Peringkat Antarabangsa

Tambah Dr Zaliha lagi, pemegang Ijazah Kehormat Kedoktoran Alam Bina dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu telah menerima pelbagai pengiktirafan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Ini termasuklah pengiktirafan sebagai Tokoh Perancang Bandar Malaysia oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Ahli Kehormat Royal Town Planner’s Institute, United Kingdom; Felo Kehormat, United Cities of Local Government (UCLG) dan Ambassador of His Majesty King Charles III (King’s Foundation) dalam perbandaran mampan di negara-negara Komanwel.

Di samping itu, Dr Maimunah menjadi wanita Asia pertama yang menyandang jawatan Pengarah Eksekutif UN-Habitat. Jawatan yang berpusat di Nairobi, Kenya itu dipegang olehnya selama enam tahun bermula 2018.


Pernah Jadi Datuk Bandar Pulau Pinang

Pelantikan tersebut bukanlah kali pertama Dr Maimunah pernah berkhidmat dalam kerajaan tempatan. Beliau sebelum ini pernah dilantik sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai. Malah dia pernah menjadi Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (Mala).

Sumber gambar: Facebook MBPP

“Saya percaya dengan pelantikan ini, beliau akan dapat meneruskan kesinambungan pengalaman dan sumbangan beliau untuk memimpin Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan penuh integriti bagi memastikan kemampanan pembangunan, kecemerlangan dan kegemilangan berterusan ke arah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang maju dan sejahtera,” kata Zaliha.

Dalam pada itu, Zaliha turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kamarulzaman atas segala sumbangan dan kepimpinan beliau sepanjang menjawat jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur.


DSAI Serah Surat Pelantikan Semalam

Penyerahan surat pelantikan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur kepada Dr Maimunah telah dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam (14 Ogos).

Beliau yakin wanita dengan pengalaman hampir empat dekad dan telah mengetuai pelbagai institusi itu dapat memegang amanah bagi mengemudi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Moga pengalaman hebat yang dimiliki ini akan digunakan untuk memperbaiki taraf kehidupan warga Kuala Lumpur serta mengangkat imej, reputasi dan martabat bandaraya ini ke peringkat lebih tinggi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd