Menteri Israel Ketuai Lebih 2,000 Orang Beribadah Di Masjid Al-Aqsa, Langgar Status Quo Yang Ditetapkan
Pejabat Perdana Menteri Israel bagaimanapun menegaskan bahawa pencerobohan itu ‘menyimpang dari status quo’ yang menetapkan hanya umat Islam boleh beribadah di masjid itu.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir, telah mengetuai lebih 2,000 penduduk haram memasuki pekarangan Masjid Al-Aqsa semalam (13 Ogos).
Pencerobohan yang dilakukan sempena dengan satu perayaan orang Yahudi turut menyaksikan mereka menceroboh kampung-kampung di sekitar Tebing Barat.
Tindakan tersebut melanggar larangan lama kerajaan Israel yang mencegah orang Yahudi beribadah di sana. Ia telah dikecam oleh pemimpin Palestin, negara-negara Arab lain serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Hanya Umat Islam Boleh Beribadah di Masjid Al-Aqsa” – Pejabat PM Israel
Menerusi sebuah video, Ben-Gvir menegaskan bahawa dasarnya adalah untuk membolehkan penganut Yahudi beribadah di Al-Aqsa yang dikenali oleh mereka sebagai Bukit Kuil, tempat paling suci bagi Yahudi.
Pejabat Perdana Menteri Israel walau bagaimanapun menjelaskan bahawa perkara itu ‘menyimpang dari status quo’ yang menetapkan hanya umat Islam boleh beribadah di masjid itu.
“Dasar Israel tidak berubah; begitulah keadaannya dan begitulah ia akan kekal,” katanya dalam satu kenyataan.
Membalas kenyataan itu, Ben Gvir berkata dasarnya adalah untuk memberi kebebasan beribadah bagi orang Yahudi di semua tempat.
“Tiada undang-undang yang membenarkan diskriminasi perkauman terhadap orang Yahudi di Bukit Kuil atau di mana-mana tempat lain di Israel,” tambahnya.
Polis Israel Tidak Hentikan Orang Yahudi Yang Sembahyang di Al-Aqsa
Masjid al-Aqsa yang merupakan masjid ketiga paling suci bagi umat Islam telah ditawan oleh Israel daripada Jordan dalam perang Timur Tengah 1967.
Berdasarkan status quo, Jordan menjalankan peranan sejarahnya sebagai penjaga al-Aqsa, manakala Israel mengambil alih kawalan keselamatan dan akses.
Dalam pada itu, penduduk Palestin mendakwa Israel cuba untuk melemahkan pengaturan ini. Mereka juga mengadu bahawa pengunjung Yahudi sering beribadah di kawasan tersebut tanpa dihentikan oleh polis Israel sejak beberapa tahun kebelakangan.
Ben Gvir Gesa Israel Mesti Menang Perang Di Gaza
Beberapa video yang dimuat naik di media sosial menyaksikan pendatang haram berarak sambil menyanyikan lagu yang provokatif, bersembahyang di pinggir kawasan al-Aqsa, dan membawa bendera Israel.
Ben Gvir yang diiringi polis Israel semasa melawat kawasan al-Aqsa mendakwa bahawa ‘pentadbiran dan kedaulatan’ Israel di situ telah membawa pelbagai kemajuan besar.
Dia ketika itu turut menggesa bahawa Israel mesti memenangi perang di Gaza.
Malah, dia berkata Israel tidak sepatutnya terlibat dalam rundingan gencatan senjata dan pembebasan tebusan agar Hamas dapat dilumpuhkan.
Kerajaan Arab Kutuk Pencerobohan Ke Atas Al-Aqsa
Sehubungan itu, Kementerian Luar Negeri Palestin meluahkan rasa bimbang terhadap “peningkatan berbahaya akibat serbuan oleh golongan ekstremis di Masjid al-Aqsa.”
“Kementerian akan meneruskan usaha politiknya untuk menangani provokasi ini di pelbagai peringkat, memberi amaran tentang akibat seriusnya terhadap arena konflik dan wilayah secara keseluruhan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam masa sama, pentabir kawasan Masjid al-Aqsa, Jabatan Wakaf merayu kepada umat Islam seluruh dunia untuk membantu dalam mengekalkan status quo di tempat suci itu.
Menurut Kementerian Luar Jordan, insiden tersebut mencerminkan “kesungguhan kerajaan Israel dan anggota ekstremisnya untuk melanggar undang-undang antarabangsa dan kewajipan Israel sebagai kuasa pendudukan.”
Mesir dan Arab Saudi turut sama menjelaskan bahawa insiden itu melanggar undang-undang antarabangsa. Mesir juga berkata Ben Gvir sedang berusaha untuk menggagalkan usaha bagi perjanjian gencatan senjata Gaza.
Jurucakap PBB, Farhan Haq pula menyifatkan pencerobohan ke atas tempat suci itu sebagai ‘tidak membantu dan sangat provokatif.’ Tambahnya lagi, PBB menentang sebarang cubaan yang dilakukan untuk mengubah status quo di tapak-tapak suci.
Sebarang tindakan unilateral seperti ini yang menjejaskan status quo adalah tidak boleh diterima. Bukan sahaja ia tidak boleh diterima, ia juga mengalih perhatian daripada apa yang kami anggap sebagai masa yang penting, kerana kami sedang berusaha untuk menyelesaikan perjanjian gencatan senjata.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Vedant Patel
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.