Lelaki Suka Ceroboh Koc Wanita Mungkin Berdepan Tindakan Undang-Undang & Denda
Buat masa ini, Menteri Pengangkutan itu menjelaskan pemantauan berkala menerusi polis bantuan akan dibuat bagi memastikan tiada pencerobohan dilakukan oleh kaum Adam di gerabak wanita.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Jika menggunakan perkhidmatan awam seperti Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Transit Aliran Massa (MRT), pasti anda perasan tentang kewujudan koc khas buat kaum Hawa.
Koc berwarna merah jambu itu diwujudkan bagi memastikan keselesaan dan keselamatan penumpang yang terdiri daripada golongan wanita.
Namun hakikatnya ada individu khususnya daripada golongan lelaki dilihat tidak cakna dan dengan selamba menggunakan kemudahan tersebut.
Walaupun telah diberi amaran dan peringatan, segelintir daripada mereka dilihat masih degil dan tidak mengendahkan peraturan itu hingga berlakunya salah faham.
Kerajaan Rangka Undang-Undang, Bakal Kenakan Hukuman Denda
Terbaharu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, mendedahkan kerajaan sedang merangka undang-undang termasuk hukuman denda buat lelaki yang gemar menggunakan koc wanita.
Ia berikutan terdapat insiden lelaki yang sengaja masuk dan menggunakan koc wanita yang disediakan di komuter Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan Transit Aliran Massa (MRT).
“Kami sedang merangka denda yang sewajarnya untuk lelaki yang tidak dengar (degil) ini,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.
Anthony walau bagaimanapun menjelaskan setakat ini tiada sebarang peruntukan berhubung perkara tersebut.
Pemantauan Berkala Akan Dilakukan
Buat masa ini, Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban itu menjelaskan pemantauan berkala menerusi polis bantuan akan dibuat bagi memastikan tiada pencerobohan dilakukan oleh kaum Adam di gerabak wanita.
“Kaum lelaki harus menghormatinya. Tujuan gerabak wanita adalah untuk keselamatan, keselesaan dan keyakinan penumpang wanita menggunakan pengangkutan awam,” ujarnya.
Cadangan Bentuk Undang-Undang Terhadap Lelaki Degil
Terdahulu, Persatuan Wanita Unity Malaysia (PERWIM) menggesa agar kerajaan mewujudkan undang-undang khusus bagi membolehkan tindakan dikenakan terhadap lelaki yang mengguna dan menceroboh koc wanita.
Menurut Pengerusi PERWIM Ema Syuhaili Sukor, tindakan itu penting bagi memastikan penumpang lelaki mematuhi peraturan yang ditetapkan serta mengelakkan penumpang wanita daripada diganggu lelaki yang sengaja mahu mengambil kesempatan.
Malah, Ema turut mencadangkan agar pihak KTMB khususnya menyediakan lebih banyak lagi ‘lorong kecemasan’ di dalam koc komuter bagi membolehkan bantuan dapat diberikan dengan segera jika berlaku kejadian tidak diingini.
Sekadar info, koc wanita kebiasaannya berada di bahagian tengah tren dan dilabelkan dengan pelekat berwarna merah jambu.
Ia disediakan khas buat penumpang wanita daripada pelbagai umur. Namun, kanak-kanak lelaki yang berusia 12 tahun dan ke bawah yang memerlukan penjaga wanita boleh menggunakan koc tersebut.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Lelaki Berang Ditegur Kerana Berada Di Koc Wanita Dalam MRT
Baca Artikel Berkaitan: [Video] “Selamba Je Masuk” – Pengguna Kesal Ada Lelaki Duduk Dalam Koc Wanita MRT
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.