“Dunia Seolah-Olah Terhenti” – Azizulhasni Awang Mohon Maaf Pada Rakyat Malaysia
Pocket Rocketman negara itu berkata pegangan teguh dalam agama membantunya untuk menghadam dan memproses segala yang berlaku.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Atlet basikal negara, Datuk Azizulhasni Awang, memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana tidak berjaya membawa pulang pingat emas pertama negara.
Umum sedia maklum bahawa Azizulhasni pada Sabtu lalu (10 Ogos) telah dibatalkan penyertaannya (DSQ) dalam acara Keirin di pusingan pertama.
Beliau menggambarkan penamat di Paris akan menjadi sebuah cerita manis untuk rakyat Malaysia dan terutama sekali kerjayanya dalam acara berbasikal. Katanya dunia seolah-olah terhenti apabila melihat catatan DSQ pada namanya.
Tubuh badan panas bersedia untuk beraksi tiba-tiba menjadi sejuk kaku. Seluruh velodrome sunyi sepi walaupun hakikatnya penuh dengan sorakan dari penonton yang hadir.
Atlet basikal negara, Datuk Azizulhasni Awang
Azizulhasni Berharap Dimasukkan Ke Repechage
Walaupun setelah diumumkan penyertaannya dibatalkan, Azizulhasni tidak berhenti berharap sekiranya beliau dimasukkan ke senarai nama akhir pusingan repechage.
Apabila sudah pasti beliau sememangnya digugurkan sepenuhnya dari acara tersebut, Pocket Rocketman negara itu terus mengemas beg dan beredar. Katanya, beliau ketika itu tidak dapat menerima hakikat perlumbaan akan berlangsung tanpa penyertaannya.
Saya tidak dapat mencari perkataan untuk menggambarkan perasaan yang saya alami pada detik itu. Tidak pernah saya terfikir yang perkara seperti ini akan berlaku.
Atlet basikal negara, Datuk Azizulhasni Awang
Menjawab dakwaan sesetengah pihak kononnya beliau hilang kawalan kerana meletakkan harapan terlalu tinggi, Azizulhasni berkata semuanya berada di dos yang sepatutnya.
Telah Berjanji Pada Keluarga Ini Olimpik Terakhirnya
Tambahnya lagi, beliau telah teringat dengan janji-janji pada ibu, isteri dan anak-anak bahawa kali ini merupakan penampilan terakhirnya dalam sukan Olimpik.
Ini susulan permintaan keluarganya agar atlet itu bersara selepas pulih dari pembedahan jantung yang dijalani pada tahun 2022.
Saya terfikir adakah ini semua berlaku kerana melanggari permintaan mereka dahulu?
Atlet basikal negara, Datuk Azizulhasni Awang
Beliau pada itu berkata ahli keluarganya merupakan sumber kekuatan sehingga berjaya menjadi antara atlet berbasikal terbaik di dunia.
Azizulhasni sebelum ini disahkan menghidap masalah jantung jarang ditemui atau Anomalous Aortic Origin of a Coronary Artery (AAOCA) iaitu saluran darah jantung yang bersambung dengan cara tidak normal.
“Paling Sedih Melihat John Beasley Begitu Sebak” – Azizulhasni Awang
Selepas kejadian terbabit, beliau duduk termenung di bilik dan memikirkan harapan setinggi gunung oleh orang ramai yang telah musnah.
Bagi Azizulhasni, perkara yang paling sedih adalah apabila melihat jurulatih John Beasley begitu sebak dan tidak dapat menahan emosinya.
Beliau juga ketika itu diselubungi perasaan bersalah kepada pasukannya yang telah sama-sama berkorban bagi memastikan dirinya sebagai atlet berada pada tahap terbaik.
Namun, Azizulhasni percaya bahawa Islam mengajar umatnya agar berdamai dengan takdir memandangkan segala yang berlaku di dunia telah ditetapkan oleh Allah SWT sebelum kita diciptakan lagi.
Syukur kerana saya berpegang teguh dengan tali Allah SWT, jika tak saya tidak tahu bagaimana untuk menghadam dan memproses segala yang berlaku.
Atlet basikal negara, Datuk Azizulhasni Awang
Azizulhasni Berterima Kasih Pada Semua Yang Menyokongnya
Menerusi hantaran di akaun X, Azizulhasni turut mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa menyokong perjalanan kariernya iaitu Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Olimpik Malaysia (OCM).
Beliau turut berterima kasih kepada para penaja yang merangkumi CIMB, Gardenia Breakthru, Brightcow (FGV), Oligo, 100 Plus, Daikin dan Oakley.
Azizulhasni bersyukur kerana banyak pihak sentiasa menyokongnya sama ada secara langsung mahupun tidak.
Beliau dalam masa sama meminta seisi rakyat Malaysia agar terus memberi sokongan penuh kepada atlet negara pada masa hadapan.
Tiada penyesalan yang akan mengubah masa lalu. Tiada kebimbangan yang akan mengubah masa hadapan. Tetapi sebarang rasa kesyukuran akan mengubah masa kini.
Atlet basikal negara, Datuk Azizulhasni Awang
Pencapaian Azizulhasni sepanjang kerjaya dalam dunia berbasikal amat menakjubkan apabila meraih pingat di beberapa temasya sukan terkemuka dunia seperti World Championship Hong Kong 2017 (emas), Olimpik Tokyo 2020 (perak) dan Olimpik Rio 2016 (gangsa).
Baca Artikel Berkaitan: “Pacer Bergerak Perlahan, Saya Dihimpit” – Azizulhasni Perjelas Punca ‘Disqualified’ & Tersingkir
Baca Artikel Berkaitan: “I’m Sorry Malaysia” – Shah Firdaus Mohon Maaf, Akui Perlu Masa Untuk Terima Kenyataan Terlepas Pingat
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.