Buli Siber: Imane Khelif Fail Tuntutan Mahkamah Terhadap Elon Musk & JK Rowling
Di samping itu, bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump turut akan menjadi sebahagian daripada siasatan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Temasya Sukan Olimpik Paris 2024 telah melabuhkan tirainya pada Isnin (12 Ogos) lalu. Bagi para atlet yang berjaya membawa pulang pingat buat negara, mereka mungkin sedang seronok meraikan kejayaan itu.
Namun, lain pula bagi atlet tinju dari Algeria, Imane Khelif yang berjaya merangkul pingat emas dalam acara tinju wanita 66kg.
Dia telah membuat keputusan untuk mengambil tindakan terhadap beberapa pihak yang telah membuat tuduhan palsu berkenaan status jantinanya di media sosial.
Tular Dakwaan Tidak Sahih Berkenaan Khelif
Terdahulu, Imane Khelif telah menerima banyak kutukan di media sosial yang mendakwa dia sebenarnya ialah seorang lelaki setelah menewaskan peninju Itali, Angela Carini, hanya dalam 46 saat.
Malah, timbul dakwaan yang tidak disahihkan bahawa Khelif mempunyai kromosom XY (selalunya untuk lelaki) yang menyebabkan dia digugurkan daripada kejohanan tinju dunia 2023.
Keadaan menjadi lebih teruk apabila beberapa figura terkenal turut sama-sama menyebarkan dakwaan palsu itu.
Elon Musk, JK Rowling Dinamakan Dalam Aduan Jenayah
Terbaharu, Khelif dilaporkan telah menamakan pemilik media sosial X, Elon Musk dan penulis novel Harry Potter, JK Rowling dalam satu tuntutan mahkamah yang difailkan kepada pihak berkuasa Perancis atas dakwaan ‘tindakan gangguan siber yang teruk’.
Peguam Nabil Boudi yang mewakili Khelif mengesahkan bahawa kedua-dua individu itu telah disebut dalam kandungan aduan yang dihantar kepada pusat anti-kebencian dalam talian di pejabat pendawa raya Paris pada Jumaat (9 Ogos) lalu.
Tuntutan mahkamah tersebut telah difailkan terhadap ‘X’, yang menurut undang-undang Perancis bermakna ia difailkan terhadap individu yang tidak diketahui.
Boudi berkata ini bagi memastikan “agar pendakwaan mempunyai kesemua latitud (ruang) untuk membolehkan siasatan dijalankan ke atas semua pihak, termasuk mereka yang mungkin telah menulis mesej kebencian menggunakan nama samaran.”
Donald Trump Akan Jadi Sebahagian Daripada Siasatan
Namun begitu, aduan itu tetap menyebut tokoh-tokoh yang terkenal dalam kontroversi tersebut.
“J.K. Rowling dan Elon Musk dinamakan dalam tuntutan mahkamah tersebut, di samping nama-nama lain,” katanya yang turut menambah bahawa bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, akan menjadi sebahagian daripada siasatan.
Trump memuat naik hantaran di X (tweet). Jadi sama ada dia dinamakan ataupun tidak dalam tuntutan mahkamah kami, dia semestinya akan disiasat sebagai sebahagian daripada pendakwaan.
Peguam mewakili Khelif, Nabil Boudi
Kontroversi yang menyelubungi Khelif meningkat apabila individu berprofil tinggi terlibat dalam penyebaran maklumat palsu itu.
Dalam satu hantaran, Rowling memuat naik gambar perlawanan antara Khelif dan Carini, mendakwa peninju Algeria itu sebagai seorang lelaki yang “menikmati kesusahan seorang wanita yang baru sahaja ditumbuk di kepala.”
Musk pula telah berkongsi semula hantaran oleh perenang Riley Gaines dan bersetuju dengan kenyataannya bahawa lelaki tidak sepatutnya terlibat dalam sukan wanita.
Di samping itu, Trump memuat naik hantaran gambar perlawanan Khelif dan Carina, dan berkata dia akan mengelakkan lelaki daripada menyertai sukan wanita.
Personaliti Di Negara Lain Turut Boleh Disasar
Boudi menerangkan yang walaupun aduan tersebut menyebut beberapa nama, mereka meminta agar pihak pendakwa menyiasat sesiapa sahaja yang dirasakan perlu. Katanya jika kes tersebut dibawa ke mahkamah, mereka akan dibicarakan.
Dakwa Boudi, walaupun tuntutan mahkamah itu dilakukan di Perancis, ia boleh menyasar personaliti di negara-negara lain.
Dia juga berkata bahawa pejabat pendakwa raya untuk memerangi ucapan kebencian dalam talian mempunyai kebolehan untuk membuat permohonan bagi bantuan undang-undang bersama dengan negara lain.
Permohonan Maaf Tidak Akan Mengubah Siasatan
Salah seorang lagi personaliti terkenal yang telah menyerang Khelif di sosial media ialah pempengaruh Amerika Logan Paul.
Dia telah memuat naik hantaran yang berbunyi, “Ini adalah kejahatan paling teruk berlaku di hadapan mata kita. Seorang lelaki dibenarkan memukul wanita di pentas global, menghancurkan impian hidupnya untuk berlawan demi mendiang bapanya. Khayalan ini perlu berakhir.”
Dia kemudiannya memadam hantaran tersebut dan mengaku bahawa dia ‘mungkin bersalah kerana menyebarkan maklumat yang salah.’
Namun bagi Bouli, permohonan maaf sebegitu, termasuk yang diterima oleh Khelif dari figura-figura terkenal secara peribadi, tidak akan mengubah sebarang perkara berkenaan siasatan.
Berkenaan X, Boudi menerangkan bahawa aduan tersebut disasarkan terhadap pemilik hantaran di media sosial dan bukannya platform itu sendiri.
“Ia adalah tanggungjawab penggubal undang-undang untuk mengeluarkan sekatan terhadap platform, bukan kami,” katanya.
“Kemenangan Paling Berharga Sepanjang Karier Saya” – Jurulatih Pedro Diaz
Jurulatih kepada Khelif, Pedro Diaz, berkata pembulian ke atas Khelif telah amat memberi kesan kepadanya serta orang lain di sekelilingnya.
“Kali pertama dia berlawan di Olimpik, berlakunya kekecohan di luar gelanggang. Saya tidak pernah melihat sesuatu yang begitu menjijikkan seumur hidup,” katanya ketika ditemu bual Variety.
Diaz yang telah melatih Khelif sejak Februari 2023, menasihati atlet itu supaya tidak melihat media sosial agar dia tidak kehilangan fokus untuk memenangi pingat emas.
Dia sangat bijak dan mempunyai motivasi yang hebat. Kejayaannya dalam mendapatkan pingat emas terasa seperti kemenangan paling berharga sepanjang karier saya sebagai jurulatih.
Jurulatih kepada Khelif, Pedro Diaz
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.