Now Reading
Guna Dron Seludup Dadah Ke Penjara, Kantoi Bila Dron Jatuh Terhempas

Guna Dron Seludup Dadah Ke Penjara, Kantoi Bila Dron Jatuh Terhempas

Terdahulu, pihak polis menerima laporan berkenaan penemuan sebuah dron putih di bumbung salah satu blok penjara.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Lima orang pegawai Penjara Tapah di Perak sedang disiasat pihak polis atas cubaan menyeludup dadah ke penjara menggunakan dron.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Isa, pihaknya akan memanggil lebih ramai pegawai dan banduan penjara tersebut untuk memberi keterangan berikutan siasatan masih berlangsung.


Bukan Pertama Kali Dron Digunakan Untuk Seludup Dadah Di Penjara Sama

Katanya, keterangan telah diambil daripada kelima-lima pegawai tersebut yang membabitkan pegawai di pos pengawal, pengawal yang memantau CCTV serta mereka yang menemui dron dan dadah berkenaan.

Azizi berkata pihaknya percaya ini bukanlah pertama kali dron digunakan untuk menyeludup dadah di penjara tersebut. Namun kejadian dron terhempas di kawasan penjara tersebut baru dilaporkan berikutan penemuan alat tersebut oleh kakitangan penjara.

Katanya lagi, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman sedang menyiasat kes berkenaan.


Dadah Dirampas Dari Banduan Di Penjara

Dalam masa sama, Azizi turut mengesahkan ini bukanlah kali pertama barang telarang seperti dadah diseludup ke penjara. Malah sejak 2022, pelbagai jenis dadah telah dirampas dari penjara.

Pada tahun 2022, seorang pegawai penjara ditahan dengan 13.35 gram dadah jenis methamphetamine dirampas, manakala dua banduan ditahan bersama 13.8 gram dadah sama.

“Pada 2023, empat banduan termasuk seorang lelaki Indonesia ditahan dan 1.38 gram dadah dirampas. Banduan lain ditahan dengan 97 gram heroin, 3 gram pil yaba dan 11 gram methamphetamine.

“Tambahan lagi, seorang banduan ditahan dengan 56.1 gram heroin dan 30.7 gram methamphetamine. Tahun ini, seorang banduan ditahan kerana memiliki 1.8 gram methamphetamine,” jelasnya.


Dron Ditemukan Atas Bumbung Blok Penjara

Terdahulu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah mengesan cubaan menyelup dadah setelah menerima laporan berkenaan penemuan sebuah dron putih di bumbung salah satu blok penjara oleh seorang kakitangan penjara.

Dron dijumpai ketika kakitangan tersebut sedang membuat rondaan bersama anggota lain pada 11.30 pagi Jumaat (9 Ogos) lalu.

Satu beg dobi telah digantung pada dron tersebut yang mengandungi tiga paket plastik berisi dadah.

“Dadah jenis heroin berat kira-kira 122 gram, manakala dua paket plastik lut sinar pula berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 12.9 gram,” kata Azizi

Sumber gambar: PDRM

Terdahulu, media melaporkan sebanyak tujuh kes penyeludupan dadah menggunakan dron di penjara di negeri Kedah, Melaka, Sarawak dan Johor dikesan pada tahun ini.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd