Now Reading
“Bukan Tanda Pengakhiran Buruk” – Ustaz Adnin Jelaskan Tentang Meninggal Dunia Dalam Keadaan Hadas Besar

“Bukan Tanda Pengakhiran Buruk” – Ustaz Adnin Jelaskan Tentang Meninggal Dunia Dalam Keadaan Hadas Besar

Namun jika seseorang berada dalam keadaan berjunub disebabkan oleh maksiat, dikhuatiri ia tanda kematian yang buruk.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Umat Islam perlu mandi wajib untuk menyucikan diri dari hadas besar seperti haid, keluar air mani atau bersetubuh, sebelum melakukan sebarang ibadah.

Namun begitu, bagaimana pula jika seseorang itu telah meninggal dunia sewaktu berada dalam keadaan berhadas besar? Perlukah jenazah tersebut dimandi wajib di samping mandi jenazah?


Meninggal Dalam Hadas Besar Bukan Tanda Pengakhiran Buruk

Menerusi video yang dimuat naik di TikTok, Ustaz Adnin Roslan memberi jawapan kepada persoalan yang diterima mengenai apakah yang terjadi jika seseorang meninggal dunia sedemikian rupa.

Dia menerangkan bahawa meninggal dunia dalam keadaan berhadas besar bukanlah tanda seseorang itu su’ul khatimah ataupun mati dalam keadaan yang buruk.

Sebagai contoh, seseorang boleh meninggal dunia dalam keadaan haid atau setelah bersetubuh antara suami isteri dan tidak sempat mandi wajib.

Ini tidak menjadikan kematian seseorang sebagai pengakhiran yang buruk memandangkan perkara yang menjadikan hadas besar itu bukanlah maksiat.


Sahabat Rasulullah SAW Syahid & Dimandikan Oleh Malaikat

Ustaz Adnin turut memberi contoh tentang seorang sahabat Rasulullah SAW iaitu Hanzalah bin Abu Amir yang baru sahaja bernikah dan kemudiannya syahid dalam peperangan.

Pada malam pernikahannya, Hanzalah telah menyambut seruan peperangan dalam keadaan berjunub setelah menggauli isterinya.

Hanzalah telah syahid ketika perang Uhud dalam keadaan berjunub, dan terus dimasukkan ke syurga.

Malah, Rasulullah SAW turut berkata bahawa malaikat telah memandikan jenazah Hanzalah, “Aku telah melihat antara langit dan bumi, para malaikat sedang memandikan Hanzalah dengan air dari celah awan yang diisikan ke dalam bekas perak.”


Hadas Besar Sebab Maksiat Dirisaukan Tanda Kematian Buruk

Namun begitu, Ustaz Adnin berkata jika seseorang berada dalam keadaan berhadas besar disebabkan oleh maksiat, dikhuatiri jika ia merupakan tanda kematian yang buruk.

Dia dalam pada itu mengingatkan umat Islam agar sentiasa melazimi taubat dan menjadi orang yang baik untuk mendapatkan pengakhiran yang husnul khatimah.


Jenazah Hanya Perlu Dimandikan Sekali, Tak Perlu Mandi Wajib

Setiap umat Islam yang meninggal dunia bukan dalam keadaan syahid akan dimandikan jenazahnya. Ini adalah berdasarkan hadis diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda:

اغْسِلُوهُ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ

Maksudnya: “Mandikanlah dia dengan air yang dicampur dengan daun bidara”

Riwayat al-Bukhari (1267)

Namun bagaimana pula dengan jenazah yang meninggal dunia dalam keadaan berhadas besar? Ustaz Adnin menerangkan bahawa jenazah tidak perlu dimandikan wajib, tetapi cukup sekadar mandi jenazah.

Ini juga diterangkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, di mana Imam al-Nawawi dalam kitab al Majmu’ menyatakan cukup jenazah hanya dimandikan sekali.


Jenazah Mati Syahid Tak Perlu Dimandikan Walaupun Dalam Keadaan Hadas Besar

Dalam keadaan mati syahid pula, jenazah yang meninggal dunia dalam keadaan berhadas besar tetap tidak perlu dimandikan seperti mana hukum asal haram memandikan jenazah yang mati syahid.

Hukum pengharaman memandikan jenazah yang mati syahid adalah berdasarkan riwayat Jabir R.A bahawa:

 أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ فِي قَتْلَى أُحُدٍ بِدَفْنِهِمْ بِدِمَائِهِمْ وَلَمْ يُصَلَّ عَلَيْهِمْ وَلَمْ يُغَسَّلُوا

Maksudnya: “Nabi SAW memerintahkan supaya mereka para syuhada Uhud untuk dikebumikan bersama darah mereka. Mereka tidak disembahyangkan dan tidak juga dimandikan.”

 Riwayat al-Bukhari (4079, 4080)

Diriwayatkan juga daripada Anas bahawa:

أَنَّ شُهَدَاءَ أُحُدٍ لَمْ يُغَسَّلُوا وَدُفِنُوا بِدِمَائِهِمْ وَلَمْ يُصَلَّ عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya para syuhada Uhud tidak dimandikan dan dikebumikan bersama darah mereka dan begitu juga mereka tidak disolatkan.”

Riwayat Abu Daud (3135)


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd