Staf Didakwa Caj Pelanggan Extra RM900, Habib Jewels Mohon Maaf & Jalankan Siasatan Dalaman
Menurut Habib Jewels, staf terlibat sudahpun diletakkan di bawah cuti pentadbiran sementara siasatan dijalankan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Baru-baru ini seorang lelaki mendakwa bahawa ibunya telah menjadi mangsa penipuan seorang kakitangan di sebuah kedai emas.
Difahamkan insiden tersebut berlaku di sebuah cawangan kedai emas Habib Jewels yang terletak di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.
Menerusi video dimuat naik di TikTok (@qushayry11), dia menjelaskan bahawa ibunya telah ditipu sewaktu melakukan urusan ‘trade-in’ dan membeli seutas gelang emas baharu pada Jumaat (9 Ogos) lalu.
Bayar RM2,000, Tetapi Di Resit Hanya RM1,100
Menurutnya, kakitangan yang berurusan dengan ibunya memaklumkan bahawa harga gelang yang ingin dijual semula (trade-in) itu ialah sekitar RM3,800. Akan tetapi, wanita itu tidak dimaklumkan mengenai harga emas semasa ketika itu.
Ibunya kemudiannya telah memilih seutas gelang emas baharu untuk urusan ‘trade-in’ tersebut. Dia diminta untuk menambah sebanyak RM2,000, menjadikan harga barang kemas itu sekitar RM5,800.
Namun begitu, setelah pulang ke rumah, ibunya telah menyemak semula resit pembelian.
Dia mendapati bahawa nilai pemindahan dalam talian (online transfer) yang tertera di resit tersebut ialah sekitar RM1,100 sahaja berbanding pembayaran RM2,000 yang dilakukannya.
Dimaklumkan Telah Buat 2 Pembelian Barang Kemas
Merasa pelik dengan perkara itu, wanita berkenaan telah menghubungi pihak perkhidmatan pelanggan (CS) Habib Jewels.
Dia diberitahu bahawa dia telah membuat dua pembelian di cawangan tersebut iaitu seutas gelang dan sebentuk cincin. Namun resit yang diberikan hanyalah bagi pembelian gelang dan tiada sebarang cincin yang diterima oleh wanita itu.
Mereka sekeluarga kemudiannya kembali ke kedai emas berkenaan untuk mendapatkan penjelasan tentang perkara tersebut.
Katanya, mereka tidak dapat berjumpa dengan pengurus yang sedang bercuti ketika itu. Sebaliknya mereka telah berjumpa dengan kakitangan yang berurusan dengan ibunya serta staf CS.
Apabila ditanyakan kepada staf berkenaan, dia berkata cincin itu sebenarnya telah dibeli oleh seorang pelanggan sebelum ibunya. Namun, di resit cincin tertera bahawa pembelian dilakukan pada 4.32 petang, iaitu setelah pembelian gelang pada jam 4.31pm.
Nilai Trade-In Sebenarnya RM4,708
Staf CS menjelaskan bahawa wanita itu sepatutnya menerima tiga resit iaitu bagi urusan trade-in, pembelian gelang dan pembelian cincin. Namun hanya resit bagi pembelian gelang yang diterimanya.
Sebenarnya ada tiga resit. Yang dia bagi kat mak saya hanyalah resit gelang emas sahaja. Resit yang trade in tak bagi. Resit cincin tiba-tiba ada sedangkan mak beli gelang emas sahaja.
Anak kepada mangsa penipuan
Malah, apabila melihat pada resit trade in yang dikongsikan, harga bagi gelang lama ialah RM4,708 dan bukannya RM3,800 seperti dinyatakan pada mulanya.
Dakwa Tiada Permohonan Maaf Dari Staf
Lelaki itu dalam masa sama turut mendakwa bahawa kakitangan terbabit tidak melakukan sebarang permohonan maaf atas kesilapannya.
“Kita faham kalau tersalah key in. Tapi biasanya akan minta maaf. Ni tak ada, senyap je dan buat muka blur,” katanya.
Katanya lagi jika ia benar-benar satu kesilapan, staf tersebut pasti akan menyedarinya dan akan menghubungi ibunya semula. Namun sebaliknya ibunya pula yang menghubungi bahagian CS.
“Kalau mak saya tak call tanya, agak-agaknya RM700 lebih tu burn. Baru seorang pelanggan. Kalau ramai ibu-ibu, kakak-kakak yang beli, tak ke banyak?”
Dia juga mengingatkan kepada orang ramai agar tolong menyemak semula barangan yang dibeli oleh mereka yang sudah lebih berumur.
“Staf Diberi Cuti Pentadbiran & Siasatan Dijalankan” – Habib Jewels
Sedar dengan penularan perkara itu, pihak Habib Jewels telah tampil mengeluarkan kenyataan di akaun TikToknya berkenaan insiden tersebut.
Mereka memaklumkan telah menangani aduan yang diterima dan meletakkan staf terlibat di bawah cuti pentadbiran sementara siasatan dalaman dijalankan.
Pihak Habib Jewels turut memohon maaf atas insiden tersebut dan meyakinkan orang ramai bahawa ia tidak mencerminkan nilai perniagaannya.
“Kami mohon maaf atas kejadian ini dan ingin meyakinkan para pelanggan bahawa ini adalah insiden yang tidak mencerminkan nilai perniagaan HABIB dalam mengekalkan standard etika yang tinggi dalam amalan perniagaan kami,” katanya.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.