Now Reading
Pos Malaysia & Whoscall Tandatangani MoU, Pengguna Dapat Kenal Pasti Nombor Telefon Yang Disahkan

Pos Malaysia & Whoscall Tandatangani MoU, Pengguna Dapat Kenal Pasti Nombor Telefon Yang Disahkan

Kerjasama strategik tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif #ScamFreeMalaysia dan turut merangkumi Kempen Kesedaran Parcel Scam.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pos Malaysia dan aplikasi anti-penipuan Whoscall telah termeterai hari ini (12 Ogos) di Ibu Pejabat Pos Malaysia.

Perjanjian yang ditandatangani antara Ketua Pegawai Operasi (COO) Gogolook, Manwoo Joo dan Pengarah Operasi Pos Malaysia, Zaini Yahman itu merupakan sebahagian daripada inisiatif #ScamFreeMalaysia.

Ia telah disaksikan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Pesuruhjaya Polis (CP) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf selaku wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Untuk makluman, Whoscall yang dikuasakan oleh Gogolook merupakan satu-satunya aplikasi anti-penipuan yang diluluskan oleh PDRM. Malah ia baru-baru ini dilantik oleh CyberSecurity Malaysia sebagai rakan strategik anti-penipuan.

Baca Artikel Berkaitan: Ini 3 Online Scam Paling Popular Di Malaysia, Ramai Yang Kecundang


Lebih 6,000 Talian Operasi Pos Akan Disahkan

Melalui kerjasama strategik ini, lebih 6,600 talian operasi Pos termasuk nombor posmen akan dikenal pasti sebagai nombor yang disahkan (verified number) melalui aplikasi Whoscall.

Perkara ini dapat menghapus keraguan dan membina kepercayaan dalam kalangan pelanggan, sekaligus melindungi orang ramai daripada ancaman penipuan parcel.

Sehubungan itu, Whoscall dan Pos Malaysia menawarkan percubaan percuma selama 60 hari bagi ciri Premium Whoscall yang boleh ditebus di SINI menggunakan kod promosi ‘PosAntiScam’.

Di samping pengesahan nombor, perjanjian tersebut juga menggariskan kerjasama bagi melancarkan Kempen Kesedaran Parcel Scam. Satu siri jelajah ke seluruh negara akan dijalankan bagi mendidik orang ramai berkenaan masalah penipuan parcel.

Poster dan bunting akan dipasang di 60 cawangan utama Pos Malaysia serta balai polis terpilih. Posmen turut terlibat dengan kempen kesedaran ini dengan mengedarkan risalah kepada para pelanggan.

Malah, lebih 200,000 risalah akan dihantar ke seluruh negara menerusi ‘air mail’ Pos Malaysia. Satu video pengumuman anti-penipuan akan turut ditayangkan di pejabat pos tertentu serta menerusi media sosial.

Sumber gambar: Whoscall

Pos Malaysia Syarikat Tempatan Pertama Kerjasama Dengan Whoscall

Menurut Zaini, inisiatif tersebut diwujudkan berdasarkan program perintis yang telah dijayakan di Perak. Pos Malaysia turut menjadi syarikat tempatan bertama bekerjasama dengan Whoscall dalam melaksanakan penadaan nombor yang disahkan.

Inisiatif ini mewakili satu langkah penting ke hadapan dalam komitmen kami terhadap keselamatan pelanggan dan kecemerlangan perkhidmatan.

Pengarah Operasi Pos Malaysia, Zaini Yahman.

Tambah Zaini, bukan sahaja pelanggan dilindungi apabila pihaknya menangani masalah penipuan bungkusan, malah reputasi jenama Pos Malaysia akan meningkat.

Dia juga meminta agar orang ramai berkongsi mengenai kesedaran anti penipuan kepada orang sekeliling. Empat langkah mudah boleh diambil jika menerima panggilan yang meragukan: Abai, Sekat, Padam dan Laporkan.


Kerjasama Luaskan Pangkalan Data Whoscall Di Malaysia

Joo dalam pada itu berkata kerjasama strategik ini dapat memperluaskan pangkalan data di Malaysia, seterusnya mengukuhkan tahap keselamatan pengguna Whoscall.

Melalui perkongsian sumber data ini digabungkan dengan aplikasi teknologi anti-penipuan yang berkuasa oleh Whoscall, kami akan dapat melindungi rakyat Malaysia dengan lebih menyeluruh daripada semua jenis penipuan dalam talian, termasuk penipuan parcel.

Ketua Pegawai Operasi (COO) Gogolook, Manwoo Joo.

Dia menerangkan bahawa teknologi tersebut berfungsi sebagai barisan pertahanan pertama bagi mencegah penipuan dalam talian.

Dari kiri ke kanan: Pegawai Operasi Gogolook, Manwoo Joo, Pengarah Operasi Pos Malaysia, Zaini Yahman dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), CP Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. (Kredit: Whoscall dan Pos Malaysia)

6% ‘Phone Scam’ Libatkan Penyamaran Pegawai Pos Laju

Ramli berkata MoU antara Pos Malaysia dan Whoscall itu menunjukkan tanggungjawab kolektif dalam melindungi komuniti daripada jenayah komersial.

Untuk rekod, sebanyak 8,011 kes ‘phone scam’ disiasat bagi tahun 2021 hingga 2023 dan melibatkan kerugian keseluruhan RM440,971,870.50. Daripada jumlah ini, sebanyak 448 (5.6%) kes penipuan menerusi penyamaran sebagai pegawai Pos Laju dengan kerugian RM27,186,773.82 (6%).

Bagi tahun ini pula, sebanyak 1,411 kes phone scam telah disiasat dengan 6% (87) daripadanya melibatkan penyamaran sebagai Pos Laju setakat Julai. Ia membawa nilai kerugian RM2,999,714.42 berbanding keseluruhan kerugian RM64,468,952.59.

Angka-angka ini merupakan mesej jelas bahawa phone scam adalah penipuan yang perlu diberikan perhatian serius. Justeru, adalah penting untuk kita memanfaatkan teknologi bagi melindungi rakyat di dalam persekitaran siber yang sentiasa berevolusi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Pesuruhjaya Polis (CP) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

“Pos Malaysia Tak Akan Hubungi Pelanggan Jika Ada Contraband Dalam Parcel” – CP Datuk Seri Ramli

Menurut Ramli, modus operandi yang biasa dilakukan ialah menerusi panggilan telefon. Pelanggan akan dihubungi oleh scammer dan dikatakan mempunyai bungkusan yang ditahan kerana disyaki mempunyai bahan terlarang (contraband). Mereka akan diminta membuat pembayaran untuk melepaskan bungkusan tersebut.

Katanya lagi, jika benar terdapat barang yang meragukan di dalam bungkusan, siasatan akan dijalankan oleh PDRM. Malah pelanggan akan dikenal pasti sebagai suspek dan pihak Pos Malaysia tidak akan menghubungi mereka.

Dalam masa sama, Ramli turut mengingatkan orang ramai tentang portal Semak Mule yang boleh digunakan bagi memeriksa status akaun bank, nombor telefon dan nama syarikat yang disyaki terlibat dengan scam.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd