Now Reading
Penculik Albertine Leo Didakwa Di Mahkamah, Mengaku Tidak Bersalah

Penculik Albertine Leo Didakwa Di Mahkamah, Mengaku Tidak Bersalah

Penganggur Leang Win Son didakwa menyimpan lebih 5,000 bahan penganiayaan seksual kanak-kanak, melakukan amang seksual bukan fizikal ke atas seorang kanak-kanak dan banyak lagi.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Seorang lelaki yang merupakan penganggur telah didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru dan Mahkamah Majistret Kulai hari ini (8 Ogos) berkaitan kes penculikan Albertine Leo Jia Hu.

Tertuduh, Leang Win Son, dikenakan lapan pertuduhan di Mahkamah Sesyen termasuk menculik, membuat pengurungan salah dan amang seksual ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, serta mengumpul dan memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak.

Namun begitu, lelaki berusia 31 tahun itu mengaku tidak bersalah dan memohon agar semua pertuduhan tersebut dibicarakan selepas dibacakan jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Mandarin.

Pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Rasidah Roslee menyatakan tertuduh menculik Albertine daripada penjagaan yang sah di sisi undang-undang iaitu ibunya, di Eco Galleria, Taman Botani, Iskandar Puteri sekitar 8.30 malam pada 20 Julai.

Leang didakwa di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika disabitkan bersalah.

Di mahkamah sama, tertuduh didakwa dengan niat curang membuat pengurungan salah ke atas kanak-kanak itu yang mana pengurungan itu tidak boleh diketahui oleh polis di dalam bilik sebuah hotel di Jalan Mahagoni 9, Batang Kali, Hulu Selangor sekitar 4.45 pagi, 23 Julai lalu.

Bagi pertuduhan ini, Leang didakwa di bawah Seksyen 346 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun jika didapati bersalah.

Baca Artikel Berkaitan: [Terkini] Albertine Leo Ditemui Di Batang Kali Dalam Keadaan Selamat

Baca Artikel Berkaitan: Albertine Jalani Terapi Selepas Insiden Penculikan


Lebih 5,000 Bahan Penganiayaan Seksual Kanak-Kanak Ditemui

Di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman, tertuduh dibacakan enam pertuduhan. Empat daripada tuduhan mendakwa dia mengumpul sebanyak 5,317 bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak dalam bentuk gambar dan video di dalam dua kad SD, cakera keras dan telefon bimbit.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Bunga Raya 2, Taman Sri Kulai kira-kira jam 4 petang pada 24 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebat tidak kurang tiga kali.


Didakwa Miliki 30 Gambar ‘Sexual Abuse’ Babit Kanak-Kanak Dalam Telefon Bimbit

Bagi dua lagi pertuduhan, dia didakwa memiliki pornografi kanak-kanak iaitu 30 keping gambar penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak dalam sebuah telefon bimbit di bilik sebuah hotel di Jalan Mahagoni 9, Batang Kali, Hulu Selangor, kira-kira jam 4.45 pagi, 23 Julai.

Leang didakwa mengikut Seksyen 10 Akta kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Tertuduh Lakukan Amang Seksual Bukan Fizikal Ke Atas Seorang Kanak-Kanak

Dia turut didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal dengan membuatkan seorang kanak-kanak menunjukkan badan supaya dapat dilihat olehnya dengan cara membuka pakaian kanak-kanak itu di bilik hotel yang sama antara jam 12.30 tengah hari, 22 Julai hingga 4.45 pagi, 23 Julai lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 15(a)(ii) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Tertuduh Ditanggung Sepenuhnya Oleh Ibu Tunggal

Mahkamah diberitahu oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Ab Latif bahawa kesemua perbuatan di bawah seksyen yang dihadapi tertuduh tidak boleh dijamin.

Namun Abdul Ghafar mencadangkan jumlah ikat jamin RM160,000 bagi kesemua lapan pertuduhan jika mahkamah ingin membenarkannya.

Peguam Nur Zafirah Norizan yang mewakili tertuduh walau bagaimanapun memohon jumlah jaminan yang minimum dengan alasan anak guamnya tidak bekerja dan ditanggung sepenuhnya oleh seorang ibu tunggal.

“Ibu tertuduh berusia 58 tahun dan merupakan ibu tunggal. Ibunya tidak mempunyai pekerjaan dan gaji tetap. Tertuduh mempunyai masalah kesihatan dan ditanggung sepenuhnya oleh ibunya,” katanya.


Tertuduh Miliki Bantal Lucah & Alat Sulit Wanita Palsu

Di Mahkamah Majistret Kulai pula, Leang mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan iaitu memiliki tiga bantal anime kanak-kanak perempuan berbogel, satu bantal anime kanak-kanak berseluar pendek dan tiga alat mainan seks berupa alat sulit wanita palsu.

Kesemua kesalahan ini didakwa dilakukan di kediamannya di Taman Sri Kulai sekitar jam 4 petang, 24 Julai lalu.

Ketujuh-tujuh kesalahan didakwa di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika disabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fadilah Joharuddin menawarkan jaminan sebanyak RM21,000. Peguam kemudiannya memohon agar jaminan tersebut dikurangkan atas alasan sama diberikan di Mahkamah Sesyen.

Peguam turut memaklumkan bahawa ibu tertuduh melakukan pelbagai pekerjaan dengan gaji bulanan tidak lebih RM3,000 sebulan.

Majistret kemudiannya memerintahkan tertuduh dijamin sebanyak RM10,000 bagi ketujuh-tujuh pertuduhan berserta seorang penjamin.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 10 September depan bagi pengurusan kes.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd